Saturday, 24 December 2016

Adab Bersin Dalam Islam

Hadis dari Al Barra’ radhiallahu anhu menyatakan bahawa Rasulullah ﷺ  memerintahkan tujuh perkara, di antaranya termasuklah memberi salam dan mendoakan orang yang bersin. Allah سبحانه وتعالى menyukai bersin kerana itu digalakkan jika seseorang terbersin lalu dia memuji Allah سبحانه وتعالى, maka setiap orang Islam lain yang mendengar, hendaklah mendoakannya juga.
.
.

A) Mendoakan Hanya Kepada Pemuji Allah

 .
Mendoakan hanyalah kepada yang memuji Allah سبحانه وتعالى selepas bersin dan tidak disarankan untuk mendoakan bagi yang tidak memuji Allah سبحانه وتعالى.
Dari Abu Musa Al Asy’ari radhiallahu anhu berkata: “Saya mendengar Rasulullah ﷺ  bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu sekalian bersin dan memuji Allah (mengucapkan “Alhamdulillah”), maka doakanlah dia (dengan mengucapkan “Yarhamukallah”).  Dan apabila dia tidak memuji Allah, maka janganlah kamu mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
 .
Dari Anas r.a, katanya: Ada dua orang bersin berhampiran Nabi Muhammad ﷺ , lalu Nabi mendoakan salah seorang dari mereka dan tidak mendoakan yang lain. Orang itu berkata: “Ya Rasulullah! Anda mendoakan orang ini, tetapi tidak mendoakan saya.” Baginda ﷺ  menjawab: “Orang ini memuji Allah (mengucapkan ‘Alhamdulillah’) sedangkan engkau tidak.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim r.a.)
.
.

B) Tahmid, Tasymid Dan Doa

 .
Ucapan Tahmid, Tasymid Dan Doa Bersin
Doa Bersin.
Dalam riwayat Abu Hurairah radhiallahu anhu, ia berkata bahawa Rasulullah ﷺ  bersabda :
“Jika salah seorang dari kamu bersin, hendaklah ia mengucapkan ‘Alhamdulillah’ (Segala puji bagi Allah)’ dan saudaranya atau orang yang bersamanya mengatakan kepadanya ‘Yarhamukallah’ (Semoga Allah merahmatimu)’. Jika salah seorang mengucapkan ‘Yarhamukallah’, maka orang yang bersin tersebut hendaklah menjawab ‘Yahdiikumullah Wayushlih Baalakum’  (Semoga Allah سبحانه وتعالى memberikanmu petunjuk dan memperbaiki keadaanmu).” (Hadis Riwayat Imam Bukhari r.a.)
.
.

C) Ucapan-Ucapan Lain Berkaitan Bersin

 .
1.  Dari Abdullah bin Amir bin Rabi’ah dari ayahnya dia berkata: “Pernah seorang pemuda Ansar bersin di belakang Rasulullah ﷺ  waktu sedang solat, lalu dia mengucapkan: “Al hamdulillaahi hamdan katsiiran thayyiban mubaarakan fiihi hatta yardhaa rabbunaa, wa ba’da maa yardhaa min amrid dunyaa wal aakhirati” (Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, baik lagi penuh barakah, sehingga Tuhan kami menyukai(nya) dan setelah disukai-Nya, iaitu masalah dunia dan akhirat).” Setelah Rasulullah ﷺ  selesai Baginda bersabda: “Siapakah orang yang mengucapkan kalimat itu?” Kata Amir: Maka pemuda itu diam saja, lalu beliau ﷺ  bersabda (lagi): “Siapakah yang mengucapkan kalimat itu? Sungguh dia tidak mengucapkan (perkara) buruk!” Maka dia berkata: “Wahai Rasulullah, sayalah yang mengucapkannya, saya hanyalah menginginkan kebajikan kerananya!”. Baginda bersabda: “Kalimat itu (langsung) tidak terhenti di bawah Arasy Yang Maha Pengasih.” Dalam isnad hadis ini ada Aslim bin Abdullah bin Aslim bin Umar bin Khaththab dan Syarik bin Abdullah Al Qadhi, keduanya menjadi perbincangan. (Hadis Riwayat Abu-Daudr.a.)
.
2.  Selepas bersin hendaklah mengucapkan “Alhamdulillah”, sebagai rasa bersyukur dengan memuji Allah سبحانه وتعالى. Dan orang yang mendengarnya hendaklah mengucapkan “Yarhamukallah” sebagai mendoakan kesejahteraan orang yang bersin itu agar dia agar dirahmati Allah. Serta dibalas pula oleh orang yang bersin dengan mengucapkan “Yahdiinaa Wayahdii Kumullah”. Namun begitu sekiranya orang yang bersin itu tidak mengucapkan ‘Alhamdulillah’ selepas bersin maka dia tidak berhak untuk diberikan ucapan tersebut.
.
3.  Menjawab orang yang bersin sekiranya dia mengucapkan ‘Hamdalah’ (Alhamdulillah) hukumnya wajib, dan wajib juga menjawab orang yang mengucapkan “Yarhamukallah” dengan ucapan “Yahdiina Wayahdii Kumullah”, dan jika seseorang yang bersin itu terus menerus bersin lebih dari tiga kali, maka kali keempatnya hendaklah diucapkan “Afakallah” (Semoga Allah menyembuhkan anda) sebagai ganti dari ucapan “Yarhamukallah”.
.
.

D) Ucapan Bersin Kepada Orang Bukan Islam

.
Daripada Abu Musa radhiallahu `anhu, ia berkata:
“Orang-orang Yahudi saling bersin di samping Rasulullah  ﷺ , mereka berharap semoga Rasulullah menjawab: “Yarhamukallaah” (Semoga Allah melimpahkan belas kasih padamu). Tetapi Rasulullah menjawab: “Yahdiikumullahu wa yushlihu baalakum” (Semoga Allah memberi petunjuk dan membuat baik hatimu).” (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi r.a.)
.
.

E) Antara Bersin Dan Menguap

.
Allah سبحانه وتعالى menyukai kejadian bersin kerana hambanya saling mendoakan. Manakala membenci perlakuan menguap kerana syaitan suka mempermain dan tertawa mendengarnya.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah ﷺ , bersabda :
“Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى menyukai bersin dan membenci menguap. Jika salah seseorang dari kamu bersin, maka hendaklah ia menucapkan ‘Alhamdulillah’ (Segala puji bagi Allah سبحانه وتعالى). Bagi kaum muslimin yang mendengar pujian tersebut hendaknya mengatakan ‘Yarhamukallah’ (Semoga Allah سبحانه وتعالى merahmatimu), sedangkan menguap merupakan pekerjaan syaitan. Jika salah seorang dari kamu hendak menguap, maka sedapat mungkin hendaklah ia tahan. Sesungguhnya jika salah seorang dari kamu menguap, maka syaitan akan mentertawakannya.”  (Hadis Riwayat Imam Bukhari r.a.)
.
.

F) Penyakit Selsema

.
Bersin yang terlalu kerap melebihi daripada tiga kali adalah menandakan seseorang itu kemungkinan akibat diserang penyakit selsema.
Daripada lyas bin Salamah bin Al-Akwa’, dari ayahnya, dia berkata: Rasulullah ﷺ  bersabda: “Orang yang bersin itu didoakan sehingga tiga kali. Adapun jika lebih (dari tiga kali), maka dia itu terkena selsema.” (Hadis Riwayat Ibnu Majjahr.a.)
Dari Iyas bin Salamah dari ayahnya dari Nabi ﷺ  seperti hadis di atas, “Seorang lelaki bersin berhampiran Rasulullah ﷺ  dan saya melihatnya, maka Rasulullah bersabda :“Yarhamukallahu” (Semoga belas kasih Allah untukmu), kemudian ia bersin lagi, maka Rasulullah bersabda : “Orang ini terkena selsema.” dan Nabi mengatakan, “Kamu selsema!” pada bersin yang ketiga.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi r.a.)
.
.

G) Menutup Muka Ketika Bersin

 .
Apabila bersin pula kita hendaklah memalingkan muka ke arah lain sambil menutup mulut dan hidung untuk mengurangkan bunyi bersin tersebut selain untuk mengelak daripada terkena jangkitan pada orang lain.
 .
Daripada Abu Hurairah: “Sesungguhnya Nabi   kalau bersin menutup mukanya dengan tangan atau dengan kain bajunya dan merendahkan suaranya.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi r.a.)
.
.

H) Bersin Dan Kesihatan

 .
Bersin adalah proses untuk membersihkan rongga terutama saluran pernafasan. Ia dapat menghilangkan habuk serta beberapa penyakit. Melalui bersin juga dapat menggambarkan seseorang itu sihat atau sebaliknya.
Sewaktu terjadinya bersin, jantung kita terhenti berdegup dan ketika bersin juga, mata kita secara automatik akan tertutup bagi mengelakkan mata dari tersembul keluar dan dari kemasukan sebarang benda-benda asing ke dalam mata.
.
Mengucapkan ‘Alhamdulillah’ itu pula sebagai tanda syukur kita kerana masih diberi peluang oleh Allah سبحانه وتعالى untuk terus hidup dan bernafas.
Dr. Fatma El-Zahra menyatakan bahawa “Ketika kita bersin, umpama kita mati satu saat. Jantung dan nyawa semua berhenti. jadi bila semua sudah berhenti dan hidup semula, kita patut bersyukur dan mengucapkan “Alhamdulillah”. Sebab itu apabila bersin, ucapkanlah “Alhamdulillah” kerana Allah masih memimjamkan nyawa kepada kita.”
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


from Jom Dakwah http://ift.tt/2hireBX
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment