Friday, 23 June 2017

Syawal bersama Rasulullah s.a.w

Image result for 7 Panduan Menyambut Aidilfitri Menurut Islam


“Aidil Fitri” berasal daripada perkataan Arab bermaksud Hari Raya Fitrah (suci) kerana pengampunan dosa-dosa di bulan Ramadhan. Aidil Fitri disambut setiap tahun kerana selesai puasa Ramadhan. Apa kiranya Bulan Ramadhan yang menjanjikan keberkatan, keampunan dari Allah tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam?
Berbaloikah sesiapa yang tidak diampunkan dosa-dosanya menyambut Hari Raya Suci ini yang sesuci bagaikan bayi yang baru dilahirkan? Namun kita pasti tetap merayakannya bahkan Umat Islam diwajibkan solat sunat hari raya untuk mengagungkan Allah s.w.t Rabbul Jalil. “Allahu Akbar”…
Hari Raya Aidil Fitri yang juga terkenal dengan “Hari Raya Puasa” disyariatkan oleh Allah s.w.t. untuk Umat Islam merayakannya. Ianya disambut menandakan kesyukuran Umat Islam di atas kejayaan mereka melaksanakan fardhu puasa sepanjang bulan Ramadhan dan menandakan kemenangan mereka dalam perjuangan menahan hawa nafsu dari perkara-perkara yang ditegah di dalam bulan puasa.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika mereka berbuka dan kedua, kegembiraan mereka ketika bertemu dengan Tuhannya yang Maha Pemurah”.
Umat Islam merayakan Hari Raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah s.w.t. di antaranya sembahyang Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka, bersedekah dan lain-lain lagi.
Kemuliaan Hari Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah s.a.w di dalam beberapa hadisnya. Oleh kerana itu kita Umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan Malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban. Sehubungan dengan ini Allah berfirman di dalam Al Quran.
Ertinya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur .
Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barangsiapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.
Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyarakkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajalla hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadhan. Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka akan hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.
Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud:
“Barangsiapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir”.
Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t.
Maksudnya: “Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.”
Daripada hadis pula sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.
Maksudnya : Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid .
Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a.
Maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis .
Moga kita dipelihara Allah s.w.t….Allahu Akbar
” Selamat Menyambut Hari Raya AidilFitri Maaf Zahir & Batin…”

Sumber : http://ift.tt/2sAzFhD



from Jom Dakwah http://ift.tt/2tEcrpq
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment