Friday, 10 November 2017

10 Cara Menambah Rezeki & Keberkatan Dalam Rumah Tangga

Image result for 8 Amalan Untuk Menambah Keberkatan Dalam Hidup



Dalam Islam, terdapat beberapa konsep rezeki. Ada rezeki yang perlu diusahakan, ada yang diberi percuma tanpa diminta, ada rezeki yang kita dah usaha, tapi akhirnya menjadi milik orang lain.
Umumnya jika kita membicarakan tentang rezeki, kita akan terbayangkan wang yang banyak, rumah yang besar, kereta yang cantik, dan serba-serbi yang berkait dengan material. Sebenarnya, rezeki itu tidak terhad setakat itu. Ilmu, kesihatan, kelapangan masa, keluarga, kasih sayang, jodoh, zuriat, dan macam-macam lagi adalah rezeki.
Sebagai hamba yang lemah, kita tentunya sentiasa mengharapkan rezeki daripada Pencipta.

10 CARA MENAMBAH REZEKI & KEBERKATAN DALAM RUMAH TANGGA

Berikut adalah beberapa cara menambah rezeki yang dianjurkan dalam al-Quran dan sunnah.

1. MULA DARI SUMBERNYA

Jika kita sentiasa berasa ‘kurang’ walaupun gaji dah banyak, periksa semula sumbernya. Adakah ia termasuk dengan sumber syubhah atau riba? Allah telah menerangkan larangan memakan riba ini kerana ia adalah perbuatan menganiaya hak orang lain. Mungkin itu sebabnya rezeki terasa sempit atau walaupun kuantitinya banyak.
Firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba (dengan berlipat ganda) dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan.
(Surah Al-Imran: 130)
Di samping itu, jangan memandang remeh soal zakat sehingga lupa menunaikan tanggungjawab kita terhadap orang yang berhak terhadapnya.
punca suami curang
Foto Kredit: pantonandco.com

2. MENJAGA HUBUNGAN KEKELUARGAAN DAN SESAMA MANUSIA

Walaupun sibuk bekerja siang dan malam, luangkanlah masa untuk berkasih sayang dengan pasangan dan anak-anak. Gembirakanlah mereka walaupun kita berada dalam keletihan. Jangan sampai tak ada masa menjenguk atau bertanya khabar kepada ayah, ibu, mertua, saudara-mara, dan jiran-tetangga.
Percayalah, tidak rugi kita bersilaturrahim dan menjaga hubungan sesama manusia kerana dalam sebuah hadis telah menyebutkan:
“Sesiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

3. BERSEDEKAH

Begitu banyak kelebihan sedekah yang sering kita dengar, sama ada dari sudut Islam mahupun psikologi. Menurut kajian, perbuatan memberi atau menyumbangkan harta, masa, tenaga, dan sebagainya kepada orang lain yang memerlukannya telah terbukti memberi manfaat besar terhadap manusia dari segi kesihatan mahupun emosi.
Dari Amru bin Auf ra katanya Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah swt pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Janganlah kita begitu ‘berkira’ dengan Allah kerana Allah mampu memberikan kita rezeki melalui sumber yang tida disangka-sangka. Dalam satu syarahan, penulis Yasmin Mogahed pernah menyebutkan; Jika kita kesempitan masa, sedekahkanlah masa kita untuk membantu ke jalan kebaikan. Jika kita kekurangan wang, sedekahkanlah wang kita kepada yang lebih memerlukan, dan sebagainya. Itulah formula rezeki yang amat berkesan.

4. MELAZIMI AL-QURAN

Allah menjanjikan keberkatan dunia dan akhirat kepada setiap orang Islam yang selalu meluangkan waktu membaca dan memahaminya. Ia adalah ayat-ayat dari Allah dan mukjizat yang teragung. Maka, rugilah jika kita tidak berusaha memahami isinya dan membaca ayatNya. Bacalah al-Quran setiap hari dan ajarkannya kepada anak-anakseawal usia.
Seseungguhnya, rumah yang dibacakan al-Quran di dalamnya akan dipenuhi dengan berkat.
Firman Allah:
“Dan (al-Qur’an) ini adalah kitab yang Kami telah turunkan yang mengandungi berkat, mengesahkan kebenaran kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan supaya engkau memberi peringatan…”
(Surah al-An’am: 92)

Foto Kredit: ultimatemuslimwarriors.wordpress.com

5. SOLAT DHUHA

Dalam sibuk memfokuskan pada kerja-kerja seharian di pejabat, menjaga anak di rumah, menyediakan makanan tengahari, terdapat satu rahsia dalam membantu anda mencapai keberkatan di dalamnya, iaitu dengan mengerjakan solat dhuha.
Terdapat banyak kelebihan luar biasa bagi solat sunat dhuha yang disebutkan dalam hadis.
Memetik salah satu daripadanya, Allah berfirman:
يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ يَا ابْنَ آدَمَ لاَ تُعْجِزْنِى مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِى أَوَّلِ نَهَارِكَ أَكْفِكَ آخِرَهُ
“Wahai anak Adam, janganlah engkau luput dari empat rakaat di awal harimu (solat dhuha), nescaya Aku cukupkan untukmu di sepanjang hari itu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Foto Kredit : picssr.com

6. ISTIGHFAR

Kalaulah dosa boleh ditayangkan pada kita selama kita hidup, mungkin ramai yang dah berputus asa kerana terlalu banyak berbuat dosa.
Tapi, penting untuk kita ingat bahawa Allah itu Maha Pengampun. Kita takkan mampu membayangkan betapa luasnya pengampunan Allah. Selagi mana kita memohon ampun kepadanya, ia tetap akan diampunkan walaupun dosa kita amat banyak, bak buih di lautan. Memohon ampun adalah perbuatan yang amat disukai oleh Allah. Malah, Allah turut menjanjikan kelapangan rezeki padanya seperti yang disebutkan dalam al-Quran:
“Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, – sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.”
(Surah Nuh: 10-12)
persiapan ramadhan
Foto Kredit: postandcourier.com

7. SOLAT TAHAJUD

Allah menjanjikan kemudahan bagi orang-orang yang dapat melakukan solat tahajud,iaitu solat sunat yang dilakukan di tengah malam. Antara salah satu kelebihannya, Allah akan memberikan jalan terang di dunia dan akhirat.
Setiap malam Allah SWT turun ke langit dunia sampai tersisa sepertiga malam yang terakhir. Ia (Allah) pun berkata,” Adakah hamba-Ku yang meminta sehingga pasti Aku berikan apa yang dia minta? Adakah hamba-Ku yang berdoa hingga pasti Aku kabulkan doanya? Adakah hamba-Ku yang ber-istighfar sehingga Aku ampuni dosanya?
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Emosi terganggu
Foto Kredit: haberform.com

8. TAWAKAL

Jika kita sedang dilanda kesempitan, kuatkanlah pegangan kita kepada Allah. Jangan pernah kita berputus asa kerana di kala itulah peluang keemasan untuk syaitan ‘mencucuk jarum’.
Sekalipun kita dah berusaha dan belum mendapat hasil yang diharapkan, percayalah bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita.
Seperti yang disebutkan dalam al-Quran (Ayat Seribu Dinar):
“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah(dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan diberikannya kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan diberikanya rezeki yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka dicukupkan baginya (keperluan untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang di kehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
(Surah At-Talaq: Ayat 2-3)
doa penenang hati
Foto Kredit: soundvision.com

9. BERDOA DENGAN LEBIH SPESIFIK

Berapa kenaikan gaji yang kita perlukan? Berapa nilai hutang yang ingin dilangsaikan? Ceritakanlah masalah kita secara spesifik dengan Allah. Sesungguhnya Allah senang jika hambaNya menyedari diri mereka lemah dan amat bergantung kepada Allah, dan bukannya bos di pejabat, bukannya pada orang atasan, atau sesiapa saja.
Mintalah pada Allah! Dialah Tuhan yang Maha Kaya dan mampu mengabulkan setiap permintaan hambaNya.
Panduan Solat Hajat Ringkas & Mudah. Dengan Doa!
Foto Kredit: thechosenummah.com

10. MENSYUKURI SEKECIL-KECIL NIKMAT

Setiap kecukupan bermula dengan kesyukuran. Ringankanlah menyebut Alhamdulillah apabila menerima sesuatu yang menyenangkan. Bukan ketika kenyang saja.
Bangun tidur ucap Alhamdulillah, selamat sampai di pejabat ucap Alhamdulillah, suami pulang rumah ucap Alhamdulillah. Semua hal-hal ini terlihat kecil, tapi bayangkan jika ia tidak dapat dirasai lagi oleh kita selepas ini?
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.
(Surah Ibrahim: 7)
cara ajar anak kenal nabi
Foto Kredit: vox.com

BERSANGKA BAIKLAH KEPADA PEMBERI REZEKI

Allah telah menetapkan kurniaan rezeki setiap makhluknya yang melata di bumi ini, tidak terkecuali kita sebagai manusia. Oleh itu, bersyukurlah kita dan bersangka baiklah dengan setiap pemberian Allah. Sesungguhnya setiap kesenangan dan kesusahan, kedua-duanya adalah ujian.
Mudah-mudahan dengan semua amalan ini, bukan saja urusan dunia kita dipermudahkan, tetapi juga urusan di akhirat.
Sumber : https://siraplimau.com


from Jom Dakwah http://ift.tt/2jfPeJl
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment