Sunday, 26 February 2017

Bolehkah Seseorang Itu Jamak Kerana Kesuntukkan Masa?


Bolehkah seseorang yang amat tertekan dengan kesuntukan masa, seperti peperiksaan yang memakan waktu yang panjang, ataupun tugasan yang tiada ruang untuk ditinggalkan untuk dia menjamakkan solatnya?
Supaya tidak terkeliru, fahaman senarai perkara berikut:
#1 Terlebih dahulu diterangkan maksud jamak. Iaitu menghimpunkan dua solat pada satu waktu. Solat-solat yang diizinkan syarak untuk dihimpunkan itu ialah, Zohor bersama Asr dan Maghrib bersama Isyak.
#2 Adapun qasar bermaksud meringkaskan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat.
#3 Qasar diizinkan untuk mereka yang bermusafir. Keizinan untuk jamak lebih luas daripada keizinan qasar. Di mana seseorang boleh menjamakkan solatnya sekalipun dia tidak bermusafir disebabkan keadaan-keadaan tertentu, tapi dia tidak boleh menqasarkannya.
Ini seperti hujan, ketakutan ancaman, kesibukan melampau dan seumpamanya.
#4 Ertinya dalam keadaan tertentu dia boleh menunaikan solat Asr dalam waktu Zohor ataupun maghrib dalam waktu Isyak iaitu selepas ditunaikan empat rakaat Zohor, dia menunaikan pula empat rakaat Asr, ataupun selepas tiga rakaat maghrib ditunai empat rakaat Isyak.
Demikian juga dia boleh melakukannya pada waktu Asar, dengan cara menangguhkan Zohor ke waktu Asar, ataupun pada waktu Isyak dengan cara ditangguhkan maghrib ke waktu Isyak.
#5 Dalam hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya:
صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِه
“Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan ‘Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”.
Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?”.
Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas:
“Kerana baginda mahu agar umatnya tidak beban”.
Dalam riwayat Muslim yang lain, lafaznya:
جَمَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا مَطَرٍ
“RasululLah s.a.w solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak secara jamak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana hujan”.
Hadis ini menunjuk solat jamak telah Nabi s.a.w tunaikan bukan hanya disebabkan hujan ataupun ketakutan, juga disebabkan hal-hal yang lain.
#6 Maka, hadis-hadis yang seumpama ini memberi kesimpulan kepada para fuqaha (ulama fekah) bahawa solat jamak boleh dilakukan disebabkan keuzuran-keuzuran tertentu, seperti sakit yang menyusahkannya, atau hujan bagi mereka bersolat jamaah di masjid, kesempitan waktu dan seumpamanya.
#7 Justeru, hal-hal ini seperti mereka yang sakit yang menyukarkannya berwuduk atau bergerak maka bolehlah dia menjamakkan solatnya. Mereka yang terlibat dalam urusan-urusan yang tidak dapat ditinggalkan seperti pembedahan, menjaga lalu lintas, mengendalikan urusan yang bahaya, atau peralatan yang bahaya, terlibat dengan peperiksaan yang telah ditetapkan.
Demikian juga bagi wanita yang bermusafir dengan bas awam yang menyusahkannya bersolat di tengah perjalanan, maka dia boleh menjamakkan solat sejak di rumahnya, tanpa qasar. Begitulah juga dengan semua keadaan yang menyukarkan seseorang.
Namun hendaklah dia mengutamakan menunaikan solat berdasarkan waktunya terlebih dahulu, jika menyukarkan maka ketika itu diizin.
#8 Kitab-kitab fekah penuh memuatkan masalah ini, terutamanya dalam mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal. Antara Ibn Taimiyyah dalam al-Fatawa al-Kubra (2/348, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut) dan kitab-kitab lain.
Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut perkara ini dalam Fatwa Mu‘asarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut). Maka ini bukan perkara baru, kelonggaran ini bagi membolehkan semua pihak dalam apa keadaan pun tetap menunaikan solat.

Sumber : tazkirah.net


from Jom Dakwah http://ift.tt/2ms100v
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment