Rabia’tul binti Ismail Al-Adawiyyah adalah seorang wali atau orang yang dekat dengan Allah. Beliau lahir pada tahun 108 Hijrah berdekatan dengan Basrah, Iraq. Siapakah srikandi Islam yang telah menggegarkan sejarah ini? Mari kita telusuri kisah hidup dan sifatnya bagi diteladani sepanjang masa.
Rabia’tul Al-Adawiyah terkenal sebagai seorang penyair yang menukilkan pelbagai syair cinta dan rasa kehambaannya kepada Ilahi. Riwayat hidup tokoh yang telah menabur hikmah ini banyak dirakamkan seorang penulis bernama Fariduddin Attar.
Rabia’tul Al-Adawiyyah Seorang Yang Sabar Dan Redha
Semenjak kecil lagi, Rabia’tul Al-Adawiyah hidup dalam kesempitan hidup. Bagi menampung hidup, beliau sering membantu ayahnya mendayung sampan yang membawa penduduk menyeberangi Sungai Dajlah.
Kesusahan hidupnya semakin bertambah apabila sampan milik ayahnya dirampas penguasa dan Rabi’atul dijual menjadi hamba kepada raja.
Melazimi Taubat
Di istana, Rabia’tul menjadi penghibur yang digemari raja. Ada riwayat mengatakan beliau sudah terjebak dalam kancah dosa. Namun dengan limpah hidayah, beliau mulai insaf dan kembali mengingati Allah.
Pada saat kesunyian dan ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:
“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.Sekalian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan hiburannya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu.Maka semoga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”
Bersyukur
Setelah menyedari kesalahannya, Rabi’atul Al-Adawiyah meninggalkan pentas hiburannya dan melazimi ibadah. Perbuatan itu menyebabkan raja menjadi berang dan menyeksanya dengan memberi kerja-kerja berat.
Namun setelah menyedari terdapat tanda-tanda kewalian yang ada pada Rabi’ah, raja telah membebaskannya dan menyesal atas perbuatan tersebut.
Rabi’atul Al-Adawiyah membuktikan kesyukurannya dengan meningkatkan amalan kerohaniannya. Dia dipimpin oleh seorang mursyid bernama Hassan Al-Basri dan akhirnya Rabia’tul Al-Adawiyah telah beriktikad untuk menghambakan diri sepenuh masa terhadap pencipta-Nya.
Bergantung Hati Kepada Allah
Ada petikan syair yang mengatakan betapa pasrahnya hati beliau akan Tuhan,
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, Tiada selain Dia dalam hatiku mempunyai tempat manapun, Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun, Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Zuhud
Rabia’tul Al-Adawiyah menghabiskan sisa hidupnya untuk tinggal di dalam pondok kecil dan tidur berbantalkan serpihan tembikar dan berselimutkan tikar lusuh. Tiada sekelumit pun rasa keduniaan yang membenam dalam hatinya.
Zuhud dibahagikan kepada banyak perkara. Dalam kitab karangan Abu Nu’aim yang berjudul Hilyah al-Awliya’, terdapat dialog antara Hassan al-Bashri dan Rabia’tul Adawiyah mengenai rosaknya kezuhudan yang ada pada ahli ilmu.
“Apakah yang merosakkan zuhud?” soal Rabia’tul Adawiyah
“Cenderung memberi penafsiran ilmu dan pendapat ulama lalu menggunakannya sebagai pendapat yang tidak merugikan dirinya. Sehingga dia mulai mencintai dirinya sendiri.”
Kiranya zuhud tidak semestinya menjadi miskin namun tidak meletakkan keinginan yang melampau terhadap harta,manusia dan pangkat dalam hati kita.
Cinta Akan Allah
Antara tanda betapa beliau cinta akan Ilahi adalah melalui kuntuman syair-syairnya,
“Aku mencintaiMu dengan dua cinta,
Cinta karena diriku dan cinta karena diriMu
Cinta kerana diriku, adalah keadaan senantiasa mengingatMu,
Cinta kerana diriMu, adalah keadaanMu mengungkapkan tabir,
Hingga Engkau kulihat,
Baik untuk ini mahupun untuk itu Pujian bukanlah bagiku,
BagiMu pujian untuk semua itu.”
Mengutamakan Akhirat
Suatu hari, seorang pencuri telah menyelinap masuk ke pondok Rabia’tul Al-Adawiyah. Kemudian dia mendapati tiada apa-apa barang berharga. Sebelum keluar, Rabia’tul muncul dan menyuruh pencuri itu mengambil bekas air milik beliau untuk berwuduk.
Kemudian pencuri itu menunaikan solat dua rakaat. Ternyata pencuri tersebut merasakan suatu kemanisan dan kelazatan dalam jiwanya yang tidak pernah dirasa sebelum ini. Rabi’atul Adawiyah lantas berdoa,
“Ya Allah, pencuri ini telah menceroboh masuk ke rumahku. Akan tetapi dia tidak menemui sebarang benda berharga untuk dicuri. Kemudian aku suruh dia berdiri di hadapanMu.Oleh itu janganlah Engkau halang dia daripada memperolehi nikmat dan rahmatMu.”
Takut Akan Allah
Pernah sekali Rabia’tul Al-Adawiyah berdoa,
“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya!Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Berserah Diri
Menjelang akhir hayatnya, banyak sekali orang alim duduk mengelilinginya. Rabia’tul Al-Adawiyah meminta kepada mereka,
“Bangkit dan keluarlah; berikan jalan kepada pesuruh-pesuruh Allah Yang Maha Agung!” Maka, semua orang bangkit dan keluar, dan pada saat mereka menutup pintu, mereka mendengar suara Rabiah mengucapkan kalimat syahadat dan mereka mendengar sebuah suara,“… Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu, berpuas-puaslah dengan-Nya. Maka masuklah bersama golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.”Al-Fajr, ayat 27-30
Kesimpulannya, jadikan kisah seorang wali Allah ini sebagai teladan dengan mencontohi sifat-sifat yang ada padanya. Contohilah Rabia’tul Al-Adawiyah mengikut kemampuan yang ada pada kita selaku hamba yang lemah dan pendosa.
Sumber: Tazkirahnet
from Jom Dakwah http://ift.tt/2fR6mhk
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment