Friday, 29 September 2017

Bagaimana untuk kita sabar menempuh ujian dalam kehidupan

Image result for Bagaimana untuk kita sabar menempuh ujian dalam kehidupan


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Pertamanya kita mesti faham bahawa hidup kita ini akan sentiasa diuji. Sama ada kita suka atau tidak, kita akan diuji juga, sesuai dengan Firman Allah S.w.t yang bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” [Surah Al-Baqarah : Ayat 214]

Mengapa kita diuji? Firman Allah S.w.t, "Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yanglebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,"  [Surah Al-Mulk : Ayat 2]

"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)." [Surah AsSyuura : Ayat 30]

Walaubagaimana pun, Allah amat menyintai orang-orang yang sabar menghadapi ujianNya.  FirmanNya, "Dan berapa banyaknya nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar."  [Surah Aali Imran : Ayat 146]

Dan Allah Maha Adil dan Maha Penyayang, ujian-ujian yang diberiNya adalah mengikut kemampuan masing-masing insyaAllah.  "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo′a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma′aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." [Surah Al-Baqarah : Ayat 286]


Koleksi hadith-hadith

ما يصيب المؤمن من وصب ولا نصب، ولا سقم ولا حزن  حتى الهم يهمه  إلا كفر به من سيئاته 

- "Setiap ujian yang menimpa orang mukmin seperti penyakit, keletihan, demam, kesedihan, sehinggakan kecemasan yang mencemaskannya, nescaya diampuni dengannya sebahagian dari kesalahan-kesalahannya." [Hadits riwayat Muslim]

ما يصيب المؤمن من شوكة فما فوقها إلا رفعه الله بها درجة أو حط عنه بها خطيئة ‏

- "Setiap ujian yang menimpa orang mukmin, seperti ditusuk duri, atau lebih dari itu, nescaya akan ditinggikan oleh Allah kerananya satu darjat atau dikurangkan oleh Allah kerananya satu kesalahan."  [Hadits riwayat Muslim]

- Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah S.a.w bersabda: "Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan."  [Hadits riwayat Imam Tirmizi]

- Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah S.w.t, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah S.w.t tanpa dia membawa dosa sedikit pun."  [Hadits riwayat Imam at-Turmudzi]

- Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda di dalam Hadis Qudsi: Allah S.w.t berfirman: "Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar)."  [Hadits riwayat Imam Bukhari]

- Rasulullah S.a.w bersabda yang bermaksud: "Dunia itu adalah penjara bagi orang mukmin, dan syurga bagi orang kafir."  [Hadits riwayat Muslim]

- "Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya seluruh perkara adalah baik baginya. Dan tidak lah didapati seorang pun hal tersebut melainkan pada diri seorang mukmin. Jika dia merasakan kesenangan maka dia bersyukur. Dan itu lebih baik baginya. Jika kesusahan menerpanya maka  dia bersabar. Dan itu lebih baik baginya."  [Hadith riwayat Muslim]

- "Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah."   [Hadits riwayat Thabrani]

- "Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya." [Hadits riwayat Bukhari dan Muslim]

- "Apabila Allah kasihkan seseorang, Allah mengenakan dengan suatu ujian sehingga Allah mendengar rengekan permintaan yang bersungguh-sungguh." [Dari Musnad Firdaus oleh Dailami]

- "Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergusti tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu ketika marah." [Hadits riwayat Bukhari]

"Sabar yang sebenarnya ialah sabar pada saat bermula (pertama kali) tertimpa musibah."  [Hadits riwayat Bukhari]

- Dalam hadith qudsi Allah berfirman : "Siapa yang tak rela menerima ketentuanKu, silakan keluar dari bumiKu!"


Kata-kata Sahabat

Ali r.a. berkata: "Orang yang tidak memutuskan harapan orang dari rahmat Allah S.w.t. dan tidak mengamankan orang dari balasan (hukuman) Allah S.w.t. dan yang tidak mempropagandakan maksiat kepada orang-orang dan tidak berani menyatakan orang maksiat itu dalam neraka, sehingga Tuhan sendiri yang memutuskan. 

Dan orang yang terbaik amalnya janganlah merasa aman dari pembalasan Allah s.w.t. sebab Allah s.w.t. telah berfirman (Yang berbunyi): "Fala ya'manu makrallahi illal qaumul khaasiruun." (Yang bermaksud): "Tidak akan merasa aman dari hukuman Allah kecuali orang yang rugi." 

Juga orang yang sejahat-jahat manusia jangan putus harapan dari rahmat Allah S.w.t. sebab Allah S.w.t. berfirman (Yang berbunyi): "Innahu laa yai'asu min rauhillahi illal qaumul kaafiruun." (Yang bermaksud): "Sesungguhnya tidak patah harapan dari rahmat Allah kecuali kaum yang kafir." 

Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: "Tiap orang (beriman) yang dipenjara oleh raja dengan penganiayaan sehingga mati dalam penjara, maka dia mati syahid dan bila dia dipukul sehingga mati maka dia mati syahid." 


Jenis-jenis kesabaran

Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah dalam kitab Madarijus Salikin mengatakan, "Sabar adalah menahan jiwa dari berkeluh kesah dan marah, menahan lisan dari mengeluh, serta menahan anggota badan dari berbuat tashwisy (yang tidak lurus). Sabar ada 3 jenissabar dalam berbuat ketaatan kepada Allah S.w.t,  sabar dari melakukan maksiat, dan sabar terhadap ujian Allah."


Kategori ujian berbeza pada manusia

Sabda Nabi Muhammad S.a.w, ertinya : "Sesungguhnya seorang mukmin tercipta dalam keadaan Mufattan (penuh cubaan), Tawwab (senang bertaubat), dan Nassaa’ (suka lupa), (tetapi) apabila diingatkan dia segera ingat."  [Silsilah Hadits Shahih No. 2276]

Manusia tidak akan terlepas dari ujian / cubaan / fitnah di muka bumi ini. Ada yang diuji dengan ujian yang ringan dan ada yang diuji dengan ujian yang berat. Ada yang sabar menempuh ujian dan ada yang gagal mengawal emosinya lantas kecundang di dalam ujian tersebut. Lain manusia lain bentuk dan kategori ujiannya. Ada yang berat di mata seseorang itu tetapi ringan pula di mata orang lain, dan begitulah sebaliknya terpulang pada penerimaan dan tahap pemikiran masing-masing. Ini kerana manusia mempunyai pemikiran yang kompleks dan tidak sama 100% antara satu sama lain. Sedikit sebanyak akan berbeza juga di mana-mana.

Firman Allah S.w.t yang bermaksud; "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya, dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya."  [Surah Al-Baqarah : Ayat 286]

Sesungguhnya Allah S.w.t sekalipun melakukan perhitungan hisab dan menyoal, tetapi Dia tidak menyeksa kecuali terhadap perkara-perkara yang manusia berkenaan mempunyai kemampuan untuk menolaknya. Adapun terhadap perkara-perkara seseorang yang tidak berkemampuan untuk menolaknya, seperti bisikan hati, maka manusia tidak dibebaninya. Dan benci kepada bisikan yang jahat termasuk iman.  [Tafsir Ibnu Katsir]

Ujian yang kita terima bergantung kepada tahap pemikiran dan keupayaan kita. Allah tidak membebankan kita dengan perkara-perkara di luar kemampuan kita jika kita sertai dengan keimanan yang jitu kepadaNya. Iman yang lemah boleh menyebabkan ujian yang ringan pun terasa berat. Keyakinan yang jitu kepada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang akan menyerlahkan kesabaran yang tinggi terhadap segala ujianNya insyaAllah. Ingatlah bahawa seorang mukmin itu tidak terlepas dari ujian dan cubaan, semakin tinggi iman kita maka semakin kuat kita akan diuji. Dan manusia yang paling tinggi dan kuat ujiannya adalah para nabi dan Nabi Muhammad S.a.w adalah yang paling kuat diuji. Oleh kerana itulah kita sebagai umat Islam dianjurkan untuk sentiasa berdoa agar kita menerima ujian setakat yang termampu oleh kita.

Nabi S.a.w sejak dari kecil dijaga dari melakukan dosa, dipelihara oleh Allah dari mendapat hiburan yang merosakkan, mempunyai sifat amanah yang tiada tolok bandingnya, dan segala sifat yang baik ada pada nabi. Walaupun baginda S.a.w tiada dosa, namun baginda masih tetap diuji dengan tahap ujian tertinggi. Sejak dari kecil Nabi S.a.w diuji dengan kematian orang-orang yang baginda sayang, bermula dengan ibunya, datuknya, bapa saudaranya, hinggalah ke zaman baginda sudah dewasa dengan kematian anak-anaknya yang masih kecil belaka dan diikuti dengan kematian isteri tercintanya Khadijah dan sebagainya. Ujian-ujian yang baginda terima semasa menyebarkan risalah Islam pun dasyat, dengan tentangan, hinaan, serangan-serangan dari orang-orang yang kufur dan sebagainya.  Inilah pengajaran yang dapat kita ambil untuk semakin sabar dalam menghadapi ujian. Nabi S.a.w yang tidak melakukan dosa walau sedikit pun diuji dengan ujian berat, apatah lagi kita yang selalu melakukan dosa sama ada kita sedar atau tidak, yang kalau dikumpulkan ntah banyak mana dah dosa kita ini. Jika kita muhasabah diri, amat patutlah kita dibalas dengan diberi ujian-ujian yang berat kerana kita pun sudah mendapat terlalu banyak nikmat dari Allah S.w.t, apatah lagi kita juga telah melakukan banyak dosa dan kesalahan. Jika kita yakin begitu, insyaAllah kita akan dapat sabar menempuh ujian dari Allah.

"Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan" , pepatah ini boleh kita guna pakai untuk mengetahui betapa Allah sayang kepada hamba-hambaNya yang beriman padaNya. Untuk meningkatkan lagi keimanan pada-Nya, seorang mukmin itu akan diberi kesusahan sama ada kesusahan dari segi mental mahupun fizikal. Dengan kesusahan itu lah manusia akan dapat merasa bahawa diri ini terlalu lemah dan perlu bergantung hanya pada Allah zat yang Maha Berkuasa. Jika manusia sentiasa dibuai dengan kemewahan dan tidak merasa kesusahan, nescaya manusia tidak akan ada sifat kasihan belas, memahami keadaaan orang-orang yang susah, sayang-menyayang antara satu sama lain, berusaha untuk menyelesaikan masalah orang, merasa tidak perlu bergantung pada Allah dan sebagainya. Hanya orang yang pernah melalui kesusahan yang faham erti kesusahan. Hanya orang yang lemah merasai erti kelemahan.

Nabi S.a.w ada menganjurkan agar umatnya bergaul dengan orang-orang miskin dan orang-orang susah. Dia sendiri pun biasa bergaul dengan orang-orang miskin dan susah walaupun dia seorang nabi yang dipandang mulia dan seorang pemerintah yang agung. Bergaul dengan orang-orang miskin dan susah akan membuatkan kita merasa betapa kita sudah mendapat banyak nikmat, memahami hati orang-orang miskin, tidak terlalu mengejar dunia, tidak hasad dengki dengan orang lain kerana sentiasa merasa diri ini cukup dan sebagainya. Hanya dengan kita melihat ke bawah barulah kita dapat merasa ketenangan yang sebenar. Kerana jika kita hanya bergaul dengan orang-orang kaya, mewah dan berpangkat, boleh menjadikan kita merasa iri hati, hasad dengki, ingin mengejar cita-cita menjadi kaya, hingga menyebabkan tiada ketenangan dalam diri. Ini bukanlah bermakna kita tidak boleh berkawan langsung dengan orang-orang kaya, tetapi jangan semata-mata berkawan dengan orang kaya. Perbanyakkanlah pergaulan dengan orang-orang miskin dan susah, insyaAllah kita akan merasa serba cukup (qana’ah).

Manusia mendapat kesusahan dan kemiskinan di dunia bukanlah bermakna Allah tidak sayang pada manusia itu. Semuanya adalah ujian Allah untuk menguji keimanan manusia. Maksud hadits, "Sesungguhnya makhluk yang sangat dikasihi oleh Allah ialah orang yang faqir miskin, sebab manusia yang amat dikasihi Allah ialah para nabi, maka Allah menguji mereka dengan kefaqiran dan kemiskinan."  [Riwayat Abdullah bin Umar]

Nabi Sulaiman a.s yang walaupun dianugerahkan kepadanya sebuah kerajaan yang amat besar dan harta melimpah ruah, tetapi dia hanya berlagak sebagai seorang miskin. Rakyat-rakyatnya diberi makan makanan yang enak-enak tetapi dia hanya makan roti kering sentiasa, masyaAllah. Itu lah contoh yang amat bagus yang perlu diikut oleh seorang yang bergelar pemimpin. Bukan seperti manusia pada hari ini yang berebut-rebut untuk menjadi pemimpin, gilakan kuasa sehingga sanggup melakukan apa saja (termasuk penipuan, kezaliman .......) demi untuk merebut atau mengekalkan jawatan.  Sedangkan tanggungjawab seorang pemimpin sangatlah berat untuk dipertanggungkan di akhirat nanti. Para sahabat nabi dahulu takut dan berebut-rebut untuk tidak menjadi pemimpin, tetapi manusia zaman sekarang berebut-rebut untuk menjadi pemimpin (termasuklah menjadi Imam di surau, menjadi ketua syarikat dan sebagainya).

Adalah Nabi Sulaiman bin Daud a.s apabila di pagi hari, dia memerhatikan muka orang-orang kaya dan orang-orang berpangkat. Kemudian dia datang kepada orang-orang miskin, lalu duduk bersama mereka dan mengatakan, "orang miskin bersama orang-orang miskin." [Ihya’ Ulumuddin - Imam Al-Ghazali]

Nabi Isa a.s adalah satu contoh manusia yang paling zuhud pada dunia, begitulah juga Umar al-Khattab r.a yang hanya berpakaian bertampung-tampung (tetapi bersih), walaupun dia menjadi seorang pemerintah negara, Abu Bakr r.a dan sahabat-sahabat lain. Tiada apa untuk dilagakkan di dunia ini kerana manusia hanyalah sebatang tubuh yang sentiasa membawa najis. Kenapa manusia sentiasa membawa najis? Kerana di dalam tubuh manusia ada mengandungi najis yang sentiasa perlu dibuang. Tengoklah di rumah-rumah kita, rumah siapa yang tidak mempunyai tandas? Sehinggakan istana raja yang begitu indah pun mempunyai tandas. 

Sebab itulah Allah S.w.t berfirman yang maksudnya; "....... dan tidaklah kehidupan di dunia itu melainkan kesenangan yang menipu." [Surah Al-Hadiid : ayat 20]  Jika kita sudah yakin bahawa kesenangan hidup di dunia ini hanya satu tipu daya, maka insyaAllah hati kita akan bertambah cekal dan sabar untuk menghadapi apa-apa musibah yang bakal mendatang. Setiap penyakit yang kita terima itu adalah penghapus dosa, setiap ujian yang kita terima adalah penghapus dosa di samping Allah mahu mengangkat darjat kita pada pandangan penduduk langit dan Allah sudah menyediakan kehidupan yang bahagia yang kekal abadi untuk kita di akhirat nanti. Itulah syurga Allah yang hanya disediakan bagi orang-orang yang disayangi oleh Allah. Oleh itu sama-sama lah kita bersabar dalam menempuh apa sahaja ujian dari Allah. "Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar." [Surah Al-Anfaal : ayat 46]

Sudah menjadi tabiat manusia yang lemah imannya, jika sekiranya dia diberikan kesenangan, dia merasakan yang Allah telah memuliakan dia di dunia ini, manakala jika dia diberikan kesusahan dan kesakitan, dia merasakan bahawa Allah telah menghinanya dan wujud rasa tidak bersyukur di hati mereka, na’uzubillah.

Firman Allah yang bermaksud, "Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakanku." Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: "Tuhanku menghinakanku." Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim. dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin, dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur-baurkan (yang halal dan yang bathil), dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan."  [Surah Al Fajr : Ayat 15-20]

Sama-samalah kita menganggap bahawa ujian dan cubaan dari Allah adalah bekal tambahan bagi kita sebagai persediaan untuk menuju ke negeri abadi nanti. Dan dengan ujian dapat mengajar kita sifat ingin sentiasa bertaubat dan kembali pada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Jika kita sentiasa bertaubat maka akan terzahir lah sifat Allah Al-Ghaffur (Yang Maha Pengampun). Jika kita tidak istighfar dan bertaubat maka tiada apa dan sebab untuk diampunkan dosa-dosa kita yang bertimbun banyaknya itu. Sabda nabi yang bermaksud, "Setiap anak Adam itu bersalah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang-orang yang bertaubat." [HR at-Turmudzi no. 2499, Ibnu Majah, Ahmad, ad-Darimi. Dihasankan oleh Syeikh al-Albani]


Syair Imam Syafie berkenaan sabar

Bersabar lah yang indah

Alangkah dekatnya kelapangan

Barangsiapa muraqabah (merasa dekat dengan) Allah dalam seluruh urusan, ia akan berhasil

Barangsiapa yang membenarkan Allah, tidak akan terbawa gangguan

Dan barangsiapa yang mengharapkanNya, Dia akan ada di mana orang itu mengharap

(Manaqib AsSyafie , AlBaihaqi 2/362)


Penutup

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu amatlah berat  kecuali bagi orang yang khusyuk."  [Surah al-Baqarah : ayat 45]

Bacalah juga kisah-kisah kesabaran para Nabi a.s, para Sahabat r.a dan para ulama dulu-kala dalam berdakwah dan menghadapi kehidupan.  Sungguh kita akan merasakan betapa ujian kita sekarang adalah JAUH LEBIH RINGAN dari mereka.

Wallahu a'lam ....... :-)

Sumber : http://ift.tt/2wpeRcm



from Jom Dakwah http://ift.tt/2xQFs5u
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment