Di dalam Islam, pembahagian harta pusaka adalah mengikut faraidh iaitu apa yang telah ditetapkan di dalam Al-Qur’an. Wasiat pula bertujuan untuk memberi harta pusaka kepada yang tidak mewarisi. Walau bagaimana pun, ia tidak boleh melebihi 1/3 daripada harta tersebut.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan terlepas kedua kaki seorang hamba itu semasa (berada di padang Mahsyar) pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan;Pertama: tentang umurnya, di manakah dihabiskan,
Kedua: tentang zaman mudanya, bagaimana digunakan,
Ketiga: tentang hartanya, bagaimana diperolehi dan digunakan,
Keempat: tentang ilmunya, apakah diamalkan dengannya.Hadith Riwayat at-Tirmizi
Sebab #1 – Di dunia ini kita dikurniakan oleh Allah dengan wang dan harta. Malah, ada di antara kita diamanahkan oleh Allah untuk memegang lebih banyak berbanding orang lain. Maka, sepanjang tempoh kita di dunia ini, kita bertanggungjawab untuk menggunakannya ke arah perkara-perkara yang disukai Allah. Sehubungan dengan itu, kita juga memastikan ia terus digunakan sebaiknya selepas kematian kita.
Sebab #2 – Setiap negara mempunyai undang-undang mereka tersendiri berkaitan harta selepas kematian. Oleh itu, tanpa menulis wasiat akan menyebabkan pembahagian harta berlaku dengan cara yang berbeza daripada kehendak kita. Lebih-lebih lagi jika sesebuah negara itu tidak mengamalkan perundangan Islam. Ini pasti akan memberi kesan kepada ahli keluarga.
Sebab #3 – Kita mungkin berhutang dengan seseorang atau ada individu lain yang berhutang dengan kita. Kekeliruan pasti berlaku lebih-lebih lagi jika tiada ahli keluarga tahu mengenai hal ini. Oleh itu, adalah amat penting semua ini dinyatakan terlebih awal bagi mengelakkan berlakunya ketidaksefahaman yang mungkin akan mengundang perbalahan.
Sebab #4 – Ada individu yang bukan ahli keluarga kita atau organisasi tertentu yang lebih amat memerlukan sebahagian harta yang kita miliki. Sekiranya kita tidak menulis wasiat, maka mereka tidak akan mendapat pertolongan tersebut daripada kita.
Sebab #5 – Menulis wasiat mengelakkan sebarang campur tangan yang tidak diperlukan selepas kematian kita. Ahli keluarga yang sedang bersedih atau kurang ilmu berkaitan hal ini, pasti amat memerlukan ‘pengetahuan’ kita selepas ketiadaan kita di dunia ini.
Walaupun kita membahagikan harta kita mengikuti hukum faraidh, namun kita juga digalakkan untuk membuat wasiat. Sebagaimana hukum faraidh itu mempunyai pelbagai hikmah, maka begitu juga dengan wasiat. Jika dilihat semula kebaikan berwasiat di atas, semuanya adalah untuk mengelakkan masalah kepada waris yang masih hidup. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Sumber : tazkirah.net
from Jom Dakwah http://ift.tt/2lhNLOO
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment