Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyita kira-kira 500 alas kaki mengandungi helaian kertas bercetak ayat al-Quran di sebuah gudang barangan jualan keperluan rumah di Krubong, di sini, hari ini.
Sitaan terhadap alas kaki itu dibuat anggota penguat kuasa JAIM dengan kerjasama Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Melaka dan polis selepas membuat pemeriksaan di gudang berkenaan kira-kira jam 2 petang.
Ketua Pegawai Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, selain ayat al-Quran, pihaknya turut menemui terjemahan al-Quran dan doa-doa harian serta tulisan arab pada helaian kertas di bahagian dalam alas kaki berkenaan.
"Gudang ini dimiliki sebuah syarikat mengedar beberapa peralatan rumah termasuk alas kaki yang diperoleh dari Semarang, Indonesia dan ia akan dibekalkan di beberapa premis termasuk pasar raya di negeri ini dan Johor.
"Semasa pemeriksaan kita mendapat kerjasama dari syarikat malah mereka telah pun mengasingkan alas-alas kaki ini. Sitaan dibuat untuk siasatan lanjut dan tujuan perlupusan dengan kerjasama KDN," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Sumber: Sinar Harian
from Jom Dakwah http://ift.tt/2gCPcoZ
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment