Sebelum menonton filem pendek yang telah beliau kongsikan di Facebook, saya telah terlebih dahulu mengenali pemuda ini secara tidak sengaja sewaktu travel di New Zealand.
Pertemuan singkat di Lapangan Terbang Auckland itu rupanya membawa kami kepada persahabatan di media sosial pula. Sejak itu saya sering mengikuti perkembangan Mohd Asri Jusoh, seorang pemuda yang ramah.
Namun begitu tidak banyak perihal peribadi beliau yang saya ketahui, sehinggalah selepas saya menonton video tentang beliau yang telah dihasilkan oleh Kolej Professional Mara (KPM).
Siapa sangka rupanya pemuda yang saya temui kira-kira 2 tahun lalu ini memiliki kisah inspirasi yang menarik untuk dikongsikan.
Saya dimaklumkan oleh Asri, filem pendek bertajuk ‘Menginspirasi Impian’ ini merupakan kisah tentang dirinya dan ia dihasilkan daripada idea pensyarah Kolej Profesional MARA Indera Mahkota.
Tujuan dan mesej filem ini adalah sebahagian daripada usaha mereka dalam menterjemahkan produk keluaran kolej ini secara visual kepada umum.
Ianya mengisahkan realiti kehidupan sebenar pemuda ini yang juga seorang bekas pelajar Kolej Profesional MARA, dari zaman persekolahan sehingga sekarang. Menurut Asri keputusan beliau untuk menerima tawaran ke Kolej Profesional MARA Indera Mahkota pada Julai 2008 adalah keputusan terbaik yang pernah beliau ambil.
Mengimbas kembali bagaimana keputusan SPM beliau, menurut Asri boleh dikatakan ia kurang memberangsangkan.
Namun begitu, disebabkan situasi semasa keluarga beliau di ketika itu, Asri mengambil keputusan untuk menolak tawaran bagi mengikuti pengajian Diploma Perakaunan di salah satu IPTA di Dungun, Terengganu meskipun minat beliau sebenarnya adalah dalam bidang ini.
Satu-satunya sebab Asri memilih untuk ke Kolej Profesional MARA kerana MARA menawarkan elaun sara diri sebanyak RM265 sebulan (kini sudah dinaikkan menjadi RM300 sebulan) dan tiada yuran pengajian perlu dibayar sepanjang 3 tahun pengajian di kolej tersebut.
Ditambah pula dengan pegangan beliau di masa itu yang perlu lebih mengutamakan keperluan berbanding kehendak, maka inilah pilihan terbaik buat Asri pada ketika itu.
Berbekalkan semangat yang masih bersisa, Asri melangkah ke Kolej Profesional MARA Indera Mahkota meskipun itu merupakan laluan yang sukar buat beliau disebabkan Bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran yang mencabar baginya.
Siapa sangka bermula dari situ, hidup saya berubah. Sepanjang 3 tahun pengajian, Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Berkat bimbingan para pensyarah dan pihak pentadbiran kolej, meski pun ada masa terasa sukar untuk bersaing dengan rakan sekelas yang rata-rata sudah fasih berbahasa Inggeris, saya mampu meneruskan pengajian di sini – Asri.
Asri juga aktif menyertai aktiviti luar kuliah dan beliau pernah dipilih sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar. Apatah lagi ini merupakan salah satu usaha daripada pihak kolej untuk menonjolkan bakat para pelajar melalui pelbagai aktiviti kokurikulum inter-kolej dan inter-universiti.
Saya sedar peri pentingnya menjadi pelajar yang holistik, yang bukan hanya perlu cemerlang di dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang ko-kurikulum. Dengan itu saya mengambil ini sebagai satu cabaran yang perlu saya sambut dan lakukan dengan baik – Asri.
Ujar Asri lagi, cabaran lain yang turut dirasai oleh beliau adalah ketika menjaga arwah ayahnya yang menghidap penyakit saraf ketika itu. Disebabkan keadaan ini, ibu beliau iaitu Puan Jamilah binti Ali, perlu mengambil alih tanggungjawab menyara adik-beradiknya dengan bekerja di kedai Keropok Dungun.
Berkat doa dari ibu, juga usaha dan ketekunan Asri, siapa sangka di akhir pengajian Diploma beliau telah dinobatkan dan dianugerahkan sebagai Pelajar Terbaik Keseluruhan bagi Kolej Profesional MARA seluruh Malaysia dalam Majlis Konvokesyen KPM tahun 2011.
Hasilnya beliau telah menerima 3 tawaran pengajian Ijazah Sarjana Muda, iaitu di United Kingdom, Universiti Kebangsaan Malaysia dan di Victoria University of Wellington, New Zealand.
Daripada 3 tawaran ini, Asri memilih untuk melanjutkan pengajian beliau di New Zealand. Namun sekali lagi Asri berdepan dengan satu situasi yang tidak dijangka.
Asri turut berkongsi;
“Semasa saya mendapat tawaran ke NZ, ayah saya dah nazak dan tahap kesihatannya semakin teruk. Masa tu, saya baru habis pengajian diploma. Masa yang ada saya gunakan untuk bekerja sambil menjaga ayah.
Tengah hari saya ajar tuisyen, malam saya jadi waiter di kedai makan depan rumah sampai jam 2.00 pagi. Begitulah hari-hari saya. Saya dan Ma bertanggungjawab jaga dan papah ayah saya untuk mandi, ambil wudhu dan ke tandas sebab dia dah tak berdaya.
Sehinggalah tanggal 16 Julai 2011, ayah menghembuskan nafas terakhir. Saya ingat lagi hari tu kami adik-beradik yang memandikan jenazah dan bawa ayah liang lahad. Lepas selesai semuanya, saya balik ke rumah petang. Saya dengar Ma panggil saya masuk ke dalam bilik.
Waktu tu Ma baru lepas solat Asar. Dia pegang tangan saya dan tiba tiba dia menangis. Itulah kali pertama Ma menangis sepanjang hari tu sebab saya perasan lepas ayah saya meninggal, dia sangat tenang. Sepanjang hari tu dia macam redha. Tapi petang tu, depan saya, dia seolah-olah tewas.
Sambil pegang tangan saya Ma berkata “Ayie jangan tinggal Ma”. Maknanya dia tak bagi saya pergi belajar di NZ. Saya terkejut.
Tapi saya faham, dia susah nak lepaskan saya. Selepas hari tu saya cuba pujuk Ma tapi dia tetap berkeras tak nak bagi pergi. Ma seolah macam takut saya jauh dari dia.
Saya akur. Hampir saya tolak tawaran ke sana. Pensyarah-pensyarah dan cikgu-cikgu ramai call ke rumah, pujuk Ma saya untuk benarkan saya pergi. Tapi keputusan Ma tetap sama, tetap tak nak bagi.
Sampailah sahabat saya, Asmadi cuba bercakap dengan Ma. Saya masih tak tau apa yang Asmadi cakap pada Ma. Tapi dalam masa 5 minit mereka bersembang, Ma terus benarkan saya pergi.
Cuma Ma pesan 2 perkara:
1. Jangan kahwin Mat Saleh
2. Saya perlu telefon Ma saya setiap hari. Setiap hari.
1. Jangan kahwin Mat Saleh
2. Saya perlu telefon Ma saya setiap hari. Setiap hari.
Jadi itulah yang saya buat di sana. Telefon Ma saya setiap hari tanpa gagal. Pernah sekali saya call Ma subuh waktu Malaysia. Kemudian sampai malam saya tak call sebab sibuk buat assignment.
Esoknya masih belum siap assignment jadi saya fikir tak apa saya call Ma malam sikit. Tapi, tengah hari tu saya dah dapat text dari kembar saya Azan dengan soalan, “kenapa lama dah tak call Ma?”
Begitulah setiap hari di sana. Saya akan cerita saya buat apa, di mana, bersembang dengan siapa. Dan Ma akan cerita tentang rumah, tempat kerja dan kehidupan harian dia.
Sepanjang di New Zealand, saya call Ma pakai public phone di bawah apartment saya. Tak kira angin kuat macam mana pun, hujan lebat ke, malam-malam saya akan terpacak dekat public phone tu untuk call dia. Kawan-kawan di NZ memang tau cerita ni sebab dia orang nampak saya setiap hari call Ma saya di public phone kat bawah apartment.
Ma saya pun orang kampung. Banyak benda dia kurang faham kalau saya cerita pasal assignment saya, tanggungjawab saya sebagai Presiden Pelajar Malaysia di Wellington dan hal-hal di NZ. Tapi dia setia mendengar. Saya pun akan cuba cakap dengan bahasa yang Ma akan faham.
Pernah sekali semasa di NZ saya call Ma, dan pagi tu dia menangis. Ma cakap dia baru balik dari kelas agama di masjid. Ustaz cerita tentang kisah Uwais Al Qarni, seorang anak yang taat kepada ibunya.
Uwais terlalu kasih pada ibunya sehingga dia sanggup dukung ibunya untuk tawaf mengelilingi Kaabah kerana ibunya sakit dan kurang berupaya untuk berjalan. Ma menangis sambil cerita masa Ustaz cerita tu, dia teringatkan saya. Ma kata sayalah Uwais Al Qarni dia. Saya pun sebak masa tu.
Lepas tu saya cerita pada kawan-kawan di Wellington, terus kena bahan dan kena panggil Uwais dengan dia orang.” – Asri.
Sewaktu majlis sambutan semula graduasi di Petaling Jaya. Sukar digambarkan dengan kata-kata apabila dapat bawa Ma saya ke majlis ini dan bergambar bersama pensyarah saya Dr. Jonathan Newton. Terima kasih MARA kerana menganjurkan majlis ini.Cabaran belajar di tempat orang juga bukan sedikit. Namun siapa sangka di akhir pengajian beliau di New Zealand, Asri telah dipilih untuk menerima anugerah Teachers of English Award.
“Saya selalu bawa cerita saya dan Ma saya ke sekolah-sekolah bila saya dijemput untuk bagi ceramah. Sampai sekarang, di ketika umur saya sudah menjangkau 26 tahun dan saya dah balik ke Malaysia rutin saya masih sama bila saya jauh dari Ma.
Kalau saya ke Kuala Lumpur misalnya, saya akan telefon Ma bila naik bas untuk bagitau bas dah bergerak. Sampai di Kuala Lumpur saya akan bagitau pukul berapa sampai dan sebagainya.
Pernah juga telefon saya habis bateri, jadi tak sempat nak telefon. Bila dah boleh caj, buka phone mesti ada dah sepuluh miss call daripada kembar saya. Cerita saya dan Ma saya ni saya selalu kongsikan bersama pelajar di sekolah-sekolah bila saya dijemput untuk bagi ceramah.” – Asri.
Setiap kali dipanggil untuk berkongsi di sekolah-sekolah, saya selalu berpesan kepada para pelajar, sampai sekarang saya rasa saya bukan pelajar pandai. Tapi yang bawa saya sampai ke tahap di mana saya berada sekarang adalah doa Ma saya. Powerful sungguh doa dia sampai saya mampu jadi apa saya jadi sekarang – Asri.
Kini, dengan berbekalkan ijazah dan pengalaman yang berharga yang telah beliau lalui, Asri akan mula berkhidmat sebagai tenaga pengajar di salah sebuah institusi pendidikan MARA tidak lama lagi.
Sehingga kini terdapat ramai produk keluaran Kolej Profesional MARA yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana di serata dunia serta di IPTA tempatan.
Mengakhiri perbualan kami pada hari itu, Asri sempat menitipkan ucapan:
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi MARA, Tuan Hj Mohamed Roseli serta warga kerja BPT MARA.
Terima kasih tidak terhingga kepada semua pensyarah dan pentadbiran Kolej Profesional MARA Indera Mahkota kerana mengubah hidup saya dan rakan-rakan saya kini.
Akhirnya, terima kasih kepada krew dan produksi filem pendek ‘Menginspirasi Impian’ – En. Fazly, En. Syed, En. Humamuddin, En. Amzari, En. Azham, En. Ikhwan, En. Nasron, En. Faizil dan En. Syahiful Norafenddy yang saya kira berjaya menghasilkan satu karya yang menyentuh perasaan.
Semoga mesej utama yang hendak disampaikan melalui penceritaan filem ini sampai ke hati penonton. Terima kasih MARA. MARA, harapan saya, masa depan saya.
Juga, jika ada mana-mana pihak yang ingin menjemput saya bagi berkongsi dan bercerita lebih lanjut tentang Kolej Profesional Mara atau jemputan motivasi, bolehlah hubungi saya via email mohdasrijusoh90@gmail.com.
Jujur cakap, kolej tu dah ubah hidup saya 360 darjah. Mungkin ini saja cara saya boleh pay it forward dan balas balik jasa kolej kepada saya.”
Sumber:Ida Latif
Sumber:Ida Latif
from Jom Dakwah http://ift.tt/2fAZsgs
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment