Jika dilihat dari lenggok gaya bahasanya, sememangnya hukum karma ini adalah seolah-olah sama dan seumpama dengan ajaran Islam. Namun jika kita teliti dan selami dengan lebih dalam, ia merupakan sesuatu yang sangat berbeza.
Karma
Karma merupakan konsep utama dalam agama Hindu, Buddha, Jainisma, Sikh dan Taoi. Ia membawa maksud sesuatu perbuatan atau niat sesuatu individu akan dibalas kembali menurut hukum alam atas apa yang telah dilakukannya. Perbuatan yang baik akan memberikan kepada balasan dan karma yang baik manakala perbuatan yang buruk pulak akan mengundang keburukan dan karma yang tidak baik. Ia juga dikaitkan dengan idea kelahiran semula oleh agama-agama ini.
Tidak seperti agama Islam, agama-agama ini percaya akan kelahiran semula selepas mati. Jadi bagi mengelakkan penganut agama Hindu daripada dilahirkan semula dalam keadaan yang buruk atau seperti binatang, mereka perlu melakukan perbuatan yang baik untuk mendapatkan karma yang baik. Dan jika mereka gagal untuk mendapatkan Karma yang baik maka mereka akan dilahirkan semula selepas dimasukkan ke neraka untuk sementara waktu.
Menurut salah sebuah kitab dalam agama Hindu iaitu Chandogya Upanishad, doktrin karma memberitahu yang mana sesiapa yang bersifat terpuji akan dimasukkan ke dalam rahim baik kaum Brahmin, Kshatriya atau Vaisya manakala mereka yang bersifat buruk akan dimasukkan ke dalam rahim busuk seekor anjing atau khinzir.
Kifarah
Tiada istilah kelahiran semula dalam ajaran agama Islam. Allah hanya menciptakan kehidupan seseorang itu hanya untuk sekali sahaja dan akan juga dimatikan sekali sahaja. Umat Islam hanya akan dibangkitkan sekali sahaja selepas mati iaitu ketika menjelangnya hari kiamat dimana segala amal dan dosa akan dihitungkan dan diberikan ganjaran syurga atau neraka mengikut amalan masing-masing. Jadi dengan ini maka tertolaklah dengan nyata akan hukum Karma ini.
Maksud kifarah adalah balasan di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh hambanya daripada Allah S.W.T dan juga mungkin dalam pelbagai bentuk ujian. Contohnya seperti kematian orang yang dikasihi, dijangkiti penyakit pelik, kehilangan dan kerosakan harta benda, tidak tenang dalam hidup dan sebagainya. Kifarah atau balasan ini tidak tertakluk kepada jumlah masa yang ditentukan, yakni selagi ia belum menepati ketentuan Allah, maka ujian tersebut tidak akan terhenti walaupun pelbagai usaha dilakukan.
Namun perlu difahami bahawa dengan ujian inilah Allah S.W.T menunjukkan bahawa Dia kasih akan hambanya. Dengan ujian yang diberikan, Allah juga akan memberikan kesabaran dalam menempuhinya. Selain itu, martabat seseorang itu akan dinaikkan bukanlah dengan amalan-amalan yang dilakukannya tetapi dengan kesabarannya terhadap segala ujian yang diberikan Allah.
Juga, kifarah terhadap manusia oleh Allah S.W.T bukanlah semata-mata untuk membalas perbuatan jahat mereka, namun ia juga adalah untuk menghapuskan dosa yang lalu supaya ia tidak terbeban oleh kita di hari akhirat nanti dengan dosa yang bertimbun. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Di dalam setiap balasan pasti ada hikmahnya.
Saidatina Aishah R.A meriwayatkan Rasulullah S.A.W pernah bersabda :
"Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri, ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa" (Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Perbezaan ketara
Terdapat perbezaan yang ketara antara hukum karma dan kifarah ini. Ya benar kedua-dua adalah suatu pembalasan namun kaedah dan hikmahnya sangat terpesong jauh. Contoh lain lagi, bagi penganut Hindu, mereka akan dilahirkan sebagai binatang dalam kelahiran semula jika karmanya buruk di kehidupan lalu, namun bagi umat Islam, dosa menderhaka kepada ibu bapa akan dibalas secara terus di dunia ini tanpa menunggu pendosa itu untuk mati terlebih dahulu, kerana penghidupan semula bagi umat Islam hanyalah ketika dibangkitkan pada hari kiamat.
Bagi umat Islam, mempercayai sesuatu yang seperti hukum karma ini yang mana mengikut fahaman agama Hindu (dilahirkan semula) boleh memesongkan akidah dan terkeluar dari Islam. Maka, marilah kita berbalik kepada hukum dan ajaran Islam yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W agar kita dijauhkan daripada syirik kecil serta diberkati dalam hidup.
Sesungguhnya Allah Maha Adil lagi Maha Bijaksana.
Sumber : http://iluminasi.com
from Jom Dakwah http://ift.tt/2rtpyrV
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment