Tuesday, 8 November 2016
BAGAIMANA KITA MEMUPUK AKHLAK MULIA GENERASI MUDA?
ZAMAN remaja adalah masa peralihan yang menghubungkan antara alam kanak-kanak yang tidak matang ke alam dewasa yang lebih matang. Corak peralihan pelbagai akan membawa pelbagai pengaruh kepada individu yang mengalaminya. Setiap remaja sewajarnya diasuh untuk mempersiapkan dirinya sebagai khalifah Allah.
Tujuan hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah disemai dalam diri seorang remaja sejak awal lagi supaya mereka berjaya dan maju sebagai generasi cemerlang dan diberkati.
Jika pembentukan remaja tidak berlaku dengan sempurna, maka pembangunan negara akan terjejas kerana golongan remajalah bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Setiap anak yang dilahirkan adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." - (Riwayat Bukhari).
Ketika ini, masalah sosial di kalangan remaja amat membimbangkan. Boleh dikatakan keruntuhan akhlak remaja bagaikan seiring dengan pembangunan negara.
Ini dapat dilihat melalui pembangunan yang hampir ke kemuncaknya, akhlak remaja juga kian jatuh dan bagaikan tidak dapat dibendung lagi.
Antara masalah sosial yang sering dilakukan remaja pada hari ini ialah seks bebas, lari dari rumah, pembuangan bayi, penagihan atau pengedaran dadah, ponteng sekolah, mengugut, menubuhkan kumpulan haram dan sebagainya.
Sesungguhnya, masalah sosial remaja pada hari ini disebabkan beberapa faktor.
Antaranya persekitaran berubah secara mendadak terutama pengaruh media cetak dan elektronik yang saban hari memaparkan mengenai eksploitasi terhadap wanita serta kebebasan remaja yang keterlaluan dan banyak mempengaruhi pemikiran anak-anak terutama yang baru meningkat remaja.
Selain itu, faktor kurangnya didikan agama dan kasih sayang daripada ibu bapa, perasaan mahu mencuba serta desakan atau pengaruh daripada rakan sebaya.
Sebenarnya, masalah remaja adalah masalah kita bersama. Oleh itu gandingan yang mantap dan kerjasama erat antara ibu bapa, guru, rakan sebaya dan anggota masyarakat amat diperlukan dalam menangani masalah remaja.
1. Peranan Ibu bapa
Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka." - (Surah At-Tahrim ayat 6).
Anak-anak adalah amanah Allah kepada kita. Didikan awal kepada anak-anak amat mustahak dalam kita merencanakan masa depan hidup mereka kerana mengabaikannya bererti akan merosakkan ahli masyarakat seluruhnya.
Antara panduan keibubapaan yang digariskan Islam ialah:
- Ibu bapa menjadi model yang salih dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebenar. Ibu bapa salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Didik dan biasakanlah anak-anak dengan tingkah laku dan kegiatan yang baik sejak anak kecil.
- Mendisiplinkan anak dengan kasih sayang bukan kekerasan kerana ini akan menjadikan mereka berasa senang hati dan gembira untuk melakukan sesuatu perkara positif. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan dan pada masa yang sama menerima ganjaran atau pujian.
- Memenuhi masa lapang bersama anak seperti sembahyang berjemaah, makan, membaca al-Quran dan bersukan. Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu bapa kerana sudah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.
- Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak. Kemahiran ini perlu dipelajari ibu bapa dari semasa ke semasa.
- Kesabaran juga amat perlu dalam diri ibu bapa kerana tiap-tiap anak walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza antara satu sama lain.
2. Peranan Guru
Dalam proses pendidikan, kita seharusnya mengambil iktibar dengan mencontohi asas pendidikan dilakukan Rasulullah.
Baginda bersabda yang bermaksud: "Salah satu cara terbaik untuk membentuk akhlak mulia ini ialah dengan cara pendidikan."
Dalam hal ini, antara fungsi penting guru ialah:
- Menjadi 'Qudwah Hasanah' atau contoh teladan baik. Setiap tingkah laku guru hendaklah dijaga kerana setiap inci pergerakan guru akan menjadi ikutan.
- Memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga.
- Mengamalkan sikap suka membantu serta membimbing dan berperanan sebagai 'role model' kepada pelajar.
- Penampilan dan penerimaan guru terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak yang sebenar-benarnya.
- Bersedia bekerjasama dengan ibu bapa dalam usaha membentuk insan Rabbani.
3. Peranan Rakan Sebaya
Dari sudut psikologi, peringkat remaja adalah peringkat paling berpengaruh dalam kehidupan mereka. Pada peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling diterima. Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan berbanding ibu bapa, guru atau orang dewasa lain.
Oleh itu, pendekatan logikal ialah menggunakan remaja untuk mempengaruhi remaja lain.
Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan syarat mereka dilatih dan diselia dengan teratur.
Oleh itu adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan latihan ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan juga ibu bapa.
4. Peranan Anggota Masyarakat
Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai." - (Surah Ali Imran, ayat 103).
Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Hubungan orang mukmin dengan orang mukmin lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain." - (Riwayat at-Tabarani).
Ayat ini menjelaskan bahawa kerjasama anggota masyarakat amat penting untuk menciptakan lingkungan yang baik bagi perkembangan dan pertumbuhan remaja yang sihat.
Antara perkara yang boleh dilakukan masyarakat setempat ialah:
- Mewujudkan sebuah organisasi belia remaja yang dapat menentukan peranan mereka dalam pelbagai bidang sebagai persediaan menentukan corak pembangunan negara pada masa akan datang.
- Mengaktifkan peranan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk melatih belia remaja aktif dalam berpersatuan. Ia adalah jambatan yang menghubungkan mereka secara langsung dengan masyarakat, sekali gus menghindarkan mereka dari melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah.
- Wujudkan kerjasama dan persefahaman yang erat antara ahli dalam sesuatu kariah melalui kegiatan gotong-royong dan seumpamanya supaya anggota masyarakat setempat dapat saling mengenali antara satu sama lain serta dapat mewujudkan perasaan mengasihi anak jiran seperti mana dia mengasihi anaknya sendiri.
- Memartabatkan seluruh institusi keagamaan Islam (mahkamah atau perundangan, pendidikan masjid, zakat dan badan dakwah dan NGO lain) supaya peranan dan fungsi institusi berkaitan dapat direalisasikan dengan berkesan.
- Menggesa sektor pekerjaan sama ada kerajaan, swasta atau korporat untuk menzahirkan budaya kerja dan budaya hidup sihat di kalangan pekerja mereka. Ia boleh dilakukan dengan mengambil kira faktor seperti penjadualan, kegiatan kekeluargaan, hari kelepasan dan lain-lain.
Walaupun usaha pelbagai pihak diperlukan bagi membendung gejala sosial di kalangan remaja, sesuatu yang pasti ialah memohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah.
Ini kerana hidayah Allah juga faktor terpenting mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak seseorang.
Nabi Nuh gagal memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga Rasulullah gagal memujuk bapa saudaranya, Abu Talib kembali ke pangkuan Islam.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasih (supaya ia menerima Islam) tetapi Allah jua yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." - (Surah Al-Qasas, ayat 56).
Sumer: Hidayahnet
from Jom Dakwah http://ift.tt/2fAE7Du
via Kuliah Islam
Labels:
Jom Dakwah,
Kuliah Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment