Sunday, 19 March 2017
Pengertian Dan Tanda Memperoleh Haji Mabrur
Haji mabrur adalah dambaan dan cita-cita setiap muslim yang melaksanakan haji. Tetapi pertanyaannya, apa itu haji mabrur?
Ramai orang menafsirkan bahawa haji mabrur adalah haji yang ditandai dengan kejadian-kejadian aneh dan luar biasa ketika menjalani ibadah tersebut di tanah suci. Kejadian ini lalu dirakam sebagai pengalaman rohani, yang paling berkesan.
Malah, kadang-kadang ketika dia sering menangis dan terharu dalam pelbagai kesempatan itu juga dianggapnya sebagai tanda haji mabrur. Imam Al Ashfahani menyebutkan haji mabrur ertinya, haji yang diterima (maqbul) (lihat mufradat alfadzil Qur’an, h. 114).
Apa Tanda-tandanya Memperoleh Haji Mabrur?
Mabrur diambil dari kata al birru (kebaikan). Dalam sebuah ayat Allah SWT berfirman, “Lantanalul birra hatta tunfiquu mimma tuhibbun. Kamu tidak akan mendapatkan kebajikan sehingga kamu menginfakkan sebahagian apa yang kamu cintai”. QS.3:92.
Ketika digandingkan dengan kata haji maka ia menjadi sifat yang mengandungi erti bahawa haji tersebut diikuti dengan kebajikan.
Dengan kata lain haji mabrur adalah haji yang menjadikan pelakunya menjadi lebih baik dari masa sebelumnya.
Al Qur’an juga menggunakan kata al birru untuk pengabdian yang terus menerus kepada orang tua wabarraan biwalidati.
Orang-orang yang selalu mentaati Allah SWT dan menjauhi segala yang dilarang disebut al abraar, kelak mereka dihari kiamat akan ditempatkan di surga.
QS. 19:32. “Innal abraara lafii na’iem”. QS.82:13. Bila digabung antara ayat ini dengan hadis Rasulullah, “Al hajjul mabrrur laisa lahuu jazaa illal jannah.”
HR Bukhari, nampak titik temu yang saling melengkapi, bahawa haji mabrur akan selalui ditandai dengan perubahan dalam diri pelakunya dengan mengalirnya amal soleh yang tiada putus-putusnya.
Bila setelah berhaji seseorang selalu berbuat baik, sehingga ia menghadap Allah SWT, maka jelas dia tergolong didalam kelompok al abraar dan pahala yang akan kelak ia perolehi adalah syurga.
Berdasarkan pembahasan di atas bahawa untuk mencapai haji mabrur ada beberapa syarat yang harus dipenuhi:
Pertama, niat yang ikhlas kerana Allah SWT, bukan kerana ingin dipuji orang dan berbangga-bangga dengan gelaran haji.
Seorang yang tidak ikhlas dalam beramal apa pun termasuk haji, Allah SWT akan menolak amal tersebut sekalipun di mata manusia ia nampak begitu agung dan mulia.
Kedua, duit perbelanjaannya halal. Haji yang dikerjakan dengan harta yang haram pasti ditolak Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, “Sesunguhnya Allah baik dan tidak menerima kecuali yang baik.
Di akhir hadits ini Rasulullah menggambarkan seorang musafir sedang berdoa tetapi pakaiannya dan makanannya haram, maka Allah tidak akan menerima doa tersebut.” HR. Muslim.
Ketiga, dari niat yang ikhlas dan perbelanjaan yang halal akan lahir syarat yang ketiga: Istiqamah.
Istiqamah ertinya komitmen yang tinggi untuk mentaati Allah SWT dan tunduk kepada-Nya, bukan sahaja selama haji, melainkan pada bila-bila masa dan di mana sahaja dia berada.
Haji tidak akan bermakna jika sekembalinya dari tanah suci, seorang tidak menyedari tingkat kehambaanya kepada Allah SWT.
Tuntunan syaitan kembali diagungkan. Merebut harta haram dan maksiat menjadi kebiasaannya sehari-hari.
Bila ini yang terjadi, sudah nyatalah bahawa hajinya tidak mabrur. Kerana haji mabrur akan selalu diikuti dengan kebajikan.
Peribadi yang istiqamah setelah menjalankan ibadah haji, akan selalu tenang. Perilakunya jelas. Apa yang Allah SWT haramkan sentiasa dia hindari, dan apa yang diwajibkan selalu ia tegakkan dengan sempurna.
Allah SWT mengajarkan bahawa hanya iman dan harta halal yang mampu membuatkan seseorang selalu istiqamah mentaati-Nya. QS. 2:172, 23:51.
Istiqamah mempertahankan nilai-nilai haji dan menahan diri dari segala bentuk kemungkaran sekecil manapun.
Seseorang yang naik haji akan di sebut haji mabrur setelah nampak bahawa hidupnya lebih istiqamah dan kebajikannya selalu bertambah sehingga dia menghadap Allah SWT.
Wallahu a’lam bishshawab.
Sumber : sentiasapanas.com
from Jom Dakwah http://ift.tt/2n3mdA4
via Kuliah Islam
Labels:
Jom Dakwah,
Kuliah Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment