Thursday, 22 June 2017
Hukum Memelihara Anjing
Apabila disebut sahaja anjing, maka bermacam-macam persepsi akan timbul. Ada yang jijik melihat anjing, ada pula yang begitu mesra dengan anjing, dan ada pula orang yang apabila marah akan menggunakan perkataan ‘anjing’ sebagai salah satu kata-kata nista dan keji yang dihamburkan. Bagi masyarakat Melayu Islam pula, anjing merupakan binatang yang paling tidak digemari dan mereka akan sedaya upaya menjauhkan diri daripada binatang tersebut. Lantaran itu boleh dikatakan masyarakat Melayu ‘tidak berani’ mendekati anjing, apa lagi menyentuhnya.
Sebenarnya, anjing sebagai binatang yang dianggap najis, termaktub di dalam hadis yang sahih. Justeru, menurut jumhur fuqahak, anjing membawa najis mughallazah. Ia berdasarkan perintah Rasulullah agar membasuh bekas yang dijilat anjing sebanyak tujuh kali dimulakan dengan air yang dicampur tanah. Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.” (Hadis Riwayat. Muslim, Abu Daud dan Ahmad). Mungkin timbul persoalan mengapa Rasulullah menyuruh umatnya menggunakan tanah untuk menyuci bekas yang dijilat anjing? Hikmah yang sebenarnya, hanya Allah sahaja Maha Mengetahui. Namun, ada pendapat yang mengatakan bahawa dalam air liur anjing ada bakteria yang hanya dapat dimatikan oleh tanah yang dicampur air.
Walaupun Rasulullah mengarahkan agar membasuh bekas jilatan anjing sebanyak tujuh kali, namun ini tidak bermakna Islam menganggap anjing sebagai makhluk hina yang wajib dibenci dan dijauhi. Ini kerana Islam mengajar kita supaya mempunyai sifat rahmat di antara sesama makhluk, termasuk kepada binatang. Walau apa pun persepsi manusia terhadap anjing, ia merupakan salah satu daripada makhluk yang diciptakan Allah di atas muka bumi ini. Sekiranya seseorang itu melakukan kebaikan pada mana-mana makhluk Allah, maka sudah tentu akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.
Dalam sebuah hadis diceritakan bagaimana seorang lelaki diampunkan dosanya kerana menolong seekor anjing yang kehausan. Abu Hurairah berkata, Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Ketika seorang lelaki berjalan di suatu jalan, dia terlalu dahaga. Tiba-tiba dia menemui sebuah perigi. Oleh kerana tiada timba untuknya menceduk air dari perigi itu, dia pun turun ke dalamnya dan meminum air sehingga puas. Kemudian dia naik ke atas dan ternampak seekor anjing terjelir-jelir lidahnya menjilat pasir kerana tersangat dahaga. Lelaki itu berkata kepada dirinya sendirinya: Anjing ini haus seperti apa yang aku rasakan sebelum ini. Lalu dia turun semula ke dalam perigi dan mengisi air ke dalam kasutnya. Dia memegang kasut yang dipenuhi air itu dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Lantas Allah mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.”Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah dengan menolong haiwan kita mendapat pahala juga?” Baginda menjawab: “Ya! Menolong setiap makhluk bernyawa akan diberi pahala.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Walaubagaimanapun, Islam telah menetapkan beberapa peraturan berkaitan dengan anjing ini, apatah lagi apabila ia termasuk dalam najis mughallazah. Contohnya ialah masalah memelihara anjing, adakah ia dibenarkan oleh syara' atau tidak? Oleh itu, hendaklah dilihat maksud pemeliharaan itu sama ada untuk menjaga kemaslahatan manusia atau tidak. Jika ya, maka hukumnya boleh, dan apabila tidak, maka hukumnya haram.
Menurut Prof Dr Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya Halal wa Haram fi al-Islam, termasuk yang dilarang oleh Nabi ialah memelihara anjing di dalam rumah tanpa ada sesuatu keperluan. Nabi bersabda: "Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan, maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qiroth bagi setiap hari" (Muttafaq 'Alaih) Pemeliharaan anjing tanpa sebarang keperluan dilarang kerana malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing. Sabda nabi: "Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar" (Muttafaq 'alaih).
Daripada Ibn Umar r.a.meriwayatkan bahawa malaikat Jibril as berjanji akan datang menemui Rasulullah s.a.w. Setelah sekian lama menanti, Jibril as tidak juga muncul. Lalu Rasulullah saw pun keluar, dan baginda menemui Jibril di luar. Rasulullah mengadu akan kelewatan tibanya. Jibril menjelaskan dengan berkata: "Sesungguhnya kami tidak memasuki rumah yang ada anjing dan gambar" (Hadis riwayat al-Bukhari). Abu Hurairah r.a mengatakan bahwa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “Malaikat tidak akan menemani kelompok manusia yang di tengah-tengah mereka terdapat anjing". (Hadis Riwayat Muslim).
Menurut Abdul Qadir Ahmad 'Ata menerusi bukunya Haza Halal wa Haza Haram, antara sebab malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing ialah anjing merupakan binatang yang banyak makan benda-benda kotor serta mempunyai bau yang kurang menyenangkan yang tidak disukai oleh para malaikat. Sebahagian ulama lain pula ada yang berpendapat, bahawa hikmah dilarangnya memelihara anjing di rumah ialah apabila anjing itu menyalak, ia akan menakutkan tetamu yang berkunjung ke rumah.
Imam al-Qurtubi berkata : "Telah terjadi ikhtilaf di antara para ulama tentang sebab-sebab Malaikat Rahmat tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing. Sebahagian ulama mengatakan bahawa anjing itu najis, dan ada pula yang mengatakan bahawa ada anjing yang diserupai oleh syaitan. Malaikat yang tidak memasuki rumah yang mempunyai anjing itu ialah malaikat tertentu sahaja seperti Malaikat Jibril dan Malaikat Rahmat. Manakala malaikat-malaikat lain tetap akan masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing. Ini kerana terdapat nas-nas yang menunjukkan malaikat ada di mana-mana bersama anak Adam, khususnya Raqib dan 'Atid yang mencatat segala amalan manusia. Apatah lagi malaikat maut, akan masuk mana-mana rumah untuk mencabut nyawa penghuninya yang sudah sampai waktu ajalnya.
Manakala Ibnu Hajar dalam al-Fath al-Bari pula berkata : "Ungkapan malaikat tidak akan memasuki rumah ...." menunjukkan malaikat secara umum (malaikat rahmat, malaikat hafazah, dan malaikat lainnya)". Akan tetapi pendapat yang dikemukakan oleh Ibnu Wadhdhah, Imam Al-Khatabi, dan yang lainnya mengatakan : "Kecuali malaikat hafazah, mereka tetap memasuki rumah setiap orang kerana tugas mereka adalah mendampingi manusia sehingga tidak pernah berpisah sedetik pun dengan manusia. Sedangkan yang dimaksud dengan malaikat (yang tidak memasuki rumah yang mempunyai anjing) ialah malaikat rahmat (yang suka memohon keampunan untuk manusia) bukan malaikat hafazhah yang menjaga manusia. (Lihat Sharah Shahih Muslim 14/94).
Ringkasnya, Islam melarang memelihara anjing tanpa sebarang keperluan kerana Islam merupakan agama yang mencintai kebersihan. Tambahan itu, larangan tersebut adalah kerana malaikat Rahmat tidak akan masuk kedalam rumah orang yang memelihara anjing di dalamnya. Akan tetapi, anjing yang dipelihara kerana ada kepentingan dan maslahat bagi manusia, seperti untuk berburu, menjaga tanaman, menjaga binatang dan sebagainya adalah dikecualikan daripada larangan ini. Ini kerana terdapat hadis Rasulullah yang mengharuskannya. Sebagai contohnya ialah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang memelihara anjing, selain anjing pemburu atau penjaga tanaman dan binatang, maka pahalanya akan berkurang setiap hari satu qirat." (Riwayat Jamaah)
Berdasarkan hadis tersebut, sebahagian ulama' fekah berpendapat bahawa larangan memelihara anjing itu hanya makruh, bukan haram, sebab kalau sesuatu yang haram, sama sekali tidak boleh dilakukan sama ada pahalanya itu berkurang atau tidak. Justeru, al-Khattabi dan Qadhi ‘Iyad berkata, malaikat hanya tidak memasuki rumah orang yang membela anjing tanpa keperluan, tapi bagi mereka yang memelihara anjing untuk tujuan buruan, malaikat rahmat tetap masuk ke dalam rumah itu. Namun, Imam Nawawi menyanggah pendapat ini dengan menyatakan hadis tersebut bersifat umum, jadi malaikat Rahmat tidak akan masuk ke dalam rumah yang memelihara mana-mana anjing sekalipun.
Di samping itu, terdapat hadis-hadis lain yang menerangkan tentang keharusan memelihara anjing dengan tujuan untuk pengawalan atau untuk berburu sekiranya dijaga batas-batas pergaulan dengan binatang tersebut. Antaranya ialah: "Daripada Abu Tha'labah al-Khasyni berkata; Aku pernah bertanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di kawasan berburu, aku berburu dengan anak panahku dan dengan menggunakan anjingku yang terlatih (yang diajar) serta anjingku yang belum terlatih, manakah yang dibolehkan untukku ?" Rasulullah saw menjawab: "apa yang telah engkau buru dengan anak panahmu dan engkau sebut nama Allah sebelumnya, makanlah. Dan yang telah engkau buru dengan anjingmu yang tidak terlatih, lalu kamu sempat menyembelihnya, maka makanlah". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sehubungan dengan itu, dapat dinyatakan bahawa memelihara anjing hanya dibenarkan apabila wujud keperluan untuk menjaga maslahah manusia. Namun begitu, sekiranya tidak didasarkan kepada apa-apa keperluan, maka pemeliharaan anjing adalah haram dan dilarang. Ini berikutan 'najis mughallazah' yang terdapat pada anjing tersebut dan kesan pemeliharaan tersebut menyebabkan malaikat Rahmat tidak memasuki rumah penghuninya.
Sumber: http://ift.tt/2sEroHU
from Jom Dakwah http://ift.tt/2rFp6qx
via Kuliah Islam
Labels:
Jom Dakwah,
Kuliah Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment