Friday, 24 February 2017

Adakah Sah Solat Jumaat Tanpa Mendengar Khutbah?



Soalan; Kita selalu perhatikan ada ramai di kalangan lelaki muslim hari ini menghadiri solat jumaat tanpa mendengar khutbah terlebih dahulu, yakni mereka datang lewat –sama ada sengaja atau kerana suatu urusan- dan tidak sempat mendengar khutbah. Apa hukumnya? Adakah solat jumaat mereka sah?

Jawapan;

Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah (Mufti Mesir sekarang) dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Jika bilangan yang hadir mendengar khutbah mencapai 40 orang atau lebih, maka orang yang datang lewat –tanpa mendengar khutbah- sah solat jumaatnya tetapi mereka terlepas fadhilat mendengar khutbah yang amat besar pahalanya. Namun jika orang-orang yang hadir lewat itu menyebabkan bilangan yang mendengar khutbah kurang dari 40 orang, maka mereka menanggung dosa besar”.

Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail dalam buku himpunan fatwanya menjelaskan; “Orang yang tidak datang ke masjid melainkan selepas khatib selesai khutbah, Allah tidak menerima solatnya dan tidak diberi pahala, kecuali jika terpaksa. Namun demikian, jika dia menunaikan solat jumaat bersama imam, gugur kefardhuan jumaat darinya dan tidak perlu lagi dia menunaikan solat zohor. Banyak kes di mana solat adalah sah, namun tidak diterima. Setiap solat yang diterima adalah sah, namun tidak semua solat yang sah adalah diterima”.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Ashriyyah, Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah, hlm. 34-35.
2. Baina as-Sa-il wa al-Faqih, Dr. Muhammad Bakar Ismail, hlm. 20.

Sumber: Ustaz Adnan


from Jom Dakwah http://ift.tt/2lDImml
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment