Saturday, 2 September 2017

LARANGAN BERTANYA KENAPA DAN BAGAIMANA?

Image result for LARANGAN BERTANYA KENAPA DAN BAGAIMANA?


Imam Al-Barbahari (wafat 329H) rahimahullah dalam kitab monumental beliau, Syarh Al-Sunnah berkata, “Tidaklah ada yang berkata dalam masalah Sifat Allah: bagaimana dan kenapa, kecuali orang yang ragu tentang Allah. Dan Al-Quran adalah Kalam Allah (bicara Allah), wahyu dan cahayaNya, bukan makhluk; kerana Al-Quran daripada Allah dan apa yang daripada Allah bukan makhluk. Inilah yang dikatakan oleh Malik bin Anas dan Ahmad bin Hanbal, dan para Ulama sebelum mereka dan selepas mereka. Berbantah-bantahan dalam hal ini suatu kekufuran.”

Apa yang dimaksudkan oleh Imam Al-Barbahari adalah orang yang bertanya bagaimana sifat Allah; bagaimana Allah mendengar, bagaimana Allah melihat, bagaimana Wajah Allah, bagaimana Arasy Allah, bagaimana Allah istiwa, bagaimana Kaki Allah, bagaimana Allah berbicara, dan seterusnya. Dia cuba membayangkan, berbincang dan memperincikan sifat Allah.

Orang ini adalah orang yang ragu tentang Allah, akibatnya dia menolak atau mengubah maksudnya kepada maksud lain yang sesuai dengan akalnya. Ini kerana dia tidak beriman sepenuhnya sifat-sifat Allah yang disebut dalam nas, sebab itu dia bertanya dan mempersoalkan. Akibatnya, timbul syak dan ragu dalam dirinya, dan imannya terhadap ALLAH menjadi kurang.

Tidaklah Allah menyebut Nama-Nama dan Sifat-SifatNya melainkan untuk kita memahami dan mengenal Allah dengan sebenar-benarnya, bukan sekadar mengenal Allah sebagai Tuhan.

Orang yang memikirkan dan memperincikan sifat Allah dengan akalnya tanpa beriman dengan zahir nas, dia tidak akan dapat memahami. Ini kerana apa jua yang dia fikir tentang Allah, tentu sahaja Allah lebih Agung dan lebih Tinggi dari semua itu. Orang seperti ini akhirnya akan ragu tentang Allah.

Ini adalah realiti yang kita lihat di kalangan masyarakat. Apabila seseorang itu tidak beriman sepenuhnya dengan Sifat Allah, dia menjadi ragu tentang Allah, dia merasa imannya belum cukup, dia tidak kenal Allah, dia merasa ada kekurangan dalam hatinya.

Untuk menyempurnakan kekurangan tersebut, sebab itulah ramai yang pergi kepada tasawuf, tujuannya untuk mengenal Allah dan mengisi kekurangan dalam hati. Ini adalah fitrah. Ini bukti jelas bahawa fitrah manusia adalah ingin mengenal Rabbnya. Cuma untuk memenuhi fitrah ini, ada manusia mengikut cara yang betul dan ada yang tersalah.

Persoalannya, apakah benar mereka yang mengikuti jalan-jalan tasawuf ini dapat melengkapkan jiwa dan memuaskan hati dengan cara ini? Jawapannya tentu tidak, kerana hati hanya dapat merasa tenang, dan merasa kelazatan iman dengan beriman kepada ALLAH seperti yang sepatutnya, iaitu mengimani sepenuhnya Nama dan Sifat yang Allah tetapkan untuk diriNya.

Hanya dengan cara itu kita dapat ketenangan, keyakinan, kekuatan. Kita tidak risau, sedih atau takut dengan benda-benda lain atau apa yang berlaku kerana kita ada Allah, kita kenal Allah berdasarkan petunjuk wahyu, kita yakin, percaya, berharap, dan berserah hanya kepada Allah.

Golongan yang cuba mengenal Allah dengan cara yang lain, mereka salah dalam mendiagnos penyakit, maka mereka mengambil rawatan dan ubat yang salah. Akibatnya mereka terus sakit tidak sembuh-sembuh. Bahkan ada yang jadi gila.

Kalau kita lihat orang-orang sufi, dengan cara ibadah yang direka-reka, geleng-geleng kepala, melompat-lompat dan sebagainya, mereka sangka dengan cara itu mereka akan dapat iman. Tapi akibatnya terbalik sama sekali, mereka semakin jauh menyelisihi ajaran Islam sebenar. Maka wajib bagi kita menjauhi takyif (menyoal bagaimana) baik dalam fikiran, atau secara lisan, atau dengan isyarat.

Imam Malik pernah ditanya bagaimana Allah istiwa berdasarkan firman Allah: “Al-Rahman (Allah) istiwa di atas Arasy” (Thaha: 5). Dia menundukkan kepala dan berpeluh (kerana marah). Kemudian dia berkata, “Istiwa itu jelas diketahui, bagaimana Dia beristiwa tidak terjangkau oleh akal. Beriman dengannya adalah wajib. Bertanya bagaimana adalah bid’ah.” (Sahih, riwayat Al-Dzahabi, Al-Baihaqi Al-Lalaka-i, dll.)

Sumber : http://ift.tt/2wfMS1j



from Jom Dakwah http://ift.tt/2wwVMpF
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment