Kebanyakan ibu bapa di Malaysia masih lagi mengamalkan ‘co-sleeping’ atau tidur sekatil dengan bayi. Ini kerana ia adalah praktikal dan memudahkan, lebih-lebih lagi yang menyusu badan.
Namun, selepas anak anda semakin cerdik dan mula bijak bertanya, tentu ada ibu bapa yang rasa kurang selesa apabila tidur sebilik dengan anak.
Kepentingan Asingkan Tempat Tidur Anak
Pentingnya mengasingkan tempat tidur anak adalah untuk menjaga keharmonian dan maruah ahli keluarga. Sikap anak kecil yang suka meniru tanpa mengetahui baik buruknya dapat mengundang bahaya, terutamanya jika mereka terlihat aktiviti intim ibu bapa mereka. Di samping itu, ia juga bertujuan mengelakkan berlakunya perkara negatif seperti sumbang mahram dan pendedahan aurat secara tidak sengaja.
Sebenarnya, dalam Islam juga ada menitikberatkan hal ini seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Perintah anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur 7 tahun, jika mereka tidak melakukannya sampai umur 10 tahun, pukul mereka, juga pisahkan di antara mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Riwayat al-Hakim dan Abu Daud).
Menurut buku ‘Berbicara Mengenai Kesihatan Reproduktif Remaja’, anak-anak sepatutnya sudah diasingkan tempat tidur menjelang usia 5-6 tahun. Ada juga pendapat yang mengatakan mereka boleh diasingkan tempat tidur seawal 3-4 tahun. Oleh itu, jika anda merasakan anak anda sudah mempunyai tanda seperti di bawah ini, bolehlah anda mula melakukan beberapa usaha dan cara asingkan tempat tidur anak lebih awal lagi.
5 Tanda Anak Anda Dah Sedia Tidur Di Katil Sendiri
Berikut adalah 5 tanda anak anda sudah bersedia untuk tidur sendiri di katil mereka. Dengan tips dan cara asingkan tempat tidur anak yang betul, tak mustahil mereka dapat melakukannya di usia yang muda.
1. Boleh Melakukan Aktiviti Bebas Tanpa Dikawal Ketat
Ini adalah salah satu tanda paling utama yang menunjukkan anak anda sudah bersedia untuk berdikari dan tidur sendiri di katil berasingan. Dalam erti kata lain, anak anda sudah boleh bermain sendiri tanpa kecenderungan untuk melakukan apa-apa aktiviti yang membahayakan diri mereka sendiri.
Ciri ini penting kerana apabila mereka terjaga pada waktu malam, mereka tahu apa yang perlu dilakukan jika ketakutan atau berasa tidak selesa.
2. Anak Anda Sudah Mempunyai Rutin Tidur Yang Tetap
Mengetahui masa dan rutin tidur yang tetap setiap hari akan memudahkan anda untuk menidurkan mereka dengan tenang.
Teruskan rutin yang biasa dilakukan sebelum tidur seperti membaca buku cerita, berdoa, dan temankan mereka pada permulaannya. Dengan ini, anak anda akan berasa lebih yakin dan kurang kekok untuk tidur sendiri.
Sebaliknya, jika anak anda masih sering terjaga malam dan tidur pada waktu yang berlainan pada setiap hari, mungkin mereka belum bersedia untuk tidur di katil sendiri.
3. Mereka Bertanya Tentang Katil Mereka Sendiri
Keinginan si anak untuk mempunyai bilik atau katil sendiri menunjukkan mereka sudah bersedia dan boleh diajar tidur sendiri secara perlahan-lahan.
Walaupun mereka mungkin akan menangis pada awalnya, anda boleh melakukan pelbagai tips dan cara asingkan tempat tidur anak dengan aman dan seronok.
4. Sudah Bercerai Susu Badan
Salah satu perkara yang menyebabkan ramai ibu bapa di Malaysia masih berkongsi katil dengan anak adalah kerana mereka masih menyusu badan. Setelah anak anda melepasi tahap ini, anda bolehlah bersedia untuk melepasi tahap yang seterusnya iaitu menceraikan lampin dan mengasingkan tempat tidur.
Namun, perlu diingat bahawa jangan melakukan kesemua perubahan ini sekaligus atau terlalu rapat kerana ia mungkin terlalu sukar untuk dihadapi oleh si kecil.
5. Mula Meniru Perbuatan Dan Percakapan Ibu Bapa
Anak-anak yang sudah boleh meniru perbuatan dan percakapan ibu bapa sememangnya pantas menyerap maklumat namun mereka masih belum berkemahiran untuk memprosesnya.
Justeru, amatlah merbahaya sekiranya mereka ternampak adegan yang tidak sepatutnya dalam bilik tidur walaupun anda beranggapan mereka masih belum memahami apa-apa. Ingat, anak kita bukanlah seperti komputer yang boleh kita hapuskan saja mana-mana maklumat yang tidak diingini semudah menekan butang ‘delete’. Sekali ia sudah tersemat dalam memori mereka, adakah caranya untuk memadamkannya buat selama-lamanya?
Jangan Anggap Anak Kecil Tak Tahu Apa-apa
Walaupun tiada umur yang tertentu ditetapkan untuk mengasingkan tempat tidur anak, kita tidak seharusnya berterusan berkongsi tempat tidur dan bilik dengan mereka.
Jika rumah tidak mempunyai bilik yang cukup, setidak-tidaknya kita mengehadkan ruang ibu bapa kepada anak-anak dalam 3 masa berikut; iaitu sebelum Subuh, tengahari, dan selepas Isya. Saranan ini adalah selari dengan firman Allah SWT dalam Surah an-Nur: 58 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dari kalangan kamu meminta izin (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya…”).
Oleh itu, jangan memandang remeh dengan usaha dan cara asingkan tempat tidur anak seawal mungkin. Jika tidak diambil berat, ia boleh memberi impak kepada anak dalam jangka masa panjang.
Sumber: Sirap Limau
from Jom Dakwah http://ift.tt/2nildbS
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment