Monday, 28 November 2016

Kisah Pengabadian Hidup Rabiatul Adawiyah


Rabiah Basri atau lebih dikenali sebagai Rabiah al-Adwiyah atau Rabiatul Adawiyah adalah antara salah seorang wanita yang awal memeluk agama Islam. Beliau telah meninggalkan segala-galanya yang bersifat duniawi dan mengabadikan sepenuhnya dirinya kepada Allah سبحانه وتعالى.

Rabiatul Adawiyah telah dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin. Mempunyai empat orang adik beradik. Kelahirannya telah diliputi bermacam-macam cerita yangpelik.Pada malam beliau dilahirkan, di rumahnya tidak mempunyai apa-apa bahkan minyak untuk menyalakan lampu pun tiada. Malahan sehelai kain untuk membalut dirinya apabila dilahirkan kelak juga tidak ada.

Ibu Rabiah meminta ayahnya supaya meminjam pelita minyak daripada jiran mereka. Ini merupakan cubaan bagi si ayah yang malang itu.

Sebelum itu ayahnya telah berjanji kepada Allah سبحانه وتعالى untuk tidak meminta pertolongan dari sesiapa. Oleh kerana keadaan terdesak maka ayahnya pun terpaksa pergi juga ke rumah jirannya.

Sebaik saja tiba di rumah jirannya, ayahnya terus mengetuk pintu rumah jirannya itu. Malangnya tiada jawapan pun dari dalam rumah itu. ayahnya berasa lega dan mengucap syukur kepada Allah سبحانه وتعالى kerana tidak ingkar pada janjinya. Kemudian ayahnya pun pulang ke rumahnya dan terus tidur dipembaringan.

Pada malam itu ayahnya bermimpi bertemu Nabi Muhammad ﷺ. Dalam mimpinya itu Nabi Muhammad ﷺ telah memberikan tanda kepadanya dengan menyatakan bahawa anaknya yang bakal  dilahirkan itu telah ditakdirkan akan menduduki tempat paling tinggi di sisi Allah سبحانه وتعالى.

Tidak berapa lama selepas Rabiatul Adawiyah dilahirkan kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia, manakala ketiga-tiga orang kakaknya turut meninggal dunia akibat kelaparan yang melanda Basra ketika itu. Rabiatul kemudiannya dipelihara oleh seorang lelaki yang kejam.

Seterusnya Rabiah telah dijual sebagai hamba dengan harga yang rendah kepada majikan yang sangat bengis. Dalam usia yang masih muda, beliau telah menghabiskan waktunya dengan melaksanakan segala perintah tuannya. Manakala sebelah malamnya beliau sentiasa berdoa ke hadrat IIiahi.

Pada suatu malam, majikannya telah melihat tanda kebesaran rohani Rabiatul Adawiyahiaitu ketika Rabiah berdoa kepada Allah سبحانه وتعالى  katanya:
“Ya Allah! Dikau telah menjadikan aku budak belian seorang manusia sehingga aku terpaksa mengabadikan diriku kepadanya. Seandainya aku bebas, pasti aku akan persembahkan seluruh waktu dalam hidupku ini untuk berdoa kepada-Mu”.

Tiba-tiba sebaik saja Beliau selesai berdoa, ternampak satu cahaya mendekati kepalanya. Melihat kejadian itu majikannya menjadi terlalu takut. Keesokan harinya Rabiah telah dimerdekakan.
.
Memperhambakan Diri

Setelah dibebaskan, Rabiatul Adawiyah pergi ke tempat-tempat sunyi untuk menjalani hidup dengan  bertawaduk kepada Tuhan. Akhirnya beliau sampai ke sebuah pondok berdekatan Kota Basra. Di situ beliau hidup seperti bertapa. Segulung tikar, sebuah kendi diperbuat daripada tanah, seketul batu bata. Semuanya itu merupakan harta yang dimilikinya.

Di pondok itu keseluruhan waktunya digunakan untuk mengabdikan diri berdoa.  Pada suatu hari beliau telah didatangi oleh sekumpulan orang bertujuan untuk meminangnya. Orang ramai itu adalah wakil kepada Gabenor Basra. Oleh kerana Rabiah terlalu sibuk mengabadikan dirinya kepada Allah سبحانه وتعالى  maka beliaupun menolak pinangan itu dengan baik.

Pada masa yang lain, Sufian Suri seorang soleh dan dihormati datang menemui Rabiah. Sebaik saja Beliau sampai, Rabiah terus berdoa: “Ya Allah! Tuhan Yang Maha Kuasa, daku mohon harta duniawi dariMu”.

Mendengar isi doa itu, Rabiah pun menangis. Lantas Sufian Suri pun bertanya kenapa beliau menangis, maka Rabiah pun berkata : “Harta itu sesungguhnya didapati setelah meninggalkan segala yang bersifat duniawi ini, dan aku melihat anda hanya mencarinya di dunia ini saja”.
.
Empat Puluh Dinar

Menurut satu riwayat, ada seorang insan telah mengirim wang sebanyak empat puluhdinar kepada Rabiah, lantas beliau pun menangis sambil mengangkat tangannya berdoa : “Dikau tahu Ya Allah! Aku tidak pernah meminta harta dunia dari Mu, meskipun Dikau pencipta dunia ini. Lalu bagaimana aku dapat menerima wang dari seseorang, sedangkan wang itu sesungguhnya bukan kepunyaannya”.

Setiap kali Rabiah mengajar muridnya beliau sentiasa menasihati mereka agar jangan menunjukkan perbuatan baik itu kepada sesiapa pun, malahan mereka diharuskan menutup  perbuatan baik itu sebagaimana mereka menutupi perbuatan jahat mereka.

Segala penyakit datangnya adalah atas kehendak Allah سبحانه وتعالى  kerana itu Rabiah selalu menghadapinya dengan hati yang tabah dan berani. Rasa sakit yang bagaimanapun tidak pernah mengganggunya. Beliau seringkali tidak menyedari ada bahagian tubuhnya yang terluka sampai beliau diberitahu oleh orang lain.

Suatu hari Rabiatul Adawiyah telah terlanggar pokok yang menyebabkan kepalanya berdarah, kemudian seseorang telah bertanya : “Apakah anda tidak berasa sakit?”.

Jawab Rabiah, “Aku dengan seluruh jiwa ragaku mengabdikan diri kepada Allah سبحانه وتعالى. Aku berhubung erat dengan-Nya, aku disibukkan-Nya dengan hal-hal lain daripada apa yang kamu rasakan”, jawabnya lembut.

Semasa hayatnya, banyak keajaiban telah dikaitkan dengan Rabiah. Antaranya, beliau mendapat makanan daripada tetamunya melalui jalan yang pelik-pelik. Diriwayatkan bahawa, ketika beliau sedang menghadapi sakaratul maut, Rabiah meminta teman-temannya meninggalkan beliau seorang diri. Kemudian beliau mempersilakan para utusan Allah سبحانه وتعالى datang kepadanya.

Sewaktu teman-temannya berjalan keluar mereka terdengar Rabiah mengucapkan syahadah, dan ada pula suara yang menjawab: “Jiwa, tenanglah, kembalilah kepada Tuhanmu, legalah, kembalilah kepada Tuhanmu, legalah hatimu pada-Nya, ini akan memberikan kepuasan kepadanya”.

Di antara doa-doa yang tercatat berasal dari Rabiah ialah doa yang dipanjatkannya pada waktu malam di atas bumbung rumahnya, katanya: “Oh…Tuhanku! Bintang-bintang bersinar bergemerlapan, manusia sudah tidur nyenyak dan raja-raja telah menutup pintunya, tiap orang bercinta sedang asyik dengan kesayangannya dan di sinilah aku bersendirian bersamaMu”.

Manakala doa lainnya : “Ya Allah! Apabila aku menyembahMu kerana takutkan neraka, bakarlah diriku di dalamnya. Bila aku menyembahMu kerana mengharapkan syurga jauhkan aku dari sana. Namun jika aku menyembah Mu hanya keranaMu, maka janganlah Dikau tutup keindahan abadiMu”.

Rabiatul Adawiyah telah meninggal dunia di Basra pada tahun 801 Masihi. Beliau telah dimakamkan di rumah tempat beliau tinggal. Ketika jenazahnya diusung ke perkuburan, orang-orang soleh, para sufi dan orang-orang Islam turut mengiringinya dalam jumlah yang luar biasa ramainya.

Cintailah Allah سبحانه وتعالى kerana Dia mencintai kita, tunaikanlah perintah Allah سبحانه وتعالى kerana Dia akan mengadili kita, buatlah sesuatu yang dituntut semata-mata kerana Allah سبحانه وتعالى  sebab yang akan menilai setiap amal adalah Allah سبحانه وتعالى.

Apabila kita rapat dengan Allah سبحانه وتعالى maka sudah semestinya kita akan menjadi orang kesayangan Allah سبحانه وتعالى dan semua makhluknya, dan pada hari pengadilan nanti sudah tentu Allah سبحانه وتعالى tidak akan memberatkan pertanyaan ke atas hamba-Nya yang sangat takut kepada-Nya.

“Ya Allah! Jauhkanlah kami daripada fahaman-fahaman Yahudi, Nasrani dan fahaman-fahaman karut yang dapat menyesatkan kami, dan selamatkanlah kamu semua di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya akhirat itulaah tempat kami dann tujuan hidup kami”.

Aamiiin!
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
.
~shafiqolbu~

from Jom Dakwah http://ift.tt/2fttMhg
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment