Monday, 10 July 2017

Penggunaan GPS membuatkan sistem navigasi semulajadi kita menjadi lemah

Image result for Penggunaan GPS membuatkan sistem navigasi semulajadi kita menjadi lemah


Skil navigasi atau kemahiran mencari jalan adalah berbeza antara setiap individu. Ada di kalangan kita yang cekap, dan mudah untuk mencari jalan ke tempat yang ingin dituju atau mecari jalan yang betul sekiranya tersesat. Ada pula di antara kita yang sudah lalu jalan yang sama berpuluh-puluh kali pun masih tak dapat nak ingat dan sering tersesat sehingga tidak dapat keluar.
Kebolehan yang berbeza ini sebenarnya dipengaruhi oleh suatu bahagian di dalam otak kita yang bertanggungjawab mengendalikan mekanisma navigasi, pembelajaran dan juga memori. Bahagian yang unik ini dinamakan hippocampus. Ianya dibantu pula oleh suatu bahagian lain yang dinamakan prefrontal cortex yang terlibat dalam kebolehan kita merancang dan membuat keputusan.
Suatu kajian telah dijalankan oleh Professor Eleanor Maguire di UCL (University College London) memfokuskan pada pemandu teksi di kota London yang berselirat dan bersimpang siur. Kajian beliau menunjukkan yang bahagian hippocampus pada otak pemandu teksi yang menjadi subjek kajian beliau adalah lebih besar daripada masyarakat umum. Bahagian ini menjadi lebih besar hasil dari mengingati banyaknya jalan yang ada di sana dalam tempoh bertahun-tahun menjadi pemandu teksi.
Saintis telah mengenal pasti tiga jenis sel di bahagian hippocampus dan sekitarnya yang dikatakan bertanggungjawab dalam kebolehan navigasi kita iaitu place cellshead direction cells dan grid cells.
imej dan lokasi di dalam otak
Place cells memberikan kita maklumat di manakah kita sedang berada pada sesuatu masa. Head direction cells pula berfungsi seperti kompas dan memberitahu kita ke arah manakah kita sedang menghala. Grid cells pula memberitahu kita sudah berapa jauhkah kita sudah bergerak dengan mengaplikasikan sistem grid yang terdiri dari latitud dan longitud yang selalu kita jumpa di dalam peta.
Interaksi antara bahagian otak yang terlibat dalam navigasi akan meningkat apabila kita sedang mencari jalan. Melalui mata kita, imej atau petanda yang menentukan lokasi di mana kita berada akan disimpan di dalam memori sebagai rujukan untuk digunakan sekiranya kita melalui tempat yang sama berulang kali. Contohnya, stesen minyak, papan tanda hatta pokok mangga di depan rumah juga boleh dijadikan titik rujukan.
papan tanda
Golongan pelayar pada zaman dahulu menggunakan kemahiran ini pada tahap yang lebih tinggi dengan menggunakan bintang di langit sebagai titik rujukan mereka. Sama seperti kita, pada awalnya mereka perlu memerhatikan dan mengingat lokasi petanda-petanda ini. Apabila sudah mahir, mereka sekadar menggunakan memori mereka untuk menentukan kedudukan dan arah yang perlu dituju.
navigasi dengan bintang
Memberi perhatian kepada kawasan sekeliling kita semasa memandu akan memastikan maklumat lokasi ini dikemaskini dan disimpan dengan baik di dalam otak kita untuk kegunaan di masa lain. Selalu kita jumpa situasi di mana yang akan ingat jalan adalah pemandu itu sendiri manakala penumpang di sebelahnya tidak dapat mengingatinya kerana mereka sibuk dengan bersembang atau bermain dengan telefon pada masa itu.

Penggunaan Aplikasi Tunjuk Jalan

Penggunaan aplikasi seperti Google Maps dan Waze, walaupun memudahkan kita di waktu tertentu, ianya membuatkan kemahiran navigasi yang sudah wujud di dalam otak kita menjadi kurang aktif dan 'tumpul'.
Adalah lebih mudah untuk mendengar arahan daripada gadget kita yang dilengkapi sistem Global Positioning System (GPS) untuk membelok di tempat yang betul berbanding memerhatikan kawasan sekeliling dan menggunakan otak kita untuk menentukan adakah kita berada di lokasi yang sepatutnya.
Penggunaan aplikasi-aplikasi ini secara keterlaluan pastinya akan membuatkan kita hilang kebolehan semula jadi kita sedikit demi sedikit. Mungkin suatu hari nanti, untuk pulang ke rumah sendiri pun kita perlu mengharapkan Google Maps dan Waze.
Kuncinya, untuk mengelakkan ini berlaku, janganlah menggunakannya secara keterlaluan. Bukalah mata dan telinga anda agar kebolehan navigasi yang menakjubkan ini kekal bersama anda.
Sumber : http://iluminasi.com


from Jom Dakwah http://ift.tt/2u1gMWN
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment