“Aduhai, macamana ibu nak buat kerja ni kalau Afiq asyik nak berdukung… Nanti Mama solat pun Afiq nak menangis…”
Mak dulu pernah cakap begini pada saya, tapi saya akui bahawa pada saat itu saya hanya mendengarnya sebelah telinga. Kini, barulah saya faham sebabnya!
Bekerja Atau Tidak, Tugas Surirumah Adalah Sangat Memenatkan
Apapun, saya percaya, masih ramai yang kurang menyedari betapa kehidupan selepas menjadi ibu atau surirumah memang amat sibuk.
Kerja rumah yang tak pernah habis, ditambah pula dengan mengurus suami dan anak-anak. Cepat sungguh masa berlalu, bila pula masanya hendak dikhususkan pada ibadah?
Jadi, Bagaimana Caranya ‘Mencuri Masa’ Menggandakan Amal Ibadah Walaupun Sibuk Mengurus Rumah Tangga?
1. Buat Kerja Sambil Senyum!
Eh, tiba-tiba senyum nanti orang ingat ‘buang tabiat’ pula? Sebenarnya, ramai wanita yang cenderung ‘bermasam muka’ apabila rumah bersepah, baju dan pinggan mangkuk kotor bertimbun, tambahan pula melayan karenah anak-anak.
Yakinlah, walaupun kadangkala suami atau anak-anak ‘kurang’ menghargainya, ia tetap satu tugas yang mulia di sisi Allah. Malahan, bukan sedikit yang Allah janjikan ya!
2. Hiburkan Diri Dengan Zikir
Sambil mendodoi anak, menyusu badan, memasak, menjemur baju, semuanya boleh dilakukan sambil berzikir.
Bukan saja ia bermanfaat buat kita yang menyebutnya, anak-anak kecil turut tenang apabila dibiasakan mendengar kalimah zikrullah. Kalau tak hafal zikir-zikir panjang atau selawat, dengarkan saja pada ‘handphone’.
3. Manfaatkan Teknologi
Kalau kita boleh gunakan gajet ini untuk ‘install’ aplikasi media sosial supaya dekat dengan orang tersayang, sekali-sekala cuba intai FB page organisasi Islamik termasuklah ustaz dan ustazah yang banyak memberi informasi tentang Islam.
Selain itu, apa salahnya kita ‘install’ juga aplikasi Islamik seperti ‘Hadis Harian’ atau ‘Quran Digital’ untuk lebih mudah mendekatkan diri dengan Allah.
4. Anak Ganggu Tidur Malam? Bertuahnya!
Sejak kelahiran anak kecil, ramai ibu yang perlu bangun di waktu malam mengepam susu atau untuk menyusukan anak. Situasi ini biasanya akan berlanjutan hinggalah anak berhenti menyusu.
Waktu tengah malam begini adalah waktu terbaik untuk anda berdoa. Kalau penat, mengadulah pada Allah sepuas-puasnya hingga menitiskan air mata. Percaya tak, ia dapat memberi anda sebuah kekuatan dan kelegaan yang tidak mungkin mampu ditandingi oleh sebarang suplemen atau vitamin!
Kalau dapat melakukan Solat Sunat Tahajud, tentulah lebih baik. Sukar sedikit pada mulanya, tapi lama-kelamaan, anda akan terbiasa.
5. Ajarkan Kisah Nabi Dan Sunnah
Malunya nak mengaku, sebenarnya banyak yang perlu diulangkaji apabila anak-anak cukup besar untuk diceritakan kisah Nabi. Walau apa pun, mungkin itulah hikmahnya – supaya kita dapat menambah ibadah dalam menuntut Ilmu.
Bagi anak-anak kecil, biasakan mereka dengan sunnah yang ringkas seperti memulakan perbuatan dengan Bismillah dan makan dengan tangan kanan.
6. Galakkan Suami Buat Perkara Baik
Pernahkah anda berasa cemburu apabila tidak dapat mengikut suami ke masjid, atau menunaikan haji kerana terpaksa menguruskan rumah tangga? Jangan begitu!
Sebenarnya, wanita amat beruntung kerana kita berpeluang diberi ganjaran setaraf dengan perbuatan baik yang dilakukan oleh suami.
Diceritakan bahawa Asma’ binti Yazid pernah mewakili para wanita untuk bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Kami kaum wanita rasa tersisih, tidak sama dengan kaum lelaki. Kami golongan yang serba terbatas dan terkurung. Kerja kami hanya menjaga rumah mereka, memelihara dan mengandung anak mereka serta tempat melepaskan nafsu kaum lelaki.Kami tidak diberi peluang untuk mengerjakan sebagaimana yang diberikan kepada kaum lelaki. Kami tidak diberikan kesempatan untuk mendapatkan pahala seperti solat Jumaat, menziarahi orang sakit, menyaksikan pengkebumian, menunaikan haji dan amalan yang paling utama iaitu berjuang pada jalan Allah…”.
Maka Nabi SAW menjawab:
“Pulang dan beritahu kepada kaum wanita bahawa layanan yang mereka berikan kepada suami mereka, usaha mereka mendapat redhanya dan mengikutinya adalah menyamai semua yang dilakukan oleh suami mereka,”.
Tak Mustahil, Bukan?
Selepas ini, bolehlah wanita cuba memanfaatkan ‘title’ sebagai surirumah. Sesibuk mana pun, letakkanlah Allah yang paling dekat dalam hati kita dalam apa jua perbuatan.
Walaupun tak ‘glamour’ di sisi masyarakat, tetapi Allah paling berhak mengangkat darjat seseorang, lebih-lebih lagi wanita yang sanggup berkorban untuk suami dan anak-anak demi mencari keredhaan-Nya.
Sumber: Tazkirahnet
from Jom Dakwah http://ift.tt/2eYVIYv
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment