Sejak belakangan ini, masalah penceraian dalam masyarakat kita semakin meningkat dari hari ke hari. Tidak kira dalam kalangan pasangan muda, mahupun yang sudahpun melayari bahtera lebih 20 tahun. Masalah ini sering berlaku.
Benar, ia takdir Allah dan kita seharusnya menerima hakikat jodoh di tangan Allah. Tiada sesiapa sukakan mahupun mengharapkan penceraian.
Kes penceraian berpunca dari pelbagai jenis alasan. Dari sebesar-besar isu seperti kes dera atau pasangan yang tidak mendapat zuriat, sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti suami suka menyepah baju kotor atau isteri tidak pandai berhias.
Walau apa pun punca, ia semuanya alasan. Dalam melayari bahtera perkahwinan, suami dan isteri seharusnya saling bertolak ansur, memahami, menghormati dan menyayangi.
Sifat itu tidak hanya boleh datang dari sebelah pihak semata-mata. Kedua-duanya harus memainkan peranan yang penting.
Disebabkan itu, perkara paling utama dalam perkahwinan adalah mencari pasangan yang sesuai.
Antara kesilapan terbesar yang sering dilakukan oleh golongan muda kita adalah terburu-buru membuat keputusan untuk berkahwin tanpa betul-betul mengenali pasangan dengan betul.
Saya tidak menggalakkan couple atau “dating secara halal” sebelum perkahwinan.
Matlamat tidak pernah menghalalkan cara.
Tetapi saya menggalakkan mereka yang ingin berkahwin untuk mengenali pasangan dengan bertanyakan beberapa soalan kritikal sebelum membuat keputusan untuk meneruskan langkah seterusnya.
Mencari pasangan bukanlah seperti membeli sayur di pasar. Asalkan cantik dan menarik, kita beli tanpa benar-benar mengetahui sayur tersebut sudah berulat di dalamnya atau tidak.
Sekiranya anda sedang dalam fasa “mengenali seseorang”, ikutilah 10 panduan di bawah untuk mengetahui ciri pasangan yang dicari dan yang patut dielakkan.
8 Panduan Mengelak Dari Mengahwini Orang Yang Salah
#1 Jangan Kahwini Kerana Potensi
Seringkali, lelaki mengahwini seseorang dengan harapan wanita tersebut tidak akan berubah. Kekal cantik dan anggun.
Seringkali juga, perempuan mengahwini seseorang dengan harapan lelaki itu akan berubah. Daripada pemarah kepada penyayang. Daripada menghisap rokok sehingga berhenti merokok kerananya.
Jangan sesekali menyangka anda boleh mengubah pasangan anda mengikut acuan yang anda mahukan selepas mengahwininya.
Sekiranya anda tidak boleh menerima tabiat si dia, atau tidak boleh membayangkan untuk menghabiskan usia bersamanya sekiranya dia masih meneruskan tabiat tersebut, jangan membuat keputusan untuk berkahwin dengannya.
#2 Pilih Karakter, Lebih Dari Keserasian
Lumrah manusia untuk mencari pasangan yang mempunyai daya tarikan dan keserasian dengan mereka. Namun, karakter adalah komponen paling penting dalam mencari bakal suami/isteri kita.
Jadi, apa karakter tersebut?
Merendah diri: Orang yang merendah diri tidak akan sesekali demand atau terlalu meminta, sebaliknya meletakkan prinsip dan nilai mereka melebihi keselesaan diri sendiri. Mereka lebih pandai mengawal marah, sentiasa bersederhana dan tidak materialistik.
Gembira: Orang yang sentiasa gembira adalah orang yang sentiasa bersyukur dengan apa jua yang dia perolehi. Mereka lebih positif dan fokus hanya pada apa yang dia ada, bukan meratapi apa yang dia tiada. Mereka juga jarang merungut.
Tanggungjawab: Orang yang bertanggungjawab mempunyai kewangan, perhubungan, karakter dan kerjaya yang lebih stabil. Anda pasti boleh bergantung padanya dan mempercayai kata-katanya.
Baik hati: Orang yang baik hati lebih mementingkan untuk menggembirakan orang lain, dan meringankan beban orang lain. Untuk mengetahui adakah seseorang itu baik hati atau tidak, perhatikan bagaimana dia melayan ahli keluarganya, adik-beradik dan ibu bapanya.
Adakah dia menghargai segala pengorbanan mereka. Sekiranya tidak, dia selamanya tidak akan menghargai apa jua yang anda lakukan untuknya. Perhatikan juga, bagaimana dia melayan orang lain?
Makcik penjual nasi lemak di pasar malam, tukang sapu sampah di jalanan, pekerja pam stesen minyak dan lain-lain? Bagaimana dia menguruskan perbelanjaan? Bagaimana dia menghadapi perasaan marah dan bagaimanakah respon beliau terhadap kemarahan seseorang?
#3 Tidak Abaikan Perasaan Pasangan
Lelaki dan wanita masing-masing mempunyai keperluan emosi yang tersendiri. Demi mengekalkan perhubungan, keperluan emosi tersebut haruslah dipenuhi. Keperluan emosi hakiki wanita adalah untuk disayangi, sementara keperluan emosi lelaki adalah untuk dihormati dan dihargai.
Berhenti dan berfikir sejenak. Sekiranya anda seorang lelaki, adakah anda mampu untuk menyayangi calon isteri anda sepanjang hayat anda? Adakah dia akan sentiasa menghormati dan menghargai anda?
Cinta semata-mata tidak cukup hanya dengan sekadar menyimpan perasaan sayang padanya. Anda perlu sentiasa meluahkan rasa sayang anda padanya, dengan kata-kata dan perbuatan. Biarkan dirinya rasa disayangi dan dihargai setiap hari.
Memeluk dan menciumnya setiap kali sebelum bertolak ketempat kerja, membantu menguruskan rumah dan anak-anak, sekali sekala belikannya bunga tanda anda berterima kasih atas segala pengorbanannya, puji kecantikannya dan macam-macam lagi.
Dengan cara ini, pasangan anda pasti akan berusaha memberikan yang terbaik untuk anda. Ingatlah, penghormatan dan penghargaan akan datang dengan sendirinya sekiranya anda mampu menunjukkan contoh dan sifat yang terbaik diri anda.
Sekiranya anda seorang wanita, berfikirlah sejenak. Adakah anda mampu menghormati dan menghargai si dia sepanjang hayat anda? Adakah calon suami anda akan sentiasa menyayangi anda?
Sebaik berkahwin, suami seharusnya berada di tempat yang teratas keutamaan anda, melebihi ibu bapa anda, melebihi anak-anak dan melebihi sanak saudara anda. Sekalipun anda berpendapatan dan berpendidikan lebih tinggi darinya, anda seharusnya menghormati dan menghargainya. Sama seperti kasih sayang, penghormatan dan penghargaan tidak seharusnya sekadar dalam hati.
Anda harus meluahkannya dengan kata-kata dan perbuatan. Memasak makanan kegemaran suami, menjaga kata-kata agar tidak melukakan hatinya, meminta izin sebelum keluar kemana-mana, membelanjakan duitnya dengan berhemah, berusaha memberikan yang terbaik buat dirinya, tidak merendah-rendahkan usahanya, sentiasa memberitahunya betapa anda bersyukur mempunyai dia dalam hidup anda, dan macam-macam lagi.
Dengan cara ini, suami akan lebih menyayangi dan melayan anda sebaik mungkin.
#4 Elakkan Mempunyai Perancangan Hidup Yang Berbeza
Dalam perkahwinan, mempunyai perancangan hidup yang sama adalah sangat penting. Pasangan yang mempunyai perancangan hidup yang berbeza mempunyai kebarangkalian untuk berpisah akibat kehendak dan misi hidup yang berbeza.
Ketahui dahulu apakah perancangan hidup calon pasangan hidup anda. Dalam erti kata lain, apakah yang beliau betul-betul mahu dalam hidup.
Kemudian, tanya pula diri anda. Adakah anda menghormati perancangan hidup beliau? Adakah anda bersedia untuk mengharunginya bersama-sama anda? Adakah perancangan hidup beliau bertentangan dengan cita-cita anda?
Duduk dan berbincang dahulu akan perancangan hidup masing-masing. Pasangan yang tidak mempunyai perancangan hidup juga merbahaya. Ini melambangkan beliau tidak berminat untuk memperbaiki taraf hidup diri sendiri dan keluarga kearah yang lebih baik.
#5 Elakkan Zina Atau Sebarang Aktiviti Yang Mendekatinya
Ketahuilah, terdapat beribu hikmah disebalik mengapa Islam menegah zina atau sebarang aktiviti yang mendekatinya. Saya percaya, calon pasangan yang menjaga batas-batas pergaulan dan menghormati diri anda dengan tidak menyentuh anda sebelum berkahwin merupakan calon pasangan yang mampu menghormati dan menjaga anda sebaiknya sepanjang hidup beliau.
Sekiranya sedari awal beliau tidak mampu menahan perasaannya untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya, walaupun sekadar memegang anda, adakah anda pasti selepas berkahwin, beliau tidak akan melakukan perkara yang sama pada orang lain pula?
Sekiranya sebelum berkahwin beliau sudah berani mengajak anda berzina, adakah anda pasti beliau tidak berani mengajak orang lain pada masa yang sama?
Aktiviti seksual tidak salah dilakukan, malah mendapat pahala jika melakukannya HANYA sekiranya halal. Ia lebih manis dilakukan dalam keadaan tanggungjawab, dimana pasangan tersebut sudah berjanji untuk saling menyayangi dan menjaga dibawah rahmat Allah.
#6 Elakkan Kekurangan Hubungan Emosi
Terdapat empat soalan yang anda boleh menjawabnya dengan YA:
Adakah saya menghormati dan mengagumi si dia ini? Apakah perkara yang saya hormati dan kagumi berkenaan dia secara spesifik?
Adakah saya mempercayainya? Bolehkah saya bergantung padanya? Adakah saya menghormati setiap keputusan dan pertimbangannya? Adakah saya mempercayai setiap kata-katanya?
Adakah saya berasa selamat disampingnya? Bolehkah saya menjadi diri sendiri apabila bersamanya? Bolehkah saya meluahkan setiap perasaan dan pemikiran saya padanya?
Adakah saya berasa tenang bersamanya?
Sekiranya tidak pasti atau tidak tahu adalah antara jawapan anda, teruskan menilai sehingga anda betul-betul pasti dan faham akan perasaan anda. Ingatlah, sekiranya jawapannya bukan YA sekarang, jawapan tersebut tidak akan selamanya berubah walaupun selepas perkahwinan!
#7 Percaya Pada Gerak Hati
Memilih orang yang anda tidak berasa selamat setiap kali bersamanya bukanlah alamat yang baik untuk rumahtangga yang bahagia dan berkekalan hingga akhir hayat. Apabila anda tidak berasa selamat, anda berasa tidak bebas untuk meluahkan perasaan sebenar dan pendapat anda. Perhatikan perkara-perkara ini:
Mengongkong: Anda terpaksa mengawal perlakuan anda, cara anda berfikir, cara anda berpakaian, dengan siapa anda keluar, apa yang anda suka makan, bagaimana anda menghabiskan masa. Semuanya termasuk dalam perlakuan yang dikawal oleh bakal pasangan.
Dalam erti kata lain, pasangan anda gemar mengongkong! Kenali perbezaan antara cadangan atau arahan beliau. Sekalipun dia mahu mengubah anda menjadi orang yang lebih baik, beliau sepatutnya mengajak anda berubah perlahan-lahan, bukannya dengan cara memaksa.
Masalah mengawal amarah: Terdapat sesetengah orang yang gemar meninggikan suara pada pasangannya sekalipun perkara yang berlaku hanyalah kecil. Ada juga orang yang tidak mampu mengawal stress akibat perkara lain, dan melepaskan kemarahannya pada orang lain.
Tambah memburukkan, orang tersebut gemar mencarut, memaki, menghina dan mencederakan pasangannya. Sekiranya bakal pasangan anda mempunyai ciri-ciri seperti ini, jangan hanya bersabar dan mengharapkan dia berubah menjadi lebih baik selepas berkahwin. Mustahil!
Pasangan yang suka berahsia: Banyak pasangan sering melakukan kesilapan dengan tidak berbincang. Tanya diri anda “Apa yang sepatutnya saya tahu untuk meyakinkan diri saya mengahwini si dia ini?”
Adalah sangat penting anda mengenalpasti apa yang membuatkan anda ragu-ragu untuk menjadikan dia pasangan hidup.
#8 Moral Dan Teguh Pegangan Agama
Semestinya point terakhir adalah paling utama dan penting! Bermoral dan kuat pegangan agama merupakan kualiti yang paling penting dalam memilih pasangan melebihi kecantikan, kekayaan dan kesihatan.
Individu yang bermoral dan beragama akan sentiasa berada disisi anda disaat susah dan senang. Pasangan yang ideal adalah pasangan yang mahu memberi, lebih dari menerima serta berusaha memperbaiki dirinya menjadi lebih baik setiap hari.
Perkahwinan bukan sahaja sekadar penyatuan dua cinta. Perkahwinan datang seiring dengan tanggungjawab memimpin seisi keluarga – suatu tanggungjawab yang bukan mudah kerana ia memerlukan sifat boleh mengawal diri dan disiplin yang tinggi.
Sumber : http://www.bidadari.my
from Jom Dakwah http://ift.tt/2hb5QgU
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment