Monday, 17 April 2017

Bolehkah Perawat Mengetahui Di mana Barang Sihir?

Di dalam artikel-artikel saya yang lepas, saya ada menulis satu artikel tentang bagaimana caranya sihir dihantar kepada mangsa.
Salah satu diantaranya ialah dengan cara ditanam barang-barang sihir itu. Bagaimana barang sihir itu berfungsi?
Barang-barang yang digunakan untuk tujuan menyihir itu akan ditanam ditempat-tempat yang dilalui oleh mangsa contohnya seperti di rumah, di dalam pasu bunga, depan pintu, dekat pagar, kepala simpang jalan dan sebagainya.
Sekarang anda dah tahu bagaimana cara sihir itu dihantar kepada mangsakan. Jadi, saya nak bincangkan satu persoalan di sini iaitu, adakah perawat tahu di mana barang-barang sihir tersebut di tanam?
Walaupun saya tidak menafikan ada kaedah yang boleh dilakukan untuk mencari barang-barang sihir tersebut, tetapi secara umumnya memang perawat tidak akan tahu di mana letaknya barang-barang sihir.
Ok bagaimana cara yang boleh anda lakukan sendiri sebagai ikhtiar untuk mencari barang-barang sihir? Anda boleh baca artikel saya bertajuk Tip Mencari Barang Sihir. Selepas anda dah lakukan segala tip yang saya terangkan dalam artikel tersebut, jika anda dapat petunjuknya, tidak ada masalah jika anda hendak mengikuti petunjuk itu asalkan ianya tidak menyuruh anda lakukan perkara yang haram.
Sebagai contoh, katakanlah anda mendapat petunjuk melalui mimpi yang mengatakan barang tersebut ditanam dihadapan pintu rumah anda, tidak menjadi salah jika anda memastikannya. Tetapi sekiranya, petunjuk yang anda dapat menyuruh anda melakukan upacara pemujaan, atau menyuruh anda meyembelih haiwan dan dicampak ke dalam sungai, maka petunjuk sebegitu jangan anda ikut.
Jadi, bagaimana perawat boleh tahu dalam sesebuah rumah atau premis perniagaan mempunyai gangguan makhluk halus? Caranya ialah melalui tanda-tanda yang wujud di dalam rumah tersebut. Tanda-tanda yang menunjukkan di dalam rumah anda mempunyai gangguan makhluk halus ialah:
  1. Makanan cepat basi.
  2. Selalu terdengar bunyi guli jatuh.
  3. Selalu terdengar seakan-akan bunyi perabot di dalam rumah ditarik atau ditolak seseorang.
  4. Selalu perasan seperti ada lembaga atau kelibat melintas.
  5. Berasa seram sejuk apabila berada di dalam rumah.
Sekiranya di dalam rumah anda mempunyai tanda-tanda di atas, apa yang perlu dilakukan?
Cara yang selalu saya lakukan ialah:
  1. Langkah pertama saya nasihatkan terlebih dahulu kepada tuan rumah supaya memasang bacaan ruqyah selama dua atau tiga minggu berturut-turut secara berterusan. Disamping itu ahli rumah tersebut perlulah mengimarahkan rumah dengan melakukan solat-solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, khususnya surah al-Baqarah dan sebagainya.
  2. Sekiranya sudah dilakukan langkah pertama, tetapi tanda-tanda yang saya sebutkan di atas masih lagi berlaku, maka ketika itu perlulah perawat datang ke rumah untuk dipagar rumah tersebut.
Bagaimana pula kaedah memagar rumah yang saya lakukan?
Saya tak pasti bagaimana kaedah-kaedah yang digunakan oleh perawat-perawat yang lain. Cara yang saya gunakan ialah dengan garam kasar dan juga lada hitam yang sudah dihancurkan (diblender).
Langkah pertama ialah campurkan garam kasar dan lada hitam dan gaul sampai sebati. Kemudian bahan-bahan tersebut akan dijampi dengan ayat-ayat ruqyah terlebih dahulu.
Langkah kedua, saya akan membacakan ayat-ayat ruqyah diseluruh ruang rumah termasuk di tingkat dua jika ada. Setelah selesai dibacakan ayat ruqyah. setiap bahagian dan ruang di dalam rumah akan diazankan.
Langkah ketiga pula saya akan menjampi pula dibahagian luar rumah dengan bacaan ayat-ayat ruqyah juga. Setelah selesai dijampi di dalam dan di luar rumah, barulah garam kasar dan lada hitam tadi akan ditabur disekeliling rumah sambil membaca ayat kursi tanpa putus.
Kesimpulan dari artikel yang saya kongsikan ini ialah tidak ada perawat yang tahu di mana ditanamnya barang-barang sihir. Tetapi masih ada cara yang boleh anda ikhtiarkan untuk mencari barang tersebut. Dan perawat boleh mengesan adanya gangguan-gangguan jin yang terdapat di dalam rumah adalah dengan melihat kepada gejala-gejala yang wujud di dalam rumah tersebut.


from Jom Dakwah http://ift.tt/2pb045h
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment