Wednesday, 28 June 2017

Kau muslim yang baik atau Islam kerana kau tak makan babi?


Mengaku Islam tetapi suka kutuk agama lain. Mengaku Islam tetapi benci yahudi walaupun tiada seorang pun berbangsa yahudi pernah mengganggu hidup kau. Itu adalah perkara yang biasa kita lihat setiap hari dalam kehidupan kita. Ini semua terjadi kerana fitrah manusia, pegangan ataupun kepercayaan yang dipegang sejak kecil tidak boleh lagi diubahsuai atau dimanipulasi oleh pihak lain kerana dikhuatiri akan tersesat dari landasan yang disangka benar. Syurga adalah matlamat walaupun hati tidak mengiakan dengan benar-benar yaqin kewujudan taman-taman yang indah itu.

Berapa ramai dikalangan kita yang mengaku Islam tapi minum arak? berjudi? melakukan zina? Scroll saja di segmen 'lookaround' aplikasi wechat. Boleh dilihat ramai anak muda yang tidak tahu malu mendedahkan aib sendiri secara publik. Kenapa ini semua berlaku? Bagi saya kerana penghayatan dan pemahaman tentang Islam itu tiada dalam jiwa-jiwa mereka.

Jangan kerana kad pengenalan tertulis "Islam" kau mengaku Islam membabi buta

Salah satu sebab tiada penghayatan tentang cara hidup Islam, adalah kerana kelainan maksud dan perbezaan bahasa dalam bahasa kita sendiri. Contohnya kalau orang tanya "kau agama apa?" lantas yang ditanya akan menjawab "aku agama Islam". Tetapi tahukah dia bahawa penyataan itu bermaksud juga sebagai "aku mengamalkan cara hidup Islam, aku mengamalkan kehidupan yang selamat, aku ihsan sesama makhluk, aku berusaha kerasa mengamalkan sifat Rasul Muhammad".

Jadi wajarkah seseorang yang kaki mabuk mengaku begitu? Ianya akan berbunyi seperti ini "aku kaki mabuk tapi aku mengamalkan cara hidup yang selamat". Gila! Kalau begitu kefahaman kau tentang agama yang syumul ini, lebih baik kau tak payah mengaku kau Islam. Ibarat kau mengaku vegetarian tapi kau makan daging. Memalukan pengamal yang lain sahaja.

Masalah cara didikan yang syok sendiri

Bukan mahu nerakakan orang yang suka minum arak. Bangsa lain dan penganut agama lain jangan berkecil hati. Ajaran Islam ni sebenarnya ada kesan dan implikasi dalam setiap kewajipan dan larangannya. Tapi masalahnya didikan tentang kesan dan implikasi ini kurang diceritakan atau disampaikan oleh ustat-ustat mahupun asatizah-asatizah diluar sana. Orang muda bukan semua mahu dengar dalil-dalil dan alasan ke neraka ataupun ke syurga.

Pendakwah perlu lebih progresif dalam berdakwah. Contohnya bercerita tentang kesan buruk sekiranya minum arak. Kalau minum arak, boleh hilang kesedaran diri dan pemikiran akan menjadi diluar kawalan. Kemalangan boleh berlaku sekiranya memandu didalam keadaan ini. Tambahan pula ianya boleh merosakkan buah pinggang dan organ lain seperti hati. Orang muda mahu dengar kesan dan implikasi seperti ini. Bukannya jawab balas siapa pandai dalil itu dalil ini memenangkan mazhab siapa yang power.

Tidak malukah kau mengaku Islam kalau zalimi diri sendiri?

Zalim disini membawa erti menganiaya diri sendiri seperti minum arak (merosakkan tubuh sendiri), melakukan maksiat (perkara yang boleh mendatangkan mudarat kepada masyarakat) dan lain-lain. Sekiranya hari ini ada orang tanya apa agama kau, beranikah kau mengaku, yang kau seorang muslim yang mengamalkan cara hidup Islam? Kalau rasa serba-salah, itu tandanya masih ada perkara tak betul yang kau selalu buat.

Apa yang kita semua perlu tahu adalah, orang mengaku Islam belum tentu mukmin (beriman). Semoga selepas ini, kalau kita mengaku sebagai "orang Islam", memang benar-benar bermaksud kita ini memiliki pegangan yang teguh, berusaha untuk jadi insan yang baik, hebat dalam pelbagai hal, dan paling penting :

"Aku orang Islam, Islamnya aku bukan sebab tak makan babi semata-mata."

Sumber: http://iluminasi.com

from Jom Dakwah http://ift.tt/2tkt4Zw
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment