Selalunya di awal-awal bulan Ramadhan kita seringkali mendengar orang yang bercita-cita tinggi untuk menurutkan berat badan sempena berpuasa.
Malangnya, selepas bulan Ramadhan, ramai yang berat badannya bertambah-tambah, lagi berat daripada sebelum puasa. Pernah tidak terjadi pada anda atau orang sekeliling anda?
Mari ketahui beberapa sebab kenapa berat badan kita bertambah pada bulan Ramadhan.
1. Makan Terlalu Banyak Ketika Berbuka
Ini sebab utama yang dikenalpasti. Mentang-mentang penat berpuasa, habis macam-macam jenis kuih muih dan juadah yang dibeli ketika di bazar Ramadhan. Semuanya sebab nafsu.
Masuk sahaja waktu berbuka, kemain gelojoh makan segala makanan yang ada di atas meja. Belum termasuk bermacam-macam jenis air manis yang ada. Kesudahannya, kenyang yang teramat sangat dan mengantuk. Sebenarnya tanpa kita sedar, jumlah kalori dan gula yang diambil ketika berbuka juga boleh melebihi kadar yang biasa kita ambil ketika tidak berpuasa.
Itu belum lagi kalau pergi berbuka dengan juadah buffet. Macam-macam lagi makanan yang tidak berkhasiat masuk dalam perut.
2. Makan Banyak Ketika Moreh
Moreh adalah majlis makan-makan secara kecil-kecilan yang dibuat selepas solat terawikh. Ianya lebih kepada adat semata-mata dan hanya bertujuan mengalas perut dan memberi peluang kepada orang ramai untuk bersedekah.
Malangnya, ada segelintir daripada kita yang mengambil makanan berat ketika moreh. Ada juga surau dan masjid yang berkemampuan menyediakan makanan berat ketika moreh seperti mee goreng, rojak, mee sup dan sebagainya sebagai moreh.
Sekiranya anda melantak ketika moreh, maka jangan hairanlah berat badan bertambah selepas bulan puasa. Elakkan memakan makanan berat pada waktu malam dan sebelum tidur.
3. Sahur Terlalu Awal
Nabi Muhammad menggalakkan kita mencepatkan berbuka apabila sudah masuk waktu dan melambatkan sahur. Walaubagaimanapun, ada segelintir manusia yang sukar bangun sahur jadi mereka mengambil keputusan untuk makan lewat malam dan hanya bangun pada waktu Subuh.
Ini juga merupakan penyebab berat badan naik. Seboleh-bolehnya elakkan makan 2 3 jam sebelum tidur. Sekiranya ada mengambil keputusan untuk sahur awal, bukan sahaja anda tidak memperolehi pahala sahur tetapi juga akan memudahkan berat badan cepat naik.
4. Tidur Selepas Sahur
Tidur sebaik sahaja makan adalah tidak elok untuk tubuh badan. Walau bagaimanapun, tidur selepas sahur adalah perkara biasa yang paling ramai antara kita lakukan pada bulan Ramadhan.
Paling mendukacitakan ada yang tidur sebaik sahaja makan sahur sebelum subuh. Kesudahannya, terlajak Subuh. Janganlah jadi manusia yang mementingkan pahala sunat (sahur) daripada perkara wajib iaitu solat.
Ok, cuba cek ada atau tidak mana-mana perkara di atas yang kita lakukan pada bulan puasa ini.
Jangan lupa kongsikan dengan rakan-rakan dan keluarga anda .
Sumber : http://iluminasi.com
from Jom Dakwah http://ift.tt/2rRfdKI
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment