Memandang wanita cantik memang menyeronokkan, begitu juga bagi wanita, memandang lelaki yang tampan dan sasa cukup menyedapkan mata.
Perkara yang disukai nafsu memang begitu. Ditambah pula dengan syaitan yang menjadikan segala yang haram itu indah-indah semuanya.
Tambah-tambah pula hari ini memandang wanita cantik atau lelaki yang tampan tidak lagi perlu berselindung dengan kaca mata hitam. Cukup dengan buka akaun facebook atau Instagram wanita yang diidam-idamkan, cari gambar profilnya yang terbaik dan wajah wanita cantik tersebut boleh ditatap puas-puas di skrin telefon sahaja.
Bagi wanita pula, tanpa segan silu, wajah mulus artis-artis Korea ada yang dijadikan gambar profil dan gambar cover. Ada juga yang menjadikan gambar tersebut sebagai ‘wallpaper’ telefon dan laptop.
Lebih menakutkan, gambar yang baik kualitinya boleh di ‘zoom’ sedekat-dekatnya dan bagi lelaki-lelaki yang berpenyakit hatinya, ada yang sanggup beronani dengan melihat gambar-gambar wanita cantik tersebut. Jangan tidak percaya, tapi ia memang benar-benar berlaku. Sebab itu bagi wanita, terutamanya yang cantik, jangan sebarangan letak gambar ‘pose’ comel di laman facebook atau instagram, terutamanya jika anda ada ramai rakan dan pengikut lelaki.
Perisai bagi penyakit ini adalah ‘ghaddul basr’ atau menundukkan pandangan. Islam mengajar agar kedua lelaki dan wanita menundukkan pandangan, khususnya bagi anak-anak muda.
Allah berfirman di dalam Al Quran, surah Nur ayat 30:
“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”.(Surah Nur, Ayat 30)
Menundukkan pandangan adalah langkah pencegahan zina yang paling efektif. Biasa kita dengar, dari mata, jatuh ke hati.
Zina yang akhirnya menyebabkan lahirnya bayi-bayi terlarang yang akhirnya banyak yang dibunuh dengan kejam bermula dari pandangan mata yang mungkin ramai bagi kita, merasakan bahawa ianya tidak ada apa-apa.
Menjelaskan Kepada Anak Sebab Pandangan Mesti Ditundukkan
Pelajaran menundukkan pandangan ini mesti bermula di rumah, sejak kecil lagi dan anak-anak mesti difahamkan mengapa pandangan mesti ditundukkan, iaitu kerana ianya adalah perintah Allah.
Rasulullah ﷺ bersabda, “Wahai Ali, janganlah pandangan pertama kau ikuti dengan pandangan berikutnya.Untukmu pandangan pertama, tetapi bukan untuk berikutnya.”(HR. Tirmidzi)
Ibu Bapa Perlu Menundukkan Pandangan Anak Sejak Kecil
Ibu bapa mesti membiasakan anak-anak menundukkan pandangan sejak dari kecil lagi. Baik di jalanan, di depan televisyen, mahupun di skrin telefon pintar.
Rasulullah ﷺ juga telah menunjukkan teladan praktikal tentang bagaimana untuk mendidik supaya anak-anak menundukkan pandangan.
Diwayatkan oleh Bukhari, Tirmidzi dan Abu Daud dari Abdullah Bin Abbas RA:
“AL Fadhl bin Abbas dibonceng Rasulullah ﷺ. Kemudian datanglah seorang wanita dari kabilah Khats’am yang datang hendak bertanya kepada beliau.Al Fadhl melihat ke arahnya, dan wanita itu pun melihat ke arah Al Fadhl. Maka Rasulullah ﷺ memalingkan wajah Al Fadhl ke arah lain.”
Dalam sebuah hadis lain riwayat Ahmad, diriwayatkan dari Al Fadhl bin Abbas RA:
Aku dibonceng Rasulullah ﷺ dari Juma’ ke Mina. Ketika beliau berjalan, ada seorang ‘Arabi memboncengkan anak gadisnya yang cantik.Dia berjalan sejajar dengan beliau. Aku melihat ke arah gadis itu. Nabi ﷺ melihat ke arahku, lalu memalingkan wajahku dari wajah gadis itu.Aku kembali melihat ke arahnya, maka beliau memalingkan wajahku dari wajah gadis itu. Beliau lakukan itu sampai tiga kali.”
Dari dua hadis di atas, kita dapat lihat bahawa Rasulullah ﷺ cukup tegas dalam memelihara pandangan anak-anak. Tiga kali Rasulullah ﷺ memalingkan wajah Al Fadhl, menunjukkan keseriusan Rasulullah untuk tidak membenarkan Al Fadhl berseronok dengan pandangan matanya.
Mengawai Rancangan Televisyen Yang Ditonton Anak
Dalam konteks kita hari ini, sebagai praktikal kepada hadis tersebut, ibu bapa mesti memantau rancangan televisyen yang ditonton oleh anak-anak. Jika ada babak yang tidak soleh atau aksi yang boleh mendatangkan dosa pada pandangan mata anak-anak, ibu bapa mesti memainkan peranan dengan menutup televisyen atau menukar siaran lain.
Mengalihkan Pandangan Anak Walau Di Mana Berada
Ketika berada di jalanan tatkala melihat anak-anak tertarik pandangannya kepada perkara-perkara yang dilarang agama untuk memandangnya, ibu bapa mesti berpesan dan mengalihkan pandangan anak-anak.
Menjadi Role Model Bagi Anak Anak
Dalam hal ini, sudah tentu ibu bapa pun kena berdisplin juga, jangan anak-anak dilarang, tapi ibu bapa seronok menonton wayang yang jelas tidak patuh syariah dan melihat aksi-aksi yang mendatangkan dosa dalam drama-drama televisyen dengan selamba.
Ibu bapa adalah contoh bagi anak-anak, jika ibu bapa juga terbiasa menundukkan pandangan, maka insya-Allah, lebih mudah untuk mendidik anak-anak menundukkan pandangan.
Moga kita semua diberi kekuatan, insya-Allah.
Sumber : http://www.bidadari.my
from Jom Dakwah http://ift.tt/2iC3R5H
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment