Saturday, 2 September 2017

Riba Yang Memudaratkan

Image result for Riba Akibat Sentuhan Syaitan


SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba serta mengampunkan mereka yang bertaubat dan beramal soleh sesudah mereka mendapat petunjuk. Kita panjatkan kesyukuran kita kepada ALLAH atas ihsan-Nya dan taufik serta kurniaan-Nya.
ALLAH menjadikan kecukupan buat hamba-Nya dalam apa yang telah dihalalkan-Nya sehingga si hamba itu tidak perlu kepada yang haram. ALLAH juga menjanjikan buat hamba-Nya yang bertakwa jalan keluar dan diturunkan rezeki kepadanya dari jalan yang tidak disangka-sangkanya.
Kita bersaksi Muhammad ialah hamba ALLAH dan pesuruh-Nya yang telah menganjurkan umatnya supaya mencari rezeki yang halal dan menghindari sumber yang haram.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa darah dagingnya tumbuh dari jalan yang haram maka nerakalah yang paling layak buatnya.” (Riwayat Ahmad)
Jauhilah riba
Kita disuruh supaya bertakwa kepada ALLAH dan menghindari transaksi muamalah yang berbentuk riba dan mencampuradukkan dengan harta, wang ringgit kita. Ternyata perbuatan makan daripada sumber hasil riba termasuk antara sebesar-besar dosa di sisi ALLAH yang mana Dia bersumpah atas pelakunya api neraka dan diizinkan untuk mereka diperangi.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada ALLAH dan tinggalkanlah saki baki riba, jika benar kamu orang yang beriman. Jika kamu berdegil, ketahuilah kamu diperangi oleh ALLAH dan Rasul-Nya. Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah asal pokok harta kamu. Kamu tidak berlaku zalim terhadap sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (Surah Al-Baqarah: 178-179)
Dalam hadis pula, Jabir RA mengatakan: “Rasulullah SAW melaknat orang yang makan daripada hasil riba, wakilnya, kedua saksinya dan penulisnya.” Baginda SAW lalu mengatakan: “Mereka adalah sama.” (Riwayat Muslim)
Akibat makan riba
Tidaklah riba dan zina tersebar dalam sesebuah kaum melainkan ia mengakibatkan tersebarnya kemiskinan, penyakit-penyakit yang tidak boleh diubati dan kezaliman pemerintah. Riba turut memusnahkan harta benda dan mencabut keberkatannya.
Firman ALLAH: “ALLAH susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah dan zakatnya.” (Surah Al-Baqarah: 276)
ALLAH menyatakan ancaman-Nya ke atas orang yang makan riba dan perbuatan mereka itu dikategorikan antara seburuk-buruk perbuatan dan sebesar-besar dosa. Turut dijelaskan hukuman atas mereka di dunia dan akhirat dan bahawasanya mereka diperangi ALLAH dan Rasul-Nya.
Orang yang makan riba, di dunia harta mereka dicabut keberkatannya dan diancam dengan kepupusan serta kerosakan sehingga pemiliknya menjadi antara orang yang paling miskin.
Betapa banyaknya kita mendengar khabar berita mengenai hilangnya harta dan wang ringgit dalam jumlah yang sangat besar akibat kebakaran, keruntuhan dan banjir kilat sehingga menyebabkan orangnya menjadi miskin papa kedana.
Sekalipun harta riba itu barangkali selamat daripada bencana alam dan kekal dalam tangan orangnya, tetapi realitinya keberkatan harta itu sudah luput dan orangnya tidak memperoleh manfaat daripadanya. Akhirnya harta itu membawa bala musibah kepada tuannya.
Sesungguhnya orang yang makan riba akan dihisab dan mereka akan menanggung azab seksanya. Mereka adalah golongan yang dibenci oleh ALLAH dan dibenci manusia kerana sifat mereka yang gemar mengambil dan tidak memberi, suka mengumpul harta dan menghalang orang lain, tidak suka bersedekah dan membantu. Mereka juga ialah golongan yang tamak kedekut, lintah darat, ingin melihat diri hidup senang manakala orang lain merana hidup susah.
Demikian ialah sifat pemakan riba yang ditimpakan hukuman disegerakan di dunia manakala hukuman di akhirat lebih dahsyat dan mengerikan.
ALLAH menjelaskan perihal apa yang akan dihadapi golongan pemakan riba ketika mana mereka dibangkitkan daripada kubur di padang mahsyar.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu.” (Surah Al-Baqarah: 275)
Manusia apabila dibangkitkan daripada kubur, mereka bergegas pergi ke tempat perhimpunan mereka di padang mahsyar. Sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud: “Iaitu pada hari mereka segera keluar dari kubur masing-masing menuju (ke padang mahsyar) dalam keadaan berkejaran.” (Surah Al-Ma’arij: 43)
Kecuali mereka yang makan riba. Mereka bangkit dari kubur dalam keadaan berjalan terhuyung-hayang dan jatuh tersungkur seakan-akan mereka dirasuk. Ini kerana ketika di dunia mereka kenyangkan perut mereka dengan hasil riba.
Maka di akhirat, setiap kali golongan pemakan riba ini bangkit berjalan mereka akan jatuh tersungkur akibat perut mereka yang berat. Mereka sedaya upaya mahu berjalan cepat seperti manusia lain tetapi tidak berdaya. Mereka jatuh tersungkur tertinggal di belakang. Demikian ALLAH timpakan atas mereka sebagai satu hukuman dan celaan buat mereka.
Dalam hadis Israk Mikraj diriwayatkan Imam Bukhari, Nabi Muhammad SAW melihat seorang lelaki yang berenang dalam sungai darah dan setiap kali orang itu menghampiri tebing sungai untuk keluar, dia akan dilemparkan dengan batu oleh seorang yang sedang berdiri di tepi tebing sungai itu. Nabi SAW bertanya perihal lelaki yang berenang itu dan dijelaskan dia adalah pemakan riba.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Riba mempunyai 72 pintu dan yang paling ringan adalah seperti berzina dengan ibu sendiri.” (Riwayat At-Tabarani, sahih)
Sesungguhnya riba adalah haram dalam semua agama samawi; Islam, Yahudi dan Nasrani.
Mengenai orang Yahudi dalam firman ALLAH: “Maka disebabkan kezaliman yang amat besar akibat perbuatan orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka makanan yang baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka, dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan ALLAH. Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang batil (tipu, judi dan sebagainya).” (Surah An-Nisaa’: 160-161)
Tidak ambil peduli
Dukacitanya, walaupun syariat Islam menegah keras perbuatan berurusan dengan riba ternyata masih ramai yang tidak ambil peduli mengumpul harta dengan apa jua cara. Apa yang mereka pentingkan ialah untuk mengumpul sebanyak mungkin harta wang ringgit.
Bagi mereka apa yang haram ialah harta yang mereka tidak mampu capai, manakala yang halal menurut mereka adalah apa sahaja wang ringgit yang mampu mereka peroleh dari apa jua sumber. Ini menunjukkan betapa mereka tidak takut kepada ALLAH dalam hati mereka dan betapa mereka tidak mempedulikan agama.
Ketahuilah, jika masyarakat kebanyakan sudah sampai ke tahap ini sesungguhnya balasan ALLAH sudah hampir tiba. Tidak ada kebaikan sama sekali kehidupan yang berdiri atas sistem seperti ini mahupun sumber harta yang datang dari jalan haram.
Harta yang dikumpulkan daripada sumber haram adalah seperti air minum yang diambil dari takungan najis yang kotor. Bau busuknya mengganggu orang di sekeliling dan mengganggu mereka yang datang mendekatinya.
Sumber : http://www.tv14.my


from Jom Dakwah http://ift.tt/2vBeG1p
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment