Rasulullah SAW bersabda,
“Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar. Ini kerana aku melihat kaum wanitalah yang paling banyak menjadi penghuni neraka.”(Hadis Riwayat Muslim)
Jelas, hadis di atas merupakan anjuran mahupun galakan daripada Baginda Nabi SAW kepada kaum wanita agar memperbanyakkan bersedekah dan mengucapkan istighfar. Kerana apa? Ini kerana, penghuni neraka kebanyakannya daripada kaum wanita.
Nauzubillahi min zalikh. Tak sanggup rasanya menerima hakikat ini. Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan wanita tersebut.
Dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Baginda diperlihatkan keadaan kaum ini. Bahkan, Baginda turut menangis apabila teringat akan pelbagai seksaan yang menimpa kaum ini kepada puterinya, Fatimah r.anha. Antara bentuk seksaan yang diperlihatkan kepada Rasulullah SAW ketika perjalanan yang penuh bersejarah itu, adalah;
#1 – Digantung Rambut
Wanita atau perempuan yang digantung rambutnya dan otaknya kelihatan menggelegak. Ini adalah balasan bagi mereka yang tidak menutup aurat iaitu tidak menutup rambutnya daripada pandangan kaum lelaki yang bukan muhrimnya.
Amat sedih sekali apabila dilihat di akhir zaman ini, ada dalam kalangan wanita ini yang dahulunya menutup rambut mereka dengan tudung, namun dek kerana ikutan fesyen yang moden, mereka sanggup ‘membuangnya’ dan menggantikannya dengan fesyen yang dianggap up to date.
#2 – Digantung Lidah
Perempuan yang digantung lidahnya hingga mencapai panjang 70 hasta, kemudian diikat lidahnya itu di belakang tengkuknya. Manakala tangannya pula diikat di belakang dan cairan timah dituangkan ke dalam kerongkongnya.
Allahurabbi, seksa sungguh keadaan ini. Apakah sebab mereka mendapat seksaan dahsyat ini? Inilah akibat mahupun balasan bagi mereka yang menggunakan mulutnya untuk berkata perkara-perkara yang buruk, memaki dan menyakiti hati suaminya. Allahuakbar, berjaga-jagalah apabila ingin bercakap atau lebih baik diam dan bertenang.
#3 – Digantung Buah Dada
Perempuan yang digantung buah dadanya dan buah zaqqum di tuang masuk ke dalam mulutnya. (buah zaqqum; buah dari neraka yang amat pahit dan apabila memakannya, segala isi perut akan menggelegak dan keluar api dari mulutnya). Ini pula balasan bagi mereka yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya.
#4 – Kaki Dan Tangan Diangkat Ke Ubun-Ubun
Perempuan yang digantung dalam keadaan kedua belah kaki dan tangannya diikat ke ubun-ubun, lalu diberikan ular dan kala jengking padanya. Ini adalah akibat daripada wanita yang boleh solat tetapi dia tidak melaksanakannya dan keluar dari rumah tanpa izin suaminya.
#5 – Memakan Daging Sendiri
Perempuan yang memakan dagingnya sendiri dan di bawahnya dinyalakan api neraka. Boleh bayangkan situasi ini? Aduh, tak sanggup. Inilah balasan bagi mereka yang tidak mahu mandi wajib setelah suci daripada haid dan nifas.
#6 – Wajah Yang Hitam
Perempuan yang mukanya hitam dan memakan usus dari perutnya sendiri. MasyaAllah, tak terperi rasanya. Ini pula adalah balasan buat mereka yang suka berhias untuk kaum lelaki yang bukan suaminya dan suka bercakap mengenai keaiban orang lain.
#7 – Kepala Dan Badan Berubah Seperti Haiwan
Perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti khimar (keldai) dan mendapat seksaan. Ia disebabkan ketika di dunia mereka suka berbohong dan melaga-lagakan orang lain atau ringkasnya, menjadi batu api.
#8 – Kala Jengking Dan Ular Masuk Ke Dalam Mulut
Perempuan yang rupanya seperti anjing, sementara kala jengking dan ular masuk ke dalam mulut, kemaluan dan duburnya. Kemudian, malaikat memukulnya dengan corong api neraka. Ini pula kerana mereka suka membuat fitnah, marah-marah dan membenci suaminya. Allahurabbi.
#9 – Digantung Dalam Keadaan Buta, Pekak Dan Bisu
Perempuan yang digantung dalam keadaan dia buta, pekak dan bisu. Manakala di kerongkongnya pula terdapat api neraka, darah dan otaknya keluar dari lubang hidungnya. Badannya pula berbau busuk kerana penyakit kulit, kusta dan sopak.
Sungguh, seksanya keadaan ini. Hendak menangis rasanya apabila membayangkan situasi tersebut. Ini adalah akibat bagi mereka yang tidak mahu bersolat, berpuasa, dan mandi wajib.
#10 – Menggunting Badan Sendiri
Seterusnya, perempuan yang menggunting badannya sendiri dengan gunting yang diperbuat daripada api neraka. Ini pula balasan buat mereka yang berhias untuk dilihat lelaki lain, bukan untuk suaminya. Allahurabbi, sungguh hal ini dapat dilihat pada zaman ini.
Rasulullah SAW bersabda;
“Aku melihat ke dalam syurga, dan kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam nereka, maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.”(Hadis Riwayat Bukhari)
Bahkan, Rasulullah SAW turut bersabda dalam hadis riwayat Bukhari yang menyatakan bahawa kebanyakan wanita menghuni neraka adalah disebabkan ingkar pada suaminya, dan tidak bersyukur kepadanya sekalipun suaminya itu telah berbuat baik padanya.
Sungguh, tak terbayang rasanya akan seksaan yang digambarkan oleh Baginda Nabi SAW. Ayuh, akhwatku sama-samalah kita lindungi diri daripada tergolong dalam kalangan mereka yang menjadi bahan bakar api neraka.
Wahai kaum Adam, berhati-hatilah dan bersabarlah dalam mendidik kaum Hawa ini menuju keredaan Allah SWT. Usahlah memberi peluang kepada syaitan untuk menggoda kaum wanita melakukan kejahatan yang akhirnya menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan. Bantulah mereka untuk sama-sama menghuni syurga abadiNya.
“Bila kita beragama, dengan sendirinya kita akan merasakan bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT sedang memantau. Keyakinan ini ibarat satu brek untuk kita tidak terus melakukan dosa. Tanpa ada keyakinan seperti ini, manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun ke dalam gaung. Tapi, kalau manusia hilang brek, dia akan terjun ke dalam neraka.”(Mutiara Kata Tuan Guru Nik Aziz)
Sumber : tazkirah.net
from Jom Dakwah http://ift.tt/2oVvBXE
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment