Sunday, 19 March 2017

"Hargai Apa Yang Ada, Jangan Kejar Yang Sempurna"


Umur aku sekarang dah nak cecah 30an. Dalam umur begini, kawan-kawan aku yang lain semua dah ada kerjaya dan keluarga yang stabil. Tapi aku baru nak menakik membina kembali hidup. Agaknya sebelum ni aku tak pernah rasa susah. 

Apa-apa keputusan aku selalu buat tanpa fikir panjang. Selalu ambil mudah dalam sesuatu perkara. Sejak dari kecil, aku anak yang lincah, bijak dan berdikari. Aku anak kesayangan semua orang. Hidup aku lancar, bekerjaya dan boleh dikatakan aku kebanggaan keluarga.

Aku mula rasa diriku hebat dan mula lupa diri. Ego aku tinggi melangit. Apa-apa keputusan takkanku hirau perasaan orang lain. Asalkan aku puas. Aku mula lupa kawan. Aku lupa keluarga. 
Aku pentingkan diri dan buta menilai apa yang baik untukku. Aku tinggalkan tunanganku yang sekian lama bersusah payah bersama demi mengejar apa yang aku rasa lebih baik. Aku mula terpengaruh dengan cakap-cakap orang bahawa dia tak layak untukku. Betapa hancur hatinya.

Langit tak selalunya cerah. Ini mungkin salah satu bentuk teguran dari Tuhan. Untuk aku kembali pada yang Hak. Supaya aku beringat bahawa rezeki, jodoh, ajal maut itu kuasaNya. Aku insan kerdil yang tanpa sedar telah hanyut dalam nikmat pinjaman Allah. Satu persatu nikmat duniaku ditarik. 

Kerjaya yang aku banggakan hilang sekelip mata. Aku mula bergantung harap pada suami. Kifarah keatas dosaku yang lalu, rupanya lelaki yang kupilih dan ku anggap sempurna itu dalam diam berselingkuh dengan perempuan lain. Lebih memeritkan anak yang aku kandung dilahirkan tak bernyawa. Maka berpantang lah aku tanpa anak dan suami disisi. Ini episod gelap hidupku.

Bila dilihat apa adanya aku sekarang, seorang insan yang cuba membina kembali hidupnya. Luarannya mungkin ahli keluarga dan sahabat nampak aku elok saja, tapi hakikatnya betapa aku hancur dan berusaha untuk kembali bangkit kerana aku tahu musibah ini datangnya dari silapku. 

Tapi aku yakin, Allah itu ada. Perancangan Allah untuk aku tiada siapa yang tahu. Masih ada sisa kekuatan untuk aku bina kembali hidupku. Demi menebus segala dosa-dosaku, doakan aku cepat pulih. Hidupkan kembali semangatku yang dulu.

Pesananku, beringatlah… Apa yang kita ada, yang kita sayang, yang kita agungkan, semuanya milik Tuhan. Hargai sekadar apa yang ada, jangan terlampau mengejar yang sempurna.


from Jom Dakwah http://ift.tt/2nFbBph
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment