- Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَبَّرَ بِهِمْ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ، فَأَوْمَأَ إِلَيْهِمْ، ثُمَّ انْطَلَقَ وَرَجَعَ وَرَأْسُهُ يَقْطُرُ، فَصَلَّى بِهِمْ، ثُمَّ قَالَ: "إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ، وَإِنِّي كُنْتُ جُنُبًا، فَنَسِيتُ".Maksudnya: “Adapun Nabi SAW bertakbir bersama mereka (sahabat) pada solat Subuh lalu Baginda SAW memberi isyarat kepada mereka dan Baginda SAW beredar. Kemudian, Baginda SAW kembali dan kepala (rambut) Baginda SAW basah lalu Baginda mengimamkan solat mereka. Setelah itu, Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya aku adalah manusia, tadi (ketika mula solat) aku dalam keadaan berjunub dan aku lupa akan hal tersebut”. [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Awsath (5420) dan di dalam al-Saghir (806)].
Jawapan :Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.Berdasarkan soalan di atas, riwayat tersebut mempunyai sedikit kecacatan pada matan kerana riwayat yang diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani itu bertentangan dari sudut maksudnya dengan riwayat yang terdapat di dalam sahih al-Bukhari dan sahih Muslim. Di sini kami datangkan riwayat yang terdapat di dalam dua buah kitab yang telah menjadi ijma’ umat Islam akan kesahihannya serta kedudukannya selepas daripada al-Qur’an:- Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ وَقَدْ أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، وَعُدِّلَتِ الصُّفُوفُ، حَتَّى إِذَا قَامَ فِي مُصَلَّاهُ، انْتَظَرْنَا أَنْ يُكَبِّرَ، انْصَرَفَ، قَالَ: "عَلَى مَكَانِكُمْ" فَمَكَثْنَا عَلَى هَيْئَتِنَا، حَتَّى خَرَجَ إِلَيْنَا يَنْطِفُ رَأْسُهُ مَاءً، وَقَدِ اغْتَسَلَMaksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah keluar dan pada waktu iqamah sudah didirikan dan saf-saf dibetulkan (diluruskan) sehingga Baginda SAW berdiri di tempat solatnya dan kami menunggu Baginda SAW bertakbir. Akan tetapi, Baginda SAW beredar (sebelum melakukan takbir) sambil bersabda: Kekal di tempat kamu (di dalam saf). Kami kekal di dalam keadaan kami (iaitu di dalam saf) sehingga Baginda SAW keluar kepada kami dalam keadaan kepalanya (rambutnya) basah disebabkan Baginda SAW mandi”. [Riwayat al-Bukhari (639)]
- Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata:
أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ، فَقُمْنَا، فَعَدَّلْنَا الصُّفُوفَ، قَبْلَ أَنْ يَخْرُجَ إِلَيْنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، "فَأَتَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى إِذَا قَامَ فِي مُصَلَّاهُ قَبْلَ أَنْ يُكَبِّرَ، ذَكَرَ فَانْصَرَفَ، وَقَالَ لَنَا: مَكَانَكُمْ، فَلَمْ نَزَلْ قِيَامًا نَنْتَظِرُهُ حَتَّى خَرَجَ إِلَيْنَا، وَقَدِ اغْتَسَلَ يَنْطُفُ رَأْسُهُ مَاءً، فَكَبَّرَ فَصَلَّى بِنَا".Maksudnya: “Ketika iqamah didirikan, maka kami berdiri (untuk menunaikan solat) dan kami juga meluruskan saf sebelum Rasulullah SAW keluar kepada kami. Kemudian, datanglah Rasulullah SAW lalu Baginda SAW berdiri di tempat solatnya sebelum Baginda SAW bertakbir, Baginda SAW teringat akan sesuatu lalu Baginda SAW beredar. Baginda SAW bersabda kepada kami: Tetaplah kamu di tempat kamu (di dalam saf). Kami tetap berdiri menunggu Baginda SAW sehingga Baginda SAW keluar kepada kami, kelihatan Baginda SAW baru selesai mandi dan masih basah rambut Baginda SAW dengan air maka Baginda SAW bertakbir dan mengimami solat kami”. [Riwayat Muslim (605)]
Hukum Hadith Dan JawapanHadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Awsath dan juga Mu’jam al-Saghir adalah riwayat yang mursal iaitu sanadnya tidak bersambung kepada Nabi SAW kerana nama sahabat telah gugur daripada sanad tersebut. Ini merupakan pendapat Imam al-Baihaqi. [Lihat: Sunan al-Kubra, 556/2]Selain itu juga Imam al-Haithami mengatakan bahawa “pada sanadnya (sanad yang dibawa oleh Imam al-Thabarani) lebih daripada seorang yang aku tidak menjumpai sesiapa yang menyebut berkaitan mereka (perawi)”. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 69/2]Akan tetapi terdapat riwayat di dalam sunan Ibn Majah dan juga Sunan Abu Daud yang sama seperti riwayat Imam al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Awsath dan Mu’jam al-Saghir yang mengatakan bahawa Nabi SAW mengingati bahawa Baginda SAW berhadas selepas daripada bertakbir.- Daripada Abi Bakrah RA, beliau berkata:
دَخَلَ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ، فَأَوْمَأَ بِيَدِهِ أَنْ مَكَانَكُمْ، ثُمَّ جَاءَ وَرَأْسُهُ يَقْطُرُ فَصَلَّى بِهِمْMaksudnya: “Nabi SAW masuk (ke masjid) untuk menunaikan solat Subuh. Kemudian Baginda SAW mengisyaratkan dengan tangannya agar tetap di tempat kamu (sahabat). Setelah itu, Baginda SAW datang semula dalam keadaan kepalanya (rambutnya) basah lalu Baginda mengimami solat mereka”. [Riwayat Abu Daud (233)]
- Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata:
خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الصَّلَاةِ وَكَبَّرَ، ثُمَّ أَشَارَ إِلَيْهِمْ، فَمَكَثُوا، ثُمَّ انْطَلَقَ فَاغْتَسَلَ، وَكَانَ رَأْسُهُ يَقْطُرُ مَاءً، فَصَلَّى بِهِمْ، فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ: "إِنِّي خَرَجْتُ إِلَيْكُمْ جُنُبًا، وَإِنِّي نَسِيتُ حَتَّى قُمْتُ فِي الصَّلَاةِ".Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah keluar dan Baginda SAW bertakbir untuk solat. Kemudian Baginda SAW memberi isyarat (supaya kekal di tempat mereka) kepada mereka, lalu mereka kekal berdiri (di dalam saf). Setelah itu, Baginda SAW beredar dan mandi. (Baginda SAW datang kembali) dalam keadaan kepalanya (rambutnya) basah dengan air lalu Baginda SAW mengimamkan solat mereka. Selepas selesai solat, Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya aku keluar kepada kamu (pada permulaan) dalam keadaan aku berjunub dan ketika aku lupa sehinggalah aku sudah mendirikan solat”. [Riwayat Ibn Majah (1220)]
Setelah kami melihat riwayat-riwayat yang menceritakan berkaitan hal ini, maka di sana kami boleh simpulkan kepada dua:- Nabi SAW mengingati bahawa Baginda SAW berhadas sebelum daripada bertakbir.
- Nabi SAW mengingati bahawa Baginda SAW berhadas selepas daripada bertakbir.
Adapun riwayat yang menceritakan bahawa Nabi SAW mengingati bahawa Baginda SAW berhadas sebelum daripada bertakbir adalah berdasarkan riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim. Manakala, riwayat yang menceritakan bahawa Nabi SAW mengingati bahawa Baginda SAW berhadas selepas daripada bertakbir adalah riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan juga beberapa riwayat yang lain daripada kalangan sahabat RA. Selain itu juga, riwayat ini juga mempunyai syawahid seperti riwayat Imam al-Thabarani dan juga beberapa riwayat mursal yang lain selain daripada riwayat Muhammad bin Sirin yang terdapat di dalam Mu’jam al-Thabarani.Di sini kami datangkan komentar daripada Syeikh Syuaib al-Arna’outh ketika beliau mentahqiq Sunan Abi Daud dengan berkata:“Imam al-Thahawi menghimpunkan antara dua riwayat tersebut (dua riwayat yang bercanggah) dengan berkata bahawa hadith Abi Bakrah RA dan syawahid-syawahidnya bermaksud ketika nabi SAW hampir mendirikan solat dan bukan telah memasuki solat (sebelum daripada bertakbir dan bukannya selepas daripada sebagaimana zahir hadith). Contohnya sepertimana dinamakan Ismail AS sebagai korban tetapi Baginda AS belum lagi disembelih. Akan tetapi, Ibn Hibban dan al-Nawawi memahaminya dengan dua peristiwa (iaitu satu peristiwa sebelum Baginda SAW bertakbir dan satu peristiwa lagi berlaku selepas Baginda SAW bertakbir). Imam al-Hafiz Ibn Hajar mentarjihkan hadith Abu Hurairah RA (daripada hadith Abi Bakrah RA). Ini adalah pendapat yang sahih (di sisi Syeikh Syuaib al-Arna’outh)”.[Sunan Abi Daud, 168/1]
Berdasarkan pendapat Syeikh Syuaib, kita memahami bahawa para ulama’ berbeza dalam memahami dua hadith yang bercanggah kepada beberapa cara, antaranya:- Menghimpunkan dua hadith yang bercanggah.
- Melihat kepada Nasikh dan Mansukh.
- Mentarjihkan antara dua hadith yang bercanggah.
- Tawaqquf
Setelah melihat perbahasan para ulama’, kami cenderung untuk mengatakan bahawa peristiwa ini berlaku lebih daripada sekali sebagaimana yang difahami oleh Imam Ibn Hibban dan juga Imam al-Nawawi. Ini kerana, Nabi SAW adalah seorang manusia biasa yang tidak terlepas daripada sifat manusia biasa seperti lupa. Akan tetapi Nabi SAW tidak lupa atau tersalah dalam menyampaikan agama dan syariat ini kerana Baginda SAW ma’shum (معصوم) daripada melakukan kesilapan.
Fiqh al-HadithMenurut mazhab al-Syafie. Terdapat dua keadaan: [Lihat: al-Mu’tamad, 1/455]- Jika imam terlupa bahawa dia berhadas dan dia (imam) menyedarinya selepas selesai daripada solat maka solat makmum sah (tidak batal ) dan tidak perlu diulang. Akan tetapi, imam perlulah solat semula.
- Jika imam terlupa bahawa dia (imam) berhadas dan dia menyedarinya ketika bersolat maka imam tersebut perlulah keluar daripada solatnya, dan melantik penggantinya daripada kalangan makmum yang berada di belakangnya dan para makmum meneruskan solat tersebut tanpa perlu menghentikan solat.
PenutupKesimpulannya, apabila kita menjumpai hadith yang zahirnya bercanggah maka kita perlulah merujuk kepada pemahaman para ulama’ dalam masalah ini. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini. Amin.Sumber: Mufti Wilayah
from Jom Dakwah http://ift.tt/2hQKjIf
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment