Tuesday, 25 April 2017

Surah Yang Dibaca Oleh Rasulullah Saw Dalam Solat PERLU ANDA TAHU.. SEBARKAN !!!


Bacaan Dalam Solat Perlu Tertib

BOLEHKAH ustaz senaraikan surah yang perlu dibaca dalam solat? Apakah benar panjang pendek sesuatu surah itu akan menentukan kedudukannya sama ada di rakaat awal atau akhir.

*********************
Ustaz Zahazan Mohamed

BACAAN surah dalam solat hendaklah dibaca dengan tertib dan tartil serta dibezakan bacaan dengung suara antara sebutan rahmat dan sebutan azab, antara sebutan tahmid (memuji) dengan sebutan tamjid (memuliakan), antara sebutan wa'du (janji baik untuk yang taat) dengan wa'id (janji jahat untuk yang ingkar). Jika kita melakukan sedemikian, barulah solat kita dikatakan berbekas pada jiwa dan perasaan.
Begitu juga hendaklah kita berhenti (waqaf) pada tiap-tiap ayat, atau di tempat yang dipandang baik berhenti pada tempat itu.

Mengenai soal memanjangkan atau memendekkan surah yang dibaca iaitu Rasulullah SAW kadang-kala membaca surah panjang, sederhana dan kadang-kadang pendek. Baginda SAW membaca bersesuaian dengan keadaan ketika itu.

Rasulullah SAW juga sentiasa membaca surah dari awal, tidak pernah Baginda memulakan bacaan pada pertengahan surah atau pada akhir surah. Baginda SAW kadang-kadang menghabiskan bacaan surah di pertengahan surah itu pada satu rakaat saja, dan kadang-kadang Baginda berhenti di pertengahan surah dan Baginda menamatkannya di rakaat kedua.

Tidak ada riwayat yang menyatakan Nabi SAW membaca satu atau dua atau tiga ayat daripada satu-satu surah, atau membaca akhir surah melainkan di solat sunat fajar (Subuh).

Pada solat sunat fajar (Subuh), Nabi SAW membaca di rakaat pertama satu ayat pada surah al-Baqarah, iaitu ayat 136. Pada rakaat kedua sunat fajar (Subuh), Baginda membaca satu ayat pada surah Ali Imran ayat 64.

Rasulullah SAW pernah membaca satu surah di kedua-dua rakaat, seperti mana Baginda pernah membaca kedua-dua surah tiap-tiap rakaat. Umpamanya, Rasulullah SAW pernah membaca surah al-A'raf pada solat Maghrib, sebahagiannya Baginda baca di rakaat pertama dan sebahagian lagi dibaca pada rakaat yang kedua.

Rasulullah SAW pernah membaca surah al-Zalzalah di kedua-dua rakaat solat Subuh. Rasulullah SAW pernah membaca kedua-dua surah daripada surah al-Mufashshal, pada satu-satu rakaat.

Rasulullah SAW pernah memanjangkan bacaan ketika solat Subuh setiap hari, lebih panjang daripada solat fardu yang lain pada hari itu.

Rasulullah SAW pada setiap solat ghalibnya (lazimnya) memanjangkan bacaan surah pada rakaat pertama dibandingkan rakaat kedua.

Surah terpendek yang Baginda baca pada solat Subuh ialah Surah Qaf dan surah yang ukuran sepertinya. Menurut keterangan yang sahih, bacaan ketika solat Subuh itu, lazimnya sebanyak 60 hingga 100 ayat (iaitu bagi tiap-tiap rakaat).

Di solat Subuh pada pagi Jumaat, Baginda tetap membaca pada rakaat pertama Surah as-Sajadah dan di rakaat kedua, membaca surah al-Insan. Baginda membaca dengan lengkap, tidak pernah Baginda membaca setengahnya saja.

Pada solat Zuhur, Rasulullah SAW membaca (panjangnya) 30 ayat (seperti panjang surah as-Sajadah). Rasulullah SAW juga membaca pada solat Zuhur surah al-A'la dan al-Lail atau Surah al-Buruj dan surah At Taariq dan seumpamanya.

Ketika solat Jumaat, Rasulullah SAW biasa membaca surah al-Jumaah pada rakaat pertama dan surah al-Munafiqun pada rakaat kedua. Adakalanya Baginda SAW membaca surah al-A'la dan al-Ghasyiah.

Ketika solat Asar, Rasulullah SAW membaca sekadar 15 ayat pada tiap rakaat. Ketika solat Maghrib Rasulullah SAW membaca surah al-A'raf, surah at-Thur, surah al-Mursalat dan surah ad-Dukhan. Baginda tidaklah terus menerus membaca surah yang pendek.

Ada riwayat yang mengatakan Rasulullah SAW membaca surah al-Kaafirun dan surah al-Ikhlas. Riwayat ini hanya diterima daripada Ibn Majah, kerana itu tidak dapat dipandang sahih. Riwayat yang sahih adalah Rasulullah SAW membaca surah al-Kaafirun dan al-Ikhlas dalam solat Maghrib.

Ketika solat Isyak, Rasulullah SAW membaca surah at-Tin dan surah asy-Syams dan surah-surah seumpamanya. Apabila selesai membaca surah, berhenti atau berdiamlah sekadar senafas, iaitu sekadar membaca Subhanallah. Jangan sekali-kali disambung terus akhir surah dengan takbir dan rukuk. Wallahualam

****************************************
Oleh Ustaz Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, Taman al-Barakah, Kg. Tasek Pauh, 16810, Selising, Pasir Puteh, Kelantan

Surah-Surah Yang Dibaca Oleh Rasulullah s.a.w. Dalam Solat

Terdapat banyak hadis yang menerangkan surah-surah yang pernah dibaca oleh Rasulullah s.a.w. dalam solat. Antaranya ialah seperti berikut:-

I- Solat Subuh

عَنْ أَبِيْ بَرْزَةَ الأَسْلَمِيِّ رضي الله عنه:...وَيُصَلِّي الصُّبْحَ فَيَنْصَرِفُ الرَّجُلُ فَيَعْرَفُ جَلِيْسَهُ، وَكَانَ يَقْرَأُ فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ أَوْ إِحْدَاهُمَا مَا بَيْنَ السِّتِّيْنَ إِلَى الْمِئَةِ. رواه البخاري.

Abu Barzah al-Aslami (ketika menceritakan tentang waktu-waktu sembahyang Nabi menyatakan bahawa) “Dan baginda bersembahyang subuh, dan bila selesai (sembahyang), seseorang itu akan kenal orang yang bersebelahan dengannya. Dan baginda membaca dalam dua rakaat (sembahyang subuh) atau dalam satu rakaat antara enam puluh sehingga seratus ayat. Riwayat Bukhari.

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ السَّائِبِ رضي الله عنه قَالَ: صَلَّى لَنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الصُّبْحَ بِمَكَّةَ، فَاسْتَفْتَحَ سُوْرَةَ الْمُؤْمِنِيْنَ، حَتَّى جَاءَ ذِكْرُ مُوْسَى وَهَارُونَ أَوْ ذِكْرُ عِيْسَى، أَخَذَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم سَعْلَةٌ فَرَكَعَ. رواه مسلم.

Abdullah bin as-Sa’ib r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersembahyang subuh bersama kami di Mekah, dan baginda membaca surah al-Mukminun (118 ayat), dan setelah sampai kepada ayat yang menyebut tentang Nabi Musa dan Harun (mungkin ayat ke 45), atau tentang Nabi Isa (mungkin ayat ke 50, perawi was-was) baginda batuk, lalu baginda rukuk. Riwayat Muslim.

وَعَنْ رَجُلٍ مِنْ جُهَيْنَةَ، أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ فِيْ الصُّبْحِ: إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ ، فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ كِلْتَيْهِمَا، قَالَ: فَلاَ أَدْرِيْ أَنَسِيَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَمْ قَرَأَ عَمْداً. رواه أبو داود وحسنه الدكتور نصير فريد (مفتي الديار المصرية) في تحقيقه لنيل الأوطار، ج 2، ص 227.

Seorang sahabat daripada kabilah Juhainah menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. membaca dalam sembahyang subuh, dikedua-dua rakaat, surah az-Zalzalah. Beliau berkata: aku tidak pasti adakah baginda terlupa atau baginda sengaja membaca demikian. Hadis hasan riwayat Abu Daud.

Al-Albani menyebut: "Baginda membacakan surah "Tiwalul Mufassal". Kadang baginda membaca surah al-Waqiah (96 ayat) dalam dua rakaat. Baginda pernah membaca surah at-Thur (49 ayat, iaitu semasa hajjatul wada'). Kadang-kadang baginda membaca surah Qaf (45 ayat) dan seumpamanya dalam rakaat pertama. Kadang-kadang baginda membaca "Qisarul Mufassal" seperti surah at-Takwir (29 ayat). Pernah satu kali baginda membaca surah az-Zalzalah (8 ayat) dalam rakaat pertama dan kedua. Dan pernah satu kali semasa musafir, baginda membaca surah al-Falaq (5 ayat) dan an-Nas (6 ayat). Baginda pernah membaca surah ar-Rum (60 ayat, melebihi 6 muka surat) dan Yasin (83 ayat). Saidina Umar penah membaca surah al-Kahfi (110 ayat, melebihi 11muka surat) pada rakaat pertama dan surah Yusuf (111 ayat, melebihi 13 muka surat) atau surah Yunus (109 ayat, melebihi 13 muka surat) pada rakaat kedua.

Berkata al-Hafiz Ibnul Qayyim: “Baginda membaca pada subuh hari jumaat dengan tamat kedua-dua surah as-Sajdah dan surah al-Insan.. dan apa yang diamalkan oleh sebahagian manusia pada hari ini dengan membaca sebahagian surah sahaja pada kedua-dua rakaat, atau menamatkan surah as-Sajdah pada dua rakaat adalah menyalahi dengan sunnah. Dan anggapan bahawa subuh hari jumaat dilebihkan daripada sembahyang-sembahyang yang lain dengan adanya sujud sajdah merupakan satu kejahilan yang besar. Kerana inilah sebahagian ulamak memakruhkan membaca surah as-Sajdah, kerana ingin membuang angapan salah ini”. Beliau berpendapat bahawa Nabi membaca surah-surah tersebut kerana kandungan surah tersebut bersesuaian dengan apa yang berlaku pada hari jumaat. Lihat Zadul Maad, juz 1, m/s 203.

Al-Hafiz Ibnul Qayyim juga menceritakan bahawa Saidina Abu Bakar pernah membaca surah al-Baqarah (286 ayat, 48 muka surat) dalam sembahyang subuh. Dan beliau memberi salam hampir naik matahari. Lalu para makmum berkata: Wahai Khalifah Rasulullah, hampir-hampir matahari naik. Beliau menjawab: Kalau matahari naik sekalipun, ia tidak akan dapati kita dalam keadaan lalai.

II- Solat Zohor

عَنْ أَبِيْ قَتَادَةَ رضي الله عنه قَالَ: أَنَّ النبيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُطَوِّلُ فِيْ الرَّكْعَةِ الأُوْلَى مِنْ صَلاَةِ الظُّهْرِ، وَيُقَصِّرُ فِي الثَّانِيَةِ، وَيَفْعَلُ ذَلِكَ فِيْ صَلاَةِ الصُّبْحِ. رواه البخاري ومسلم.

Abu Qatadah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. (bila bersembahyang), baginda akan memanjangkan rakaat pertama dan memendekkan rakaat kedua. Begitu juga pada sembahyang subuh. Riwayat Bukhari dan Muslim.

عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه، قَالَ: لَقَدْ كَانَتْ صَلاَةُ الظُّهْرِ تُقَامُ، فَيَذْهَبُ الذَّاهِبُ إِلَى الْبَقِيْعِ، فَيَقْضِيْ حَاجَتَهُ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ، ثَمَّ يَأْتِيْ وَرَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم فِيْ الرَّكْعَةِ الأُوْلَى مِمَّا يُطَوِّلُهَا. رواه مسلم.

Abu Said al-Khudri r.a. berkata: Pernah bila diiqamahkan sembahyang zuhur, seorang sahabat pergi ke Baqi untuk qadha hajat, kemudian (balik ke rumahnya untuk) berwudhuk, kemudian barulah dia datang untuk berjemaah, dan dia dapati Rasulullah s.a.w. masih lagi dalam rakaat pertama, kerana baginda memanjangkannya. Riwayat Muslim.

Berkata Syeikh al-Albani: Kadang-kadang baginda membaca surah at-Toriq, surah al-Buruj, surah al-Lail dan seumpamanya.

III- Solat Asar

عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه، قَالَ: كُنَّا نَحْزُِرُ قِيَامَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم فِيْ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ، فَحَزَرْنَا قِيَامَهُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُوْلَيَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ قَدْرَ قِرَاءَةِ ألم تنـْزيل –السَّجْدَةِ، وَحَزَرْنَا قِيَامَهُ فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ الأُخْرَيَيْنِ قَدْرَ النِّصْفِ مِنْ ذَلِكَ، وَحَزَرْنَا قِيَامَهُ فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ الأُوْلَيَيْنِ مِنَ الْعَصْرِ عَلَى قَدْرِ قِيَامِهِ فِيْ الأُخْرَيَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ، وَفِيْ الأُخْرَيَيْنِ مِنَ الْعَصْرِ عَلَى النِّصْفِ مِنْ ذَلِكَ. رواه مسلم.

Abu Said al-Khudri r.a. berkata: kami menganggar qiam Rasulullah s.a.w. dalam sembahyang zuhur dan asar. Kami anggarkan qiam baginda dalam dua rakat pertama sembahyang zuhur sekadar bacaan surah as-Sajdah (30 ayat, 3 muka surat). Dan pada dua rakaat kedua terakhir sekadar separuh daripada tadi. Dan kami juga menganggar qiam baginda pada dua rakaat pertama sembahyang asar sekadar qiam baginda dalam dua rakaat terakhir sembahyang zuhur. Dan pada dua rakaat terakhir sembahyang asar, sekadar separuh daripada itu. Riwayat Muslim.

Al-Albani menyebut bahawa baginda juga memanjangkan rakaat pertama berbanding rakaat kedua.

IV- Solat Maghrib

Syeikh al-Albani berkata: “Kadang-kadang baginda membaca "Qisarul Mufassal". Ada juga baginda membaga "Tiwalul Mufassal" dan "Ausatul Mufassal". Baginda pernah membaca surah Muhammad. Baginda pernah membaca surah at-Thur dan juga surah al-Mursalat. Dan pernah baginda membaca surah al-A'raf dalam dua rakaat, dan begitu juga surah al-Anfal”.

عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ يَسَارٍ، عَنْ أبي هريرة رضي الله عنه أَنَّهُ قَالَ: مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَشْبَهَ صَلاَةٍ بِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ فُلاَنٍ، قَالَ سُلَيْمَانُ: فَكَانَ يَقْرَأُ فِيْ الصُّبْحِ بِطِوَالِ الْمُفَصَّلِ، وَفِيْ الْمَغْرِبِ بِقِصَارِ الْمُفَصَّلِ. قال الحافظ ابن حجر في فتح الباري: أخرجه النسائي وصححه ابن خزيمة وغيره.

Sulaiman bin Yasar menyatakan bahawa Abu Hurairah r.a. berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih hampir (cara) sembahyangnya dengan sembahyang Rasulullah s.a.w. berbanding si pulan (seorang imam di Madinah). Sulaiman berkata: (Aku pernah bersembahyang di belakang si pulan tersebut) dan beliau membaca pada sembahyang subuh dengan “Tiwalul Mufassal” dan pada sembahyang maghrib dengan “Qisarul Mufassal”. Hadis riwayat Nasaie.

Mengekalkan hanya membaca surah-surah yang pendek, dalam sembahyang maghrib bukanlah sunnah, sekalipun itulah anggapan kebanyakan kita. Kerana inillah Zaid bin Thabit, seorang sahabat Nabi s.a.w. menegur perbuatan Marwan bin al-Hakam, dalam masalah ini.

عَنْ مَرْوَانِ بْنِ الْحَكَمِ قَالَ: قَالَ لِيْ زَيْدُ بْنِ ثَابِتٍ: مَا لَكَ تَقْرَأُ فِيْ الْمَغْرِبِ بِقِصَارٍ؟ وَقَدْ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ بِطُوْلَى الطُّوْلَيَيْنِ. رواه البخاري.

Marwan bin al-Hakam berkata: Zaid bin Thabit bertanyaku: Kenapakah kamu (sentiasa) membaca dalam solat maghrib dengan surah-surah pendek? Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w. membaca dalam solat maghrib dengan surah yang paling panjang antara dua surah panjang, (maksud beliau ialah surah al-A’raf). Riwayat Bukhari.

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَرَأَ فِيْ الْمَغْرِبِ بِسُوْرَةِ الأَعْرَافِ، فَرَّقَهَا فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ. رواه النسائي، وإسناده صحيح كما قال الشيخ شعيب وعبد القادر الأرناؤوط.

Aisyah r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. pernah membaca surah al-A’raf dalam sembahyang maghrib dan baginda menceraikannya pada dua rakaat. Hadis sohih riwayat Nasaie. (Surah al-A’raf, 206 ayat, 26 muka surat)

Dan antara hadis yang menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. membaca surah yang juga panjang ialah:

عَنْ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ رضي الله عنه، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَرَأَ بِالْمَغْرِبِ بِالطُّوْرِ. رواه البخاري ومسلم.

Jubair bin Mut’im berkata: aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. membaca surah at-Thur dalam sembahyang maghrib. Riwayat Bukhari dan Muslim. (Surah at-Thur adalah 49 ayat dan melebihi dua muka surat).

Dan hadis-hadis ini tidaklah menunjukan bahawa Nabi s.a.w. sentiasa memanjangkan bacaan dalam solat maghrib, tetapi menunjukkan bahawa bukanlah ditentukan surah yang pendek sahaja dalam sembahyang maghrib. Dan ada riwayat daripada Imam Syafie yang mengatakan bahawa beliau suka dibacakan surah-surah yang panjang dalam sembahyang maghrib.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما قَالَ: إِنَّ أُمَّ الْفَضْلِ سَمِعَتْهُ وَهُوَ يَقْرَأُ ﴿ وَالْمُرْسَلَاتِ عُرْفًا ﴾، فَقَاْلَتْ: يَا بُنَيَّ، وَاللهِ، لَقَدْ ذَكَّرْتَنِيْ بِقِرَائَتِكَ هَذِهِ السُّوْرَةِ، إِنَّهَا لآخِرُ مَا سَمِعْتُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ بِهَا فِيْ الْمَغْرِبِ. رواه البخاري ومسلم.

Ibnu Abbas menceritakan bahawa tatkala beliau membaca surah al-Mursalat, Ummul Fadhli berkata: Wahai anakku, demi Allah, sesungguhnya bacaanmu dengan surah ini mengingatkan daku kepada surah terakhir yang aku dengar Rasulullah s.a.w. membacanya dalam solat maghrib. Riwayat Bukhari. (Surah al-Mursalat 50 ayat, dan hampir dua muka surat).

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar: Hadis ini menunjukkan bahawa semasa baginda sihat, baginda membaca dengan surah yang lebih panjang (dalam sembahyang maghrib). Ini kerana baginda dalam keadaan sakit, yang mana biasanya diringkaskan sebahyang.

V- Solat Isya'

عَنْ أَبِيْ رَافِعٍ قَالَ: صَلَّيْتُ مَعَ أَبِيْ هُرَيْرَةَ الْعَتَمَةَ، فَقَرَأَ: ﴿ إِذَا السَّمَاء انشَقَّتْ ﴾، فَسَجَدَ، فَقُلْتُ لَهُ: مَا هَذِهِ؟ قَالَ: سَجَدْتُ بِهَا خَلْفَ أَبِيْ الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم، فَلاَ أَزَالُ أَسْجُدُ بِهَا حَتَّى أَلْقَاهُ. رواه البخاري.

Abu Rafi’ menceritakan bahawa beliau bersembahyang isyak bersama Abu Hurairah r.a. dan beliau membaca surah al-Insyiqaq dan beliau sujud (tilawah). Lalu aku bertanya: sujud apakah ini? Beliau menjawab: aku pernah bersujud (kerana surah ini) di belakang Abul Qasim (Nabi s.a.w.), dan aku akan bersujud kerana membacanya sehingga aku bertemuNya (mati). Riwayat Bukhari.

عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ : ﴿ وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ ﴾، فِيْ الْعِشَاءِ، وَمَا سَمِعْتُ أَحَدًا أَحْسَنَ صَوْتًا مِنْهُ. رواه البخاري ومسلم.

Al-Bara’ bin Azib menceitakan bahawa beliau pernah mendengar Nabi s.a.w. (semasa musafir) membaca surah at-Tin dalam sembahyang isyak. Dan beliau berkata: Dan aku tidak pernah mendengar seseorang pun yang lebih merdu daripada suara baginda. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dan dalam cerita Muaz bin Jabal r.a. mengimami sembahyang isayk dengan surah al-Baqarah, baginda menegurnya dan bersabda:

أَتُرِيْدُ أَنْ تَكُوْنَ فَتَّانًا يَا مُعَاذُ؟ إِذَا أَمَمْتَ النَّاسَ فَاقْرَأْ بِالشَّمْسِ وَضُحَاهَا، وَسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلى، وَاقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ، وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشى. رواه مسلم.

Adakah kamu ingin menjadi punca fitnah wahai Muaz? Kalaulah kamu menjadi imam, bacalah surah as-Syams, surah al-A’la, surah al-Alaq dan surah al-Lail. Riwayat Muslim.

Berkata Imam Nawawi: “Disunatkan membaca dalam sembahyang subuh dan zuhur dengan “Thiwaalul Mufassal” (surah-surah Mufassal yang panjang), tetapi dalam sembahyang subuh lebih panjang. Dan disunatkan membaca dalam sembahyang isyak dan asar dengan “Auwsaatul Mufassal”, (surah-surah Mufassal yang pertengahan), dan disunatkan dalam sembahyang maghrib dengan “qisarul Mufassal” (surah-surah Mufassal yang pendek). Syarah Sohih Muslim, Kitab 4, Bab 34.

Dan khilaf ulamak tentang permulaan surah-surah tersebut. Ada pendapat yang mengatakan bahawa surah Mufassal yang panjang bermula daripada Surah al-Hujurat sehingga surah an-Naba’. Surah Mufassal yang pertengahan pula bermula daripada surah an-Naba’ sehingga surah ad-Dhuha, dan surah Mufassal yang pendek pula bermula daripada surah ad-Dhuha hingga akhir Qur’an. Sabilal Muhtadin, j 1, m/s 209.

Antara Hadis Berkaitan Dengan Bacaan Surah

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رضي الله عَنْهُمَا قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَأْمُرُنَا بِالتَّخْفِيْفِ، وَيَؤُمُّنَا بِالصَّافَّاتِ. رواه النسائي، وإسناده صحيح كما قال الشيخ شعيب وعبد القادر الأرناؤوط.

Ibnu Umar r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. menyuruh kita meringkaskan sembahyang (bila menjadi imam), dan baginda mengimami kami dengan surah as-Soffat. Riwayat Nasaie. Surah as-Soffat adalah 182 ayat, 7 muka surat). Perkataan beliau ini adalah untuk menyedarkan kita tentang erti meringkaskan sembahyang.

Berkata al-Hafiz Ibnul Qayyim dalam memberikan kefahaman tentang erti imam hendaklah “meringkaskan sembahyang”: “Meringkaskan sembahyang itu adalah satu perkara yang nisbi (tidak tetap. Boleh jadi ringkas pada pandangan orang yang suka mendengar al-Qur’an, tetapi tidak kepada yang lain). Kerana ini rujukan untuk maknanya ialah dengan apa yang biasa dilakukan oleh Nabi s.a.w., dan bukannya kembali kepada nafsu para makmum. Ini kerana baginda tidaklah menyuruh sesuatu tetapi baginda sendiri yang menyalahinya. Sedangkan baginda juga tahu bahawa di belakang baginda itu ada yang tua, lemah dan yang berhajat. Apa yang baginda lakukan itulah maksud “meringkas” yang bagnida suruh. Zadul Maad, juz 1, m/s 207.


from Jom Dakwah http://ift.tt/2q1wOej
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment