Monday, 24 April 2017
Apakah Hukum Makan Pill Tahan Haid Ketika Umrah?
Pengalaman terlepas solat subuh pertama berjemaah di Masjid Nabawi kerana belum ‘bersih’.
Beberapa minggu sebelum bertolak ke bumi Madinah, saya seringkali bertanya kepada beberapa rakan pandangan mereka tentang pengambilan ubat hormon untuk menghentikan haid.
Ada yang tiada pandangan, ada yang berkeras suruh mengambil, ada yang berkeras suruh tidak mengambilnya. Yela, baru kahwin katakan, takut juga kalau ada effect apa-apa dengan perancangan hamil dan sebagainya.
Akhirnya, saya nekad untuk melihat kepada keadaan semasa. Jika mengikut kiraan hari, sepatutnya saya datang bulan seminggu sebelum hari perjalanan, jadi saya akan 'bersih' pada hari perjalanan atau sehari selepasnya.
Dalam hati juga terdetik,
"Paling lambat bersih pun hari Selasa atau Rabu. Sempat buat umrah, insyaAllah" atas sebab tiada ibadah wajib umrah yang memerlukan kita berada dalam keadaan suci dan berwudhu ketika di Madinah.
Hendak dijadikan cerita, pada bulan itu, haid saya lewat tiga hari. Terus saya berjumpa dengan doktor memohon ubat hormon menahan haid. Ketika itu, darah sudah pun keluar, dan doktor juga berkata mungkin ada beberapa masalah. Kemungkinan ubat memberi kesan dan saya akan bersih pada hari perjalanan atau sehari atau dua hari selepas itu.
Ketika itu, saya sempat dimarahi doktor.
"Umrah ni, mungkin sekali ini je kita dijemput untuk datang. Ulama' bersepakat mengatakan boleh makan ubat untuk menahan haid untuk mengerjakan ibadah umrah. Kami doktor juga yakin tiada kesan sampingan yang serius jika pengambilan ubat ini hanya untuk menjalankan umrah semata-mata. Umrah sekali sahaja. Nak mengandung, berdoalah di sana."
Terkesan juga dimarahi doktor.
Kami tiba di Madinah pada pukul 1 pagi. Hotel terletak 50m sahaja dari pintu masuk Uthman bin Affan, iaitu pintu masuk masjid bagi Muslimat di Masjidil Nabawi.
Hati saya sedih. Malam itu, masih terdapat sedikit kesan darah: saya belum bersih.
Ketika di Malaysia, saya berfikir, tidak mengapa jika tidak boleh beribadah di Masjid Nabawi. Kerana saya takut makan ubat. Takut ada kesan sampingan. Saya memujuk hati, tidak mengapa, asalkan sempat bersih untuk mengerjakan umrah di Mekah.
Tetapi, apabila kaki sudah menjejaki tanah suci Madinah, baru saya sedar bahawa semua itu adalah hasutan was-was syaitan semata-mata.
Rindu.
Ya Allah, terasa rindu yang teramat sangat untuk bersolat ketika mata sudah terlihat Masjid Nabawi.
Pagi itu, sejam sebelum solat subuh, ahli keluarga mula bersiap untuk ke masjid. Saya menahan air mata.
Suami memujuk,
"Jom la ikut sekali. Duduk je kat luar tu, boleh rasa suasana subuh Masjid Nabawi."
Tetapi saya menolak. Dalam hati ini terasa, Ya Allah, jika saya tidak boleh bersolat, apa gunanya ke Masjid Nabawi?
Keluarga saya pun meninggalkan saya keseorangan di bilik hotel. Dan saya menangis.
“Ya Allah, adakah saya tidak layak bersolat di Masjid Nabawi? Ya Allah, benarkanlah saya solat di Masjid Nabawi. Janganlah Engkau benarkan saya tinggalkan Madinah ini tanpa bersolat dahulu di Masjid Nabawi, tanpa mengunjungi Raudhah dahulu dan memberi salam kepada Rasulullah SAW.”
Saya sedih, tetapi saya tidak mengalah. Saya hubungi Celcom, memohon mereka activate data roaming di Madinah, dan saya mula mencari jalan keluar. Mencari pandangan. Dan saya terjumpa satu pandangan, di mana penulis berkata, sedikit darah yang keluar selepas pengambilan pill dikira sebagai darah istihadah.
Saya mula berasa sedikit tenang.
Saya ambil ubat, kerana saya terlalu ingin melakukan ibadah di bumi barakah ini. Rasa ketinggalan dan kerugian sangat.
Saya terdengar azan Subuh, kemudian suara imam mengalunkan bacaan Al-Quran. Begitu dekatnya masjid dengan bilik hotel. Saya masih mencari jawapan, tetapi hati sudah mula tenang.
Ya, Islam itu agama yang begitu mudah, selari dengan fitrah. Di dalam hati, saya berdoa. Ya Allah, saya ingin solat di Masjid Nabawi, saya begitu dekat dengan maqam Rasulullah SAW.
Dengan hati yang penuh yakin, saya memeriksa semula dan... Subhanallah! Saya bersih! Tiada tanda sedikit pun yang mengatakan saya masih di dalam keadaan haid.
Saya terus mandi wajib, menangis dengan penuh rasa syukur. Terasa dalam hati, saya ingin ke Masjid Nabawi dan bersolat subuh di sana, tetapi saya memikirkan keluarga dan suami yang bakal pulang, mungkin mereka akan risau jika saya tiada di bilik. Saya bersolat subuh di bilik hotel, solat pertamaku di bumi Madinah.
Solat keduaku adalah solat tahiyatul masjid di Masjid Nabawi semasa waktu Dhuha.
Solat ketigaku adalah solat sunat di Raudhah pada pagi yang sama.
Subhanallah.
Jadi, di sini saya ingin berkongsi sedikit pendapat:
1) Ramai ulama' yang bersetuju hukum megambil ubat menahan haid adalah harus kerana tiada dalil yang mengharamkannya contohnya Dr. Yusof al-Qardhawi (ruj: Sheikh al-Qardhawi, Feqhu Shiyam, hal 40).
Dengan progress dunia perubatan kini juga, terdapat banyak pilihan yang boleh dibuat dengan doktor tentang ubat yang sesuai. Ambillah ini sebagai satu hadiah perkembangan perubatan zaman kini untuk memudahkan para wanita mengerjakan umrah dan haji.
2) Kepada mereka yang risau tentang perancangan untuk hamil, ambil pandangan ini: kehamilan adalah satu usaha dari diri sendiri, tetapi hakikatnya adalah rezeki dari Allah taala.
Begitu juga dengan umrah, ia merupakan satu usaha untuk menjawab panggilan dan jemputan Allah taala ke tanah haram, tetapi hakikatnya adalah rezeki juga dari Allah taala. Maka berilah perhatian dahulu kepada rezeki yang datang, dan bersyukurlah. Bukan semua yang mendapat rezeki menunaikan umrah.
Umrah itu wajib sekali seumur hidup, tetapi menjadi seorang ibu adalah anugerah dan bukan kewajiban.
Don't fall into the trap of worrying about rizq that has not yet been granted to you.
3) Manusia merancang, tetapi Allah taala sebaik-baik perancang. I was so humbled by this experience. Kerana tidak ingin mengambil ubat, saya berfikir; tidak mengapa. Yang wajib dan memerlukan diri berada dalam keadaan suci dan berwudhu adalah untuk mengerjakan tawaf di Mekah.
Kalau ikut kiraan hari, sepatutnya saya bersih pada hari perjalanan, atau sehari selepasnya. Tetapi masyaAllah, ketika ternampak Masjid Nabawi, hati ini merintih untuk bersolat dua rakaat di masjid tersebut. Sebenarnya syaitan banyak menghasut dan menimbulkan perasaan was-was dalam hati. Bersangka baiklah dengan Allah SWT dan kuatkan semangat untuk mengerjakan umrah.
Sometimes we think our plans are in our hands, but they're not. Apa yang sudah dibenarkan ke atas kita, tak perlulah kita runsingkan. Segala perancangan kita sebenarnya adalah atas ketentuan Allah taala. Jadi ambillah langkah yang terbaik, berdoa dan berserahlah kepada Allah taala dengan penuh baik sangka.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat. Ada juga beberapa kaedah lain selain mengambil ubat untuk wanita yang mengalami haid semasa mengerjakan umrah. Ingin tahu? Haaa... tunggu update seterusnya, ya!
Saya juga ingin mengetahui pengalaman anda semasa mengerjakan umrah. Jom kongsikan di ruangan komen! ;)
Maisarah.
from Jom Dakwah http://ift.tt/2omPLLl
via Kuliah Islam
Labels:
Jom Dakwah,
Kuliah Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment