Friday, 9 December 2016

ADAKAH MEMERLUKAN WUDHU’ & MENGHADAP KIBLAT? Mari Kita Belajar Cara Sujud Syukur Sebenar..



Soalan:
Saya ingin bertanyakan tentang kaifiyat sujud syukur. Adakah perlu mempunyai wudhu’ dan juga menghadap kiblat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Disunatkan untuk melakukan sujud syukur ketika mana menerima kurnian nikmat daripada Allah SWT seumpama kelahiran anak, mendapat harta, pangkat, lulus peperiksaan dengan cemerlang dan juga selainnya. Begitu juga disunatkan untuk sujud syukur ketika mana kita terbebas dari segala bala dan bencana sepertimana terselamat dari kemalangan, gempa bumi dan juga perkara-perkara yang tidak baik. Ini adalah pendapat al-Syafi’e (begitu juga pendokong mazhab Syafi’e), Ahmad bin Hanbal (begitu juga pendokong mazhab Hanbali), Ishak, Abu Thaur dan juga Ibn al-Munzir. Adapun al-Nakha’ie, Malik dan juga Abu Hanifah berpendapat bahawa sujud syukur adalah makruh.[1] Namun, terdapat juga pendapat sebahagian Malikiyyah yang mengatakan bahawa sunatnya sujud syukur.

Dalil Sujud Syukur
Dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan sujud syukur adalah berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abu Bakrah RA:
أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ
Maksudnya: Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah SWT.
Riwayat Abu Daud (2774). Disahihkan oleh Al-Albaani.
Begitu juga diriwayatkan daripada para Sahabat yang mana turut juga melakukan sujud syukur ketika menerima satu perkhabaran yang gembira. Sebagai contoh, diriwayatkan bahawa Abu Bakar RA sujud syukur ketika pembukaan Yamamah. Begitu juga Ali RA telah sujud syukur apabila mendapati bahawa Dzu al-Thudayyah berada dalam kawanan Khawarij. Seterusnya, diriwayatkan juga bahawa Ka’ab bin Malik telah sujud syukur ketika mana mendengar khabar bahawa taubatnya telah diterima oleh Allah SWT.

Kaifiyat Sujud Syukur
Di dalam kitab fiqh Syafi’e dan juga Hanbali menyebutkan bahawa sifat serta kaifiyat sujud syukur itu adalah seperti mana sujud tilawah di luar solat. Oleh itu, bagi yang ingin melakukan sujud syukur mestilah dalam keadaan berwudhu’, menutup aurat, bersih dari sebarang najis bagi tubuh badan, pakaian serta tempat sujud dan perlulah menghadap kiblat. [2]
Secara praktikalnya bagi yang ingin melakukan sujud syukur adalah seperti berikut[3]:
  • Perlulah berniat terlebih dahulu untuk melakukan sujud syukur.
  • Kemudian bertakbir sepertimana takbiratul ihram dengan mengangkat tangan kerana diqiyaskan dengan solat.
  • Kemudian bertakbir sekali lagi tanpa mengangkat tangan yang mana takbir pada kali ini adalah untuk turun sujud.
  • Kemudian sujud sekali sepertimana sujudnya di dalam solat. Adapun bacaan ketika sujud syukur ini adalah bacaan sepertimana sujud di dalam solat dan kemudiannya boleh ditambahkan dengan lafaz tahmid memuji Allah SWT atas kurniaan nikmat yang telah diberikan oleh-Nya.
  • Kemudian bangun dari sujud (dalam keadaan duduk) dan memberi salam. Tidak disyaratkan untuk membaca tasyahhud dan tidak juga disunatkan untuk membacanya.

Sujud Syukur Tanpa Wudhu’ & Tidak Menghadap Kiblat
Selain dari kaifiyat yang ditunjukkan pada perbahasan sebelum ini, terdapat juga perbahasan para ulama’ mengenai sujud syukur tanpa wudhu’ serta tidak pula menghadap kiblat. Ini adalah pendapat kebanyakan salaf  serta sebahagian al-Malikiyyah[4]. Begitu juga ianya adalah pendapat jemaah muhaqqiq seperti Ibn Jarir al-Tabari, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah[5], Ibn al-Qayyim[6], al-Syaukani[7] dan al-San’ani[8].
Bagi yang berpendapat sedemikian, berikut adalah alasan serta justifikasi bagi menyokong pendapat mereka:
  1. Pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur memerlukan wudhu’ perlu mendatangkan dalil. Mengqiyaskan sujud syukur dengan solat adalah tidak tepat kerana sujud syukur itu adalah sujud dan bukannya seperti solat.
  1. Zahir hadith Abu Bakrah RA yang menunjukkan bahawa Nabi SAW terus sujud syukur tatkala menerima sesuatu yang menggembirakan Baginda. Tiada pula disebutkan perlunya dalam keadaan berwudhu’. Sekiranya memerlukan wudhu’ pasti akan diterangkan oleh Baginda SAW kerana berhajatkan kepadanya bahkan hadith menyebutkan Nabi SAW terus sujud tatkala menerima khabar yang gembira.
  1. Sujud syukur dilakukan apabila mendapat nikmat atau terselamat dari mudarat tanda syukur kepada Allah SWT. Ianya dilakukan secara serta merta. Jika memerlukan kepada wudhu’, sudah tentu ianya tidak dapat dilakukan dengan segera kerana perlu mencari air untuk berwudhu’, mencari kiblat kemudian barulah boleh melakukan sujud syukur. Ini boleh menghilangkan rahsia makna disyariatkan sujud syukur itu sendiri.

Kesimpulan
Kami melihat di dalam isu ini, pendapat yang lebih dekat adalah pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur boleh dilakukan tanpa adanya wudhu’ dan juga menghadap ke kiblat. Ini dengan melihat bahawa tiada dalil yang menjadi pemutus akan perlunya untuk berwudhu’ dan menghadap kiblat.
Boleh sahaja bagi mereka yang menerima khabar gembira seperti mendapat anak, lulus peperiksaan, naik pangkat untuk terus sujud menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT. Begitu juga seseorang yang terselamat dari kecelakaan jalan raya, sembuh dari penyakit, boleh terus sujud menzahirkan rasa syukur serta lega dari kemudaratan yang tidak menimpa ke atasnya.
Jika ingin beramal dengan pendapat yang mengatakan perlunya wudhu’ serta menghadap kiblat juga tiada masalah kerana isu ini terdedah kepada perbahasan ilmiah yang boleh diperbahaskan lagi.
Semoga dengan pencerahan ini, dapat sama-sama untuk kita lebih memahami berkenaan sujud syukur dengan lebih baik lagi dan yang lebih utama adalah dengan mengamalkannya. Wallahu a’lam.


Sumber: MuftiWP


from Jom Dakwah http://ift.tt/2hbz0vj
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment