Friday, 21 April 2017

Hukum Perubatan Islam Jarak Jauh

Image result for Hukum Perubatan Islam Jarak Jauh


Ada yang bertanyakan pendapat saya tentang kaedah perubatan Islam jarak jauh. Adakah ianya dibolehkan? Adakah kaedah ini haram secara mutlak atau ada perbahasannya? InshaaAllah dalam artikel ini saya akan huraikan terlebih dahulu secara umum tentang isu-isu ini bersama dengan dalil yang berkaitan dengannya ataupun yang berkaitan dengan cara pelaksanaannya.
Dan diakhir tulisan ini nanti baru saya akan memberikan pandangan saya secara khusus. Dan selepas itu, terpulanglah pula kepada diri anda sendiri samada untuk bersetuju atau tidak berkaitan dengan kaedah rawatan secara jarak jauh ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan kaedah rawatan jarak jauh ini?
Kaedah rawatan jarak jauh adalah merujuk kepada suatu kaedah perubatan di mana rawatan yang dilakukan kepada pesakit tanpa perlu pesakit bersemuka dengan perawat. Ataupun perawat merawat tempat kediaman atau premis perniagaan tanpa perlu perawat hadir ke bangunan tersebut.
Kaedah Yang Digunakan & Hukumnya
Dari kajian saya melalui pembacaan dan juga cerita yang diterima dari pesakit, antara pendekatan yang digunakan untuk menjayakan kaedah ini ialah dengan menggunakan alat perhubungan telekomunikasi seperti telefon bimbit, telefon rumah, internet (skype, google hangout dan lain-lain).
Dengan penggunaan alat perhubungan yang saya sebutkan di atas, perawat akan membacakan ayat-ayat ruqyah dan pesakit pula akan mendengar bacaan tersebut. Kaedah ini dari segi syarak adalah diharuskan kerana tidak terdapat sebarang unsur syirik, khurafat dan juga meragukan.
Pesakit dapat mendengar dengan jelas bacaan perawat. Kaedah ini sama sahaja seperti pesakit mendengar bacaan ayat-ayat ruqyah melalui laptop, radio cd, mp3 dan sebagainya. Saya ada menghuraikan teknik rawatan menggunakan mp3 ini. Anda boleh membacanya di sini.
Selain itu, dari segi keberkesanannya pula boleh dikatakan agak berkesan kerana pesakit dapat mendengar bacaan tersebut secara langsung. Cuma perawat sahaja tidak berada bersama pesakit secara bersemuka. Dan saya sangat yakin (melalui pengalaman saya), kita dapat mengetahui benar atau tidak pesakit mengalami ganguan jin atau tidak berdasarkan reaksi yang ditunjukkan oleh pesakit.
Pesakit yang memang mengalami gangguan akan menunjukkan tindakbalas seperti berasa sakit-sakit dibahagian badan (yang didiami oleh jin), berasa seperti dicucuk, rasa berdebar-debar, berpeluh, mengantuk yang teramat sangat dan sebagainya.
Untuk kes-kes yang lebih kronik seperti sihir atau saka, biasanya pesakit akan muntah dan juga kemungkinan akan berlakunya histeria.
Kaedah yang seterusnya pula ialah rawatan jarak jauh menggunakan doa-doa yang mustajab, zikir, solat hajat, bersedekah dan sebagainya. Beza rawatan menggunakan doa ini dengan rawatan menggunakan alat telekomunikasi di atas ialah rawatan ini sesuai untuk pesakit yang enggan untuk dirawat. Ataupun pesakit yang dah terlalu uzur samada disebabkan faktor usia, ataupun tahap kesihatan yang tidak mengizinkan.
Kaedah rawatan ini dipraktikkan bersandarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud:
“Tidak ada seorang hamba Muslim yang mendoakan kebaikan kepada saudaranya dibelakangnya (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan terdapatnya Malaikat yang akan berkata: Bagi engkau kebaikan yang engkau doakan untuknya” (Hadith riwayat Muslim, Kitab al-Dhikr wa al-Du‘a’ wa al-Tawbah wa al-Istighfar)
Di dalam hadis yang lain pula ada menyebutkan:
“Apabila seseorang lelaki mendoakan (kebaikan) bagi saudaranya di belakangnya (tanpa diketahui oleh suadaranya itu), maka Malaikat akan mengucapkan amin dan mendoakan ke atas dirinya doa seperti itu.” (Hadith riwayat Abu Dawud, Kitab al-Witr)
“Tiadalah doa yang segera dimakbulkan (oleh Allah) daripada doa seorang Muslim kepada seorang Muslim yang lain yang tidak bersama dengan dirinya.” (Hadith riwayat al-Tirmidhi, Kitab al-Birr wa al-Silah)
Selain itu, kaedah rawatan jarak jauh dengan menggunakan doa ini mengambil kira konsep tolong-menolong atas dasar taqwa dan juga kebaikan. Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah al-Maidah ayat 2, yang bermaksud:
“…..hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah…..”
Dalam ‘Awn al-Ma‘bud yang memetik pendapat al-Tibbi berkata bahawa sebahagian daripada golongan salaf apabila mahu mendoakan sesuatu ke atas dirinya, maka didoakan ke atas saudaranya dengan doa tersebut agar dapat didoakan oleh malaikat seperti doa tersebut. Bahkan doa tersebut lebih mudah dimakbulkan Allah SWT. Hal yang sama juga disebutkan oleh al-Nawawi dalam al-Minhaj
Al-Nawawi dalam al-Minhaj berkata bahawa maksud berdoa dibelakangnya adalah merujuk kepada berdoa secara rahsia tanpa diketahui bahawa seseorang itu telah didoakan oleh sahabatnya. Tambahan lagi, ia lebih mengundang rasa keikhlasan dalam berdoa berbanding berdoa dihadapannya. Manakala al-Qadi berkata bahawa pada hadis ini menunjukkan kelebihan berdoa secara rahsia ke atas saudara Muslim yang lain sekalipun doa itu ditujukan ke atas satu kumpulan orang Islam maka ia termasuk dalam erti kata berdoa sedemikian.
Oleh yang demikian daripada hadis dapat dikaitkan bahawa seseorang perawat yang membantu saudaranya Muslim yang sakit dengan memanjatkan doa atau melalui perlaksanaan ibadah seperti solat hajat dan sebagainya, maka ia termasuk dalam erti kata membantu merawat pesakit itu secara jarak jauh tanpa diketahui oleh pesakit. Maka dengan izin dan perkenan Allah SWT, pasti akan disembuhkan oleh Allah SWT.
Kesimpulannya, rawatan dengan kaedah berdoa ini adalah kaedah yang diharuskan bahkan digalakkan kerana mereka yang berdoa itu juga akan memperoleh kebaikan yang sama seperti orang yang didoakannya.
Kaedah yang seterusnya pula ialah rawatan jarak jauh dengan menggunakan gambar, nama pesakit, nama ibu dan sebagainya. Secara umumnya, kaedah begini juga tidak menyalahi syarak sekiranya kaedah yang digunakan tidak melibatkan unsur-unsur syirik dan haram.
Unsur-unsur syirik yang saya maksudkan ialah yang melibatkan penggunakan jin di dalam rawatan. Ini terjadi apabila jin digunakan untuk membantu mengenalpasti masalah pesakit samada melalui gambar, nama dan sebagainya.
Dan hukumnya boleh jatuh haram apabila perawat dapat mengetahui masalah pesakit hanya dengan menggunakan gambar sebagai contoh. Ini kerana perbuatan tersebut termasuk dalam amalan tukang tilik.
Pandangan Keseluruhan Terhadap Kaedah Rawatan Jarak Jauh
Setelah saya memberikan sedikit penjelasan berkenaan dengan kaedah rawatan jarak jauh ini, sekarang saya akan memberikan pandangan keseluruhan tentang isu di atas.
Secara keseluruhannya, saya lebih cenderung mengatakan bahawa sebaiknya jika boleh elakkan dari menggunakan kaedah rawatan jarak jauh ini atas beberapa alasan.
  1. Untuk mengelakkan dari berlakunya fitnah dan juga tuduhan-tuduhan sumbang yang tidak tepat terhadap konsep perubatan Islam. Ini kerana, apabila disebut perubatan Islam, masyarakat secara automatik akan beranggapan sepatutnya perubatan Islam mestilah dilakukan berdasarkan batas-batas yang telah ditetapkan sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW dan juga para sahabat Baginda. Ini kerana Rasulullah SAW hanya merawat sahabat-sahabat Baginda secara berdepan ataupun Baginda akan mengajar para sahabat untuk merawat diri mereka sendiri, ataupun mencadangkan orang lain yang mahir dalam sesuatu penyakit.
  2. Dari sudut keberkesanan dalam memohon kesembuhan daripada Allah SWT, sepatutnya adalah melalui pertemuan secara langsung antara pesakit dan perawat. Ini bermakna, adalah lebih baik berlaku pertemuan secara langsung dan bersemuka bagi memastikan tidak berlaku salah faham dalam pendekatan rawatan yang dilakukan. Walaupun demikian, tidak dinafikan bahawa kesembuhan itu milik Allah SWT dan bagaimana serta cara untuk berikhtiar mencari penawar itu adalah bergantung kepada usaha manusia itu sendiri tetapi masih perlu berpandukan syariat.
  3. Sekiranya menggunakan kaedah rawatan jarak jauh dengan perawat mendakwa bahawa ada seseorang yang akan datang menjalankan rawatan ketika pesakit sedang tidur, maka pendekatan sedemikian adalah menyerupai amalan perbomohan dan ia adalah diharamkan. Ini bermakna perawat tersebut telah menggunakan pertolongan jin atau makhluk halus dalam rawatan yang dijalankan. Allah SWT telah jelas menyatakan bahawa memohon pertolongan jin atau makhluk halus itu tidak lain melainkan menambahkan lagi kesesatan dan jauh dari pertolongan Allah. Firman Allah SWT dalam ayat 6 surah al-Jin, maksudnya:
    “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”
  4. Pertemuan antara pesakit dengan perawat mewujudkan hubungan antara dua insan iaitu hubungan antara pesakit yang memerlukan bantuan dan pertolongan dengan perawat yang berusaha untuk menghulurkan bantuan dan sama-sama memohon kesembuhan daripada Allah SWT. Pada masa yang sama menghubungkan silaturrahim antara meraka. Hal ini bertepatan dengan penjelasan al-Quran yang menyebutkan bahawa setiap orang Islam itu adalah bersaudara dan mereka saling tolong menolong pada kebaikan.
Walaupun demikian, saya melihat bahawa tidak salah untuk menggunakan rawatan jarak jauh yang dilaksanakan melalui beberapa pendekatan berikut:
  1. Saya sangat bersetuju jika perawat mengambil pendekatan dengan melakukan solat hajat bersama dengan ahli keluarga pesakit, mendoakan pesakit dari jarak jauh tanpa pengetahuan pesakit atau meminta ahli keluarga sama-sama mendoakan pesakit tanpa pengetahuan pesakit agar pesakit itu disembuhkan oleh Allah. Pendekatan ini bertepatan dengan saranan Nabi SAW dan ia mudah untuk mendapat kemakbulan doa tersebut daripada Allah SWT seperti mana disebutkan dalam hadis sebelum ini.
  2. Perawat sentiasa memastikan bahawa kaedah rawatan tersebut tidak menyalahi syariat Islam, tiada unsur keraguan hukum, tidak berunsurkan mistik atau menunjukkan sesuatu keajaiban, dan menggunakan ruqyah al-shar‘iyyah serta tidak menggunakan bahan-bahan rawatan yang diharamkan atau berunsurkan najis.
  3. Rawatan yang dijalankan berlaku secara sedar dan berlaku komunikasi dua hala antara perawat dan pesakit jika menggunakan alatan perhubungan seperti telefon atau menggunakan internet. Kemudian, perawat melakukan rawatan menggunakan ruqyah al-shar‘iyyah yang dibenarkan bukan menggunakan jampi atau mantera yang dilarang. Sebolehnya perawat mendapatkan bantuan ahli keluarga pesakit untuk membantu ketika proses rawatan tersebut.
Kesimpulan
Akhir sekali, rumusan yang dapat saya buat berdasarkan hujah-hujah dan dalil di atas, dapat difahami bahawa hukum rawatan secara jarak jauh ini berubah-ubah mengikut kepada kaedah pelaksanaannya.
Jika perlaksanaannya masih mengikut batasan yang ditetapkan oleh agama, maka hukumnya harus untuk berubat dengan kaedah tersebut. Tetapi, sekiranya menggunakan kaedah-kaedah yang terang-terang mengandungi unsur-unsur syirik, pemujaan, dan juga meragukan, nasihat saya agar anda hindarilah daripada menggunakan kaedah tersebut.



Sumber : perawatislam.com


from Jom Dakwah http://ift.tt/2pZmDpH
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment