Thursday, 16 February 2017

SOAL JAWAB: MENYAMBUT HARI LAHIR MENIRU AMALAN ORANG KAFIR

Soalan: Saya ingin tahu adakah menyambut hari lahir adalah haram. Bagaimana kalau hari lahir saya disambut oleh anak-anak, atau anak-anak mengundang saya ke majlis tersebut yang mana susah untuk mencari alasan untuk tidak menghadirinya.

Jawapan:
Apa yang pasti, menyambut hari lahir tidak menepati sunnah Nabi sallallahu’alaihiwasallam. Kita dalam apa juga upacara, dalam apa juga amalan kita, tentulah kita menginginkan kebaikan di sebaliknya.
Adakah kita hendak melakukan sesuatu amalan yang akhirnya membawa mudarat kepada kita? Itu bukan orang yang berakal. Maka menyambut hari lahir, paling kurang tidak ada faedahnya. Tidak ada berkatnya. Tidak ada baiknya.
Mengapa kita kata begitu? Kalau benar ia ada keberkatannya, ada baiknya, ada rahmatnya, ada keredhaan di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala, semestinya ia telah diajar oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam[1].
Kerana apa juga kebaikan yang kita tahu, tidak lain dan tidak bukan datang daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Selain yang datang bukan daripada Nabi, itu bukan baik, kerana kalau baik, ia telah diajar oleh Nabi. Maka apabila Nabi tidak mengajar sesuatu amalan itu, ini menunjukkan bahawa ia tidak baik.
Maka begitulah dalam masalah menyambut ‘Happy Birthday’, menyambut Hari Jadi. Kalau benar ia baik, pastinya telah ditunjukkan kepada kita oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, atau paling kurang para Sahabat, atau paling kurang para ulama yang muktabar seperti Imam Al-Syafi’i. Ternyata Imam Al-Syafi’i tidak pernah mengajar pun.
Bahkan generasi Salafus Soleh keseluruhannya, mereka tidak pernah menyambut Hari Lahir atau yang seumpamanya. Ini menunjukkan amalan ini tidak ada (dalam Islam).
Bahkan bukti yang lebih nyata lagi, amalan menyambut hari lahir ini jelas ia daripada amalan orang kafir, orang Nasrani. Ada siapa yang ingin mengingkarinya? Tidak boleh hendak menafikan.
Ini jelas satu perbuatan meniru-niru orang kafir, yang mana ia satu perbuatan yang jelas bertentangan dengan Syarak. Kerana Islam menegah kita daripada meniru-niru orang kafir.
Maka sama ada kita menyambut hari lahir orang lain, atau orang lain sambut hari lahir kita, sama saja. Yang berbeza orang itu sahaja. Tetapi perbuatan itu sama. Ia adalah sesuatu yang ditegah.
Bolehkah anak-anak kita sambut ‘Happy Birthday’ kita? Saya tak sambut, anak-anak yang sambut? Ia tak jadi, kena juga orang yang punya birthday itu datang, tiup lilin, atau potong kek. Dari mana datang amalan-amalan ini? Kenapa potong kek? Kenapa tak potong buah atau benda lain?
Hendak menunjukkan bahawa itu semua adalah tasyabbuh (menyerupai amalan orang kafir). Tidak ada orang potong roti ke apa. Dia kena potong kek juga. Tasyabbuh atau tidak tasyabbuh? Siapa yang mengingkarinya jelas dia menafikan sesuatu yang jelas.
Susah untuk mencari alasan?
Kita hendaklah sentiasa mencari keredhaan Allah. Jangan kita dahulukan keredhaan manusia. Kalau kita dahulukan keredhaan manusia daripada keredhaan Allah, kita akan tersesat arah dan kita akan binasa akhirnya. Maka kayu ukur kita kena betul; keredhaan Allah kena sentiasa didahulukan.
Orang nak kata apa katalah. Tetapi kita tak nafikan bahawa manusia ini ada yang lemah, ada yang takut, ada yang tak berani. Apapun kita kena berusaha untuk kita mencari keredhaan Allah di atas keredhaan manusia.
Susah nak cari alasan? Alasan yang paling cantik, alasan yang insyaAllah selepas ini dia tidak akan ajak kita lagi, yang mana ini yang kita inginkan, kenapa nak pusing, kona sana kona sini, aku sakitlah, aku demam, anak aku sakit. Kalau begini, setiap tahun nanti dia akan jemput juga.
Tapi tentulah, buat apa nak marah-marah. Orang-orang ini tidak tahu, orang-orang ini jahil. Cakaplah dengan baik, senyum sehabis senyum, dan katakan, ini alasannya;
“Benda ini tidak ada asas dalam Agama, Nabi tidak ajar. Saya khuatir ini semua akan dimurkai oleh Allah.”
Berat. Percayalah. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا
“Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.” (Surah Al-Muzammil: 5)
Agama Islam ini memang berat. Hukum hakam Syarak ini memang berat. Ini tak boleh itu tak boleh. Sebenarnya benda yang boleh itu banyak sangat, tetapi kenapa kita cari juga benda yang tak boleh.
Apa pun, benda yang tak boleh kita kata tak boleh. Kita kena ada prinsip. Jangan kita jadi lalang, semua boleh, yang penting untuk maslahat dakwah, slow-slow lah. Slow lah, takkan sampai pun matlamatnya.
Apapun, carilah alasan, apapun kita tidak boleh menghadirinya. Kerana apa, kena ingat. Kalau kita pilih cara yang tidak betul, apa hasilnya? Hasilnya akan membawa mudarat kepada kita juga. Kita rasa mungkin kita pandai, tetapi Syarak sentiasa lebih pandai.
Kalau kita pergi sekali, katakanlah dengan apa juga sebab dan alasan kita pergi happy birthday. Boleh jadi kita duduk saja di tepi. Tetapi percayalah, selepas itu, tahun berikutnya kalau kita kata “Maaf, saya tidak boleh hadir kerana ini majlis yang tidak menepati sunnah Nabi”. Dia akan kata apa? “Eh, tahun lepas boleh kau datang?” “Oh, tahun ini kau dah dapat wahyu?”
Kita nak jawab apa? Hendak mengatakan bahawa adalah lebih berat untuk kita hendak membetulkan kesalahan kita yang dulu. Wallahu a’lam.
(Disalin dari sesi soal jawab, kuliah Riyadhus Salihin, 14.03.2014, Kajang)

[1] Sabda Nabi sallallahu’alaihiwasallam, “Aku tidak meninggalkan sesuatu yang dapat mendekatkan kalian kepada Allah, kecuali aku sudah memerintahkannya kepada kalian. Aku pun tidak meninggalkan sesuatu yang menjauhkan kalian dari Allah, dan mendekatkan kalian ke Neraka, melainkan aku sudah melarangnya atas kalian”. (Sahih. Riwayat al-Baihaqi)

Sumber : ustazidrissulaiman



from Jom Dakwah http://ift.tt/2kDf0SF
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment