Sunday, 3 September 2017

Cinta Islamik Sebelum NIkah

Image result for Cinta Islamik Sebelum NIkah


Budaya mengislamikkan cinta sebelum nikah; lalu menghalalkan chatting, bergayut, couple, dating antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, dimulakan dengan salam, diakhiri dengan salam, ada pula yang berchatting dalam bahasa Arab agar kelihatan betapa islamiknya cinta mereka. Hal ini cukup bahaya kerana ia mengandungi racun-racun yang tersembunyi. Ini bukan cinta Islam sebaliknya adalah cinta yang didorong oleh hawa nafsu dan bisikan-bisikan Syaitan.
Secara tegas kita mengatakan perhubungan antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin sama ada bercouple, dating, berSMS, berWhatsApp, atau cara tradisional dengan telefon, hal ini adalah bercanggah dengan syariat Islam. Maka ia adalah haram kerana ia tidak lain tidak bukan banyak bertaqlid kepada budaya dan amalan orang-orang kafir.
Perbuatan-perbuatan ini dilakukan akibat dari kejahilan serta sikap sambil lewa, ambil mudah terhadap hukum hakam syarak di samping sikap ibubapa yang tidak menunaikan tanggungjawab mereka mendidik serta mentarbiah anak-anak dengan ajaran Islam seperti mana yang sepatutnya.
Walhal Syariat Islam secara jelas mewajibkan ke atas ibubapa secara khasnya supaya mentarbiah anak-anak mereka dengan sebaik-baik tarbiah dan memberikan pemahaman terhadap hukum hakam Islam secara umumnya. Termasuk di dalamnya adalah batas-batas pergaulan antara lelaki perempuan yang bukan mahram. Rasulullah SAW secara umum mengatakan, “Setiap kamu bertanggungjawab dan setiap kamu akan disoal atas orang yang di bawah tanggungannya.” (Bukhari & Muslim).
Dari sudut yang lain, syariat Islam secara tegas juga melarang yakni mengharamkan segala perbuatan yang menghala kepada perzinaan. Firman ALLAH SWT, “Dan jangan kamu dekati zina, sesungguhnya ia adalah perbuatan yang keji dan jalan yang membawa kerosakan.” (Surah Al-Isra’: 32)
Dalam ayat yang agung ini, Allah tidak mengatakan ‘Jangan kamu berzina’, sebaliknya ALLAH mengatakan ‘Jangan kamu dekati zina’. Ini menunjukkan kepada kita bahawa bukan zina itu sahaja yang dilarang, tetapi juga segala jalan-jalan, perbuatan-perbuatan yang membawa kepada zina itu.
Ini kerana perbuatan zina tidak berlaku secara terus, sebaliknya ada muqaddimah-muqaddimahnya. Syarak menitik beratkan semua aspek-aspek ini. Maka di samping diharamkan zina, syarak turut mengharamkan segala jalan yang boleh membawa kepadanya.
MUQADDIMAH ZINA
Di dalam surah Al-Nur, Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman menjaga pandangan, “Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kemaluannya” (An Nur : 30). Yang diertikan dengan menundukkan pandangan adalah menjaga pandangan dari melihat benda-benda yang haram, di samping menjaga kemaluan.
Ditegaskan juga bahawa kewajipan menundukkan pandangan ini bukan ke atas kaum lelaki sahaja, bahkan ke atas kaum wanita juga seperti mana dalam ayat berikutnya Allah berfirman, “Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka.” (Surah Al-Nur:31)
Dapat kita lihat bagaimana syarak menjaga batas-batas dengan menghalang segala pintu yang boleh membawa kepada perzinaan. Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW mengatakan, “Telah ditakdirkan atas setiap anak Adam bahagiannya dari zina, tidak ada yang dapat menghalangnya. Kedua mata zinanya adalah melihat. Kedua telinga zinanya adalah mendengar. Lidah zinanya adalah bercakap. Tangan zinanya adalah menyentuh. Kaki zinanya adalah berjalan. Dan hati itu bergolak serta berkeinginan, dan kemaluan itu akan membenarkannya atau mendustakannya.” (Bukhari & Muslim)
Ini menunjukkan zina boleh terjadi pada seluruh anggota. Ini adalah muqaddimah, dan kemaluan itu membenarkannya atau menafikannya. Itu adalah kemuncaknya, iaitu persetubuhan haram itu sendiri. Ini dapat difahami sebagai Sunnatullah Al-Kauniyyah; iaitu ketetapan takdir yang pasti terjadi di mana setiap manusia tidak dapat menyelamatkan anggota badannya dari zina.
Tapi ini tidak bererti ia dibolehkan. Ini kerana di samping Sunnatullah Al-Kauniyyah, ada pula Sunnatullah Al-Syar’iyyah; iaitu ketetapan Syarak. Harus dibezakan keduanya. Ketetapan takdir mengatakan hal itu pasti terjadi; anggota-anggota itu pasti terkena zina. Tetapi pada masa sama, ketetapan Syarak menegah kita dari melakukannya. Muqaddimah-muqaddimah zina ini semua perlu dihindari.
Kerana itu Omar bin Al-Khattab radhiyallahu’anhu meriwayatkan hadis dari Nabi SAW di mana Baginda bersabda, “Tidaklah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita, kecuali yang ketiga adalah syaitan.” (Sahih, riwayat Ahmad, Al-Tirmizi dan Al-Hakim)
Apa yang dilakukan oleh Syaitan? Tidak lain dan tidak bukan, syaitan akan terus membisik-bisikkan dan menyemarakkan lagi api perzinaan itu, supaya diteruskan sehingga sampai kepada kemuncak zina itu, wal-‘iyyadzu billah (kita meminta perlindungan daripada Allah).
Kerana itu kita perlu betulkan persepsi kita tentang zina, jangan ingat zina itu persetubuhan haram sahaja. Tidak. Muqaddimah-muqaddimah ini juga termasuk zina. Pepatah arab mengatakan, “Zina itu pandangan, lalu senyuman, lalu salam, lalu berbual-bual, lalu pertemuan.”
Pertemuan adalah babak terakhir sebelum perzinaan. Kita semua setuju bahawa zina adalah seburuk-buruk perkara dan kita tidak mahu terjatuh dalam kancah perzinaan itu. Jadi kita kena menjaga batas pergaulan dan menjauhi muqaddimah-muqaddimah ini kerana khuatir tidak semena-mena tanpa kita sedar kita telah sampai ke penghujung babak perzinaan itu, di mana kalau sudah sampai ke tahap itu, mungkin tidak ada yang dapat menghalangnya lagi.
SEGERA KAHWINKAN ANAK
Sehubungan itu, kaum ibubapa perlu mengambil perhatian tentang keutamaan dikahwinkan anak itu dengan segera. Ini amalan salaf terdahulu, yang mana pada zaman ini seakan-akan diabaikan. Pada zaman sekarang, keutamaan telah diberikan kepada perkara dunia yang lain, manakala kewajipan berkahwin itu dikesampingkan. Ini bahaya kerana inilah yang menjadi punca kepada budaya couple, dating dan sebagainya.
Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW mengatakan, “Wahai para pemuda, barangsiapa yang memiliki kemampuan, hendaklah dia berkahwin. Kerana ia akan mampu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu akan bisa menundukkan nafsu syahwatnya.” (Bukhari dan Muslim)
Kita khuatir sekiranya ibubapa melambatkan perkahwinan anak-anak, tak semena-mena anak kita sudah jatuh dalam kancah zina, dan percayalah pada ketika itu penyesalan sudah tidak ada gunanya kerana perbuatan itu sudah terjadi. Jadi hendaklah diambil langkah pencegahan seperti mana yang disebut oleh Nabi SAW iaitu kahwinkan anak itu kerana ia akan menundukkan pandangannya serta menjaga kemaluannya.
Alhamdulillah, masyarakat Islam terutamanya masih mengambil berat akan keutamaan berkahwin, berbeza dengan Barat yang sudah teruk seteruk-teruknya di mana mereka melihat perkahwinan itu suatu yang membebankan, menyusahkan, bahkan merugikan. Kerana itu mereka memilih untuk tidak berkahwin dan tidak membudayakan perkahwinan, sebaliknya mereka panggil budaya ‘partner’.
Ini realiti dan ini jelas meruntuhkan sistem kekeluargaan, kerana kekeluargaan adalah asas dalam kekuatan sesebuah masyarakat. Apabila asas kekeluargaan itu sudah runtuh, maka percayalah masyarakat itu secara automatiknya akan porak peranda dan hancur.
Masyarakat kita semua setuju keutamaan berkahwin, cuma masalahnya ialah cepat atau lambat. Pada zaman sekarang perkahwinan itu dilambat-lambatkan, bukan saja lelaki tetapi juga kaum wanita. Umur 25-30 tahun masih tidak berkahwin. Ini adalah permulaan kepada satu malapetaka. Akibatnya, mereka memilih untuk berdating, bercouple, malah ada yang sudah bertunang tetapi bertahun-tahun lamanya. Apa faedahnya? Ini bukan faedah tetapi mencari bala.
Satu hal yang perlu diingat adalah kesudahan yang baik datang dari permulaan yang baik. Kalau sesuatu itu dimulakan dengan cara yang sebetulnya, insyaALLAH kita akan dapat hasil yang diinginkan. Sebaliknya kalau permulaan dan persediaan tidak mengikut cara yang betul, bagaimana kita mengharapkan natijah yang baik?
Maka begitulah dalam kekeluargaan, kalau mengimpikan sebuah keluarga yang baik, anak-anak yang soleh, hendaklah perkahwinan dan perhubungan dengan bakal pasangan itu dimulakan dengan cara yang baik. Adapun couple, dating, dan seumpamanya adalah cara yang tidak baik dan akhirnya boleh mengakibatkan kerosakan.
Berapa ramai yang memulakan perkahwinan mereka apabila sudah terlanjur? Berapa ramai yang memulakan perkahwinan apabila sudah ada anak di luar nikah, na’uzubillah. Bagaimana kehidupan mereka selepas itu? Tentu akan ada kesan sejarah hitam di dalam keluarga mereka. Maka sebuah institusi keluarga itu perlu dimulakan dengan mengikut telunjuk syarak, InsyaAllah kita akan mendapat hasilnya seperti yang diinginkan.
Sumber : http://ift.tt/2wt9xXJ


from Jom Dakwah http://ift.tt/2wvNWhu
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment