Friday, 17 February 2017

HUKUM WARIS ORANG YANG HILANG


Definasi Orang yang Hilang
Dalam Bahasa Arab dikatakan ‘mafqud’ (مفقود) yang membawa maksud sesuatu yang dicari tetapi tidak dijumpai (قاموس المحيط 1/323). Apa yang dimaksudkan di sini adalah orang yang terputus khabarnya dan tidak diketahui keadaannya sama ada dia masih hidup atau tidak. Sama ada kerana suatu perjalanan yang ditempuhnya, peperangan yang disertainya, kapalnya yang tenggelam, ditawan oleh musuh atau selainnya.

Pandangan Para Ulama Tentang Tempoh yang Perlu Ditunggu Oleh Waris
Ketika mana seseorang itu hilang sering timbul persoalan sama ada dia masih lagi hidup atau tidak. Persoalan ini penting memandangkan dalam kedua-dua keadaan ada implikasinya yang tersendiri. Implikasi daripada sudut hukum-hakam isteri atau suaminya serta warisnya. Mengenangkan adanya kebarangkalian dia masih lagi hidup sepertimana terdapat kemungkinan dia sudah mati, keadaan ini menuntut supaya ditetapkan suatu tempoh masa agar keadaannya dapat dipastikan. Dengan erti kata lain, sesudah tempoh masa itu berlalu, dapat disimpulkan bahawa dia sudah mati.
Para ulama secara amnya sepakat dalam menetapkan tempoh masa ini tetapi mereka berselisih tentang berapa lama tempoh masa ini kepada dua pendapat:

Pendapat Pertama: Penetapan tempoh itu kembali kepada ijtihad dan pendapat pemerintah. Ini kerana, orang yang hilang itu asalnya masih hidup dan hukum asal ini tidak boleh diubah kecuali dengan suatu yang yakin dan pasti atau yang sehukum dengannya.
Inilah adalah pendapat majoriti para ulama, pendapat yang sahih daripada Mazhab Syafie (نهاية المحتاج 6/28), pendapat yang masyhur daripada Imam Malik (الشرح الكبير للدردير بحاشية الدسوقي 4/34), Abu Hanifah (حاشية ابن عابدين 3/331) dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad.
Mengikut pendapat ini, sama ada terdapat kebarangkalian yang kuat orang yang hilang itu masih hidup atau sudah mati, dan sama ada dia hilang sebelum umurnya mencapai 90 tahun atau sesudahnya; waris tetap perlu menunggu sehingga terdapat bukti bahawa dia sudah mati atau setelah berlalu tempoh masa yang dapat memberi satu sangkaan yang kuat bahawa dia tidak mungkin hidup lebih lama daripada itu.
Walaubagaimana pun, ulama yang mendukung pendapat ini berselisih kepada dua pendapat tentang sama ada perlu ditetapkan tempoh masa yang tertentu bagi memperoleh sangkaan yang kuat itu atau tidak.
Pertama: Ulama yang menyatakan bahawa tidak ada tempoh masa yang tertentu. Sebaliknya ia kembali kepada ijtihad dan pendapat pemerintah.
Inilah pendapat yang sahih dalam Mazhab Syafie (نهاية المحتاج 6/28) dan zahir Mazhab Hanafi (حاشية ابن عابدين 3/331) serta salah satu riwayat daripada Imam Ahmad (الإنصاف 7/335). Ini kerana apa jua penetapan suatu tempoh yang tertentu itu tidak ada dalilnya dalam Syarak.
Kedua: Mereka yang menetapkan suatu tempoh masa yang tertentu. Mereka berselisih kepada beberapa pendapat.
Dalam Mazhab Maliki (الشرح الكبير للدردير بحاشيته 4/334) dikatakan 70 tahun dan ada yang mengatakan 75 tahun atau 80 tahun untuk tempoh menunggu itu. Mazhab Hanafi pula (حاشية ابن عابدين 3/331), ada perselisihan sama ada 60 tahun, 70 tahun, 90 tahun, 100 tahun atau 120 tahun. Kesemuanya tidak ada sandaran kecuali pendapat yang mengatakan 70 tahun. Ia disandarkan kepada sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam, “Umur umatku antara enam puluh dan tujuh puluh tahun” (Hadis Hasan. RiwayatTimizi dan Ibnu Majah. Misykaat Al-Masaabih oleh Imam Albani).

Pendapat Kedua: Iaitu pendapat Mazhab Imam Ahmad (الإنصاف 7/335) dan sebahagian para ulama fikah. Mereka menyatakan bahawa keadaan orang yang hilang itu tidak lari daripada dua keadaan:
Pertama: Kebarangkalian kuatnya dia sudah mati. Seperti orang yang hilang dalam suatu kemalangan, peperangan atau kapal atau perahunya tenggelam di mana sebahagian terselamat dan sebahagian yang lain tidak. Begitu juga sekiranya orang itu keluar pergi solat di masjid lalu tidak kembali dan tidak diketahui keadaannya.
Dalam keadaan ini, warisnya perlu menunggu selama empat tahun daripada tarikh kehilangannya. Ini kerana, tempoh ini menjadi kebiasaan bagi orang-orang yang bermusafir serta para pedagang berulang alik. Sesudah tempoh ini berlalu, ia akan dapat memberi suatu sangkaan yang kuat bahawa dia sudah mati. Jika tidak, masakan tidak diketahui keadaannya sepanjang tempoh masa tersebut.
Kedua: Kebarangkalian kuatnya dia masih hidup. Seperti orang yang pergi berdagang, merantau atau bermusafir menuntut ilmu lalu tidak diketahui keadaannya. Dalam keadaan ini, waris perlu menunggu sehingga orang yang hilang itu mencapai umur 90 tahun. Ini memandangkan bahawa kebiasaannya orang tidak akan hidup lebih lama daripada itu.

Pendapat yang Kuat
Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, dapat disimpulkan bahawa pendapat pertama yang menyatakan bahawa keadaan orang yang hilang itu ditentukan oleh pemerintah adalah lebih kuat. Ini berdasarkan kepada:

Pertama: Orang yang hilang itu asalnya masih hidup dan hukum asal ini tidak boleh diubah kecuali dengan suatu yang yakin atau pasti, dan hal ini berbeza mengikut situasi dan keadaan.

Kedua: Apa jua penetapan suatu tempoh yang tertentu tidak ada dalilnya dalam Syarak (الفوائد الجليلة لابن باز ص 50).

Ketiga: Sebagaimana penetapan tempoh itu tidak ada nasnya, ia juga menyalahi logik akal. Ini kerana sekiranya orang yang hilang itu berumur 89 tahun, mengikut sebahagian pendapat waris perlu menunggu setahun sahaja (sehingga genap 90 tahun sebagaimana yang dituntut oleh pendapat itu) lalu setelah itu dia akan dianggap telah mati. Pendapat ini jelas salah kerana terdapat keadaan di mana tempoh setahun tidak memadai untuk mencari seseorang yang hilang (pada zaman dahulu secara khasnya – penterjemah).
Maka kita mengatakan apa jua penetapan tempoh masa dalam masalah ini kembali kepada ijtihad pemerintah dan pendapat golongan yang pakar. Ia berbeza mengikut keadaan, tempat dan individu.
Jika diamati, pendapat ini paling tepat memandangkan ia menepati keadaan zaman sekarang di mana kini sudah terdapat berbagai peralatan bantuan, komunikasi serta pengangkutan canggih yang tidak ada pada zaman dahulu. Dunia pada hari ini kini boleh dicapai dengan mudah. Seseorang yang hilang boleh dicari dalam tempoh masa yang singkat tidak seperti dahulu. Oleh itu, ijtihad perlu selari dengan peredaran zaman.

Wallahu a’lam.

Sumber : ustazidrissulaiman



from Jom Dakwah http://ift.tt/2lrpAjK
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment