Thursday, 29 June 2017

Abu Bakar As-Siddiq; Insan Hebat Yang Sentiasa Membenarkan Nabi

Image result for Abu Bakar As-Siddiq; Insan Hebat Yang Sentiasa Membenarkan Nabi


Nama sebenarnya ialah Utsman, Abu Quhafah bin Amir bin Amr bin Ka’b bin Sa’d bin Taim bin Murrah bin Ka’b bin Luwai bin Ghalib bin Fihr. Beliau dari keturunan Bani Tamim iaitu sebahagian keturunan dari Arab Quraisy. Ibunya bernama Salma.
Sebelum pengislamannya, Abu Bakar digelar dengan nama Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas memeluk Islam, beliau digelar dengan nama ‘Abdullah’.
Gelaran ‘Abu Bakar’ (daripada bahasa Arab yang bermaksud ‘unta muda’) kerana beliau amat gemar membela unta. ‘Bakr’ juga beerti ‘segera’ lantaran beliau memeluk Islam dengan segera dan lebih dahulu daripada orang lain.
Saidina Abu Bakar juga diberikan gelaran ‘as-Siddiq’ oleh Rasulullah SAW yang bermaksud sentiasa ‘membenarkan’ kerana beliau sangat mempercayai dan menyakini segala kata-kata dan perbuatan Baginda terutamanya dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang tidak dipercayai oleh sesiapa pun ketika itu.
Abu Bakar as-Siddiq lahir dua tahun selepas kelahiran Rasulullah SAW, iaitu pada tahun 572 Masihi di Kota Mekah. Beliau memiliki peribadi yang jujur, sopan, baik pekerti, adil, tegas dan sifat terpuji lain.
Sebelum memeluk Islam, Abu Bakar pernah menikahi Qutailah binti Abd al-Uzza. Dari pernikahan tersebut lahirlah Abdullah dan Asma. Beliau juga menikahi Ummu Ruman binti Amir bin Uwaimir bin Zuhal bin Dahman dari Kinanah. Dari pernikahan tersebut lahirlah Abdurrahman dan Aisyah.
Kemudian, berkahwin dengan Asma binti Umais, dan lahirlah Muhammad bin Abu Bakar. Seterusnya menikahi Habibah binti Kharijah dan lahirlah Ummu Kaltsum.
Saidina Abu Bakar juga seorang saudagar dan pedagang kaya yang dihormati oleh masyarakat setempat. Beliau terlibat dalam perniagaan kain, di samping memiliki kebun kurma yang luas, memelihara unta yang banyak dan pelbagai perniagaan lain.
Selain itu, beliau juga seorang yang terpelajar dan bijak dalam kalangan masyarakat Quraisy. Sewaktu zaman jahiliah, Abu Bakar adalah antara 17 penduduk yang pandai membaca dalam kalangan masyarakat ketika itu. Beliau juga pernah menjadi hakim dan dengan kedudukan tinggi, selain dipercayai bijak menafsir mimpi.
Walaupun kaya dan berjaya, beliau sangat merendah diri, pemurah dan suka membantu. Saidina Abu Bakar banyak menggunakan hartanya untuk membebaskan para hamba yang didera oleh tuan mereka kerana memeluk Islam. Antara yang pernah dibebaskan olehnya ialah Bilal bin Rabah.
Saidina Abu Bakar as-Siddiq juga merupakan sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah SAW dan menjadi lelaki pertama memeluk Islam atas ajakan Rasulullah sendiri. Beliau menyatakan pengislamannya sewaktu berusia 38 tahun, dan ketika itu Rasulullah SAW berusia 40 tahun.
Semasa Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Hijrah, Saidina Abu Bakarlah satu-satunya sahabat yang menemani perjalanan Baginda. Betapa sayangnya Saidina Abu Bakar kepada Rasulullah sehingga ditatang Baginda seperti anaknya sendiri.
Bahkan beliau berikrar dan bertekad untuk melindungi Nabi Muhammad SAW daripada apa-apa saja ancaman musuh, sehinggalah mereka berjaya melepaskan diri daripada dikejar oleh kaum kafir atas bantuan Allah SWT.
Selain itu, Abu Bakar as-Siddiq juga merupakan sahabat pertama yang mendapat gelaran ‘Amirul Hajj’, iaitu pada tahun ke-9 Hijrah. Tugasnya adalah memimpin jemaah haji pergi dan pulang untuk menunakan haji di Mekah.
Bukan sahaja sahabat yang sejati, Saidina Abu Bakar juga merupakan bapa mertua kepada Nabi Muhammad SAW, iaitu melalui perkahwinan Rasululah SAW dengan Saidatina Aisyah, selepas peristiwa penghijrahan ke Madinah.
Selain itu, Abu Bakar al-Siddiq juga menjadi khalifah pertama umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW iatu bermula dari tahun 632 Masihi sehingga 634 Masihi. Ketika sedang sakit tenat, Baginda mengarahkan agar Saidina Abu Bakar mengimamkan solat untuk umat Islam.
Selepas kewafatan Baginda, sebuah majlis syura diadakan untuk melantik seorang khalifah dan pemimpin umat Islam. Dalam perbincangan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.
Pada awalnya, perlantikan itu mendapat tentangan daripada golongan yang inginkan Saidina Ali menjadi khalifah. Pertelingkahan itu selesai selepas Saidina Ali Abi Talib sendiri yang membaiahkan Saidina Abu Bakar, selain Saidina Umar al-Khatab dan para sahabat lain turut membaiah beliau.
Semasa pemerintahan Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah pertama, banyak sumbangan dan jasa beliau dalam menegak dan mempertahankan agama Islam. Ditambah dengan cabaran dan ujian umat Islam yang ketika itu baru sahaja kehilangan Rasulullah SAW.
Saidina Abu Bakar meninggal dunia pada 23 Jamadilakhir pada tahun ke-13 Hijrah (634M) di Madinah ketika masih memegang jawatan khalifah. Ada dua pendapat mengenai kematiannya, ada yang mengatakan beliau diracun oleh pihak musuh yang dengki. Ada juga pandangan yang mengatakan Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia secara biasa selepas 15 hari mengalami sakit.
Sebelum meninggal dunia, beliau sempat menyebutkan nama Umar al-Khattab sebagai penggantinya. Jasad beliau dimakamkan bersebelahan dengan makam Nabi Muhammad SAW di Masjid an-Nabawi di Madinah.
Sumber : tazkirah.net


from Jom Dakwah http://ift.tt/2u16Jhw
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment