Thursday, 16 February 2017

Valet Doa - Doa Tidak Makbul Wang Akan Dipulang


Beberapa hari lepas saya terkejut apabila melihat satu fanpage facebook yang menawarkan khidmat berdoa di tanah suci. Pemilik fanpage turut bersyarah tentang kemustajaban doa di tanah suci dan cuba mengeksploitasi kehendak dan kesusahan yang sedang di hadapi oleh kebanyakam rakyat Malaysia. Saya agak kecewa apabila kebanyakan kita hanya bersetuju bahawa perniagaan seperti ini adalah salah dan boleh membawa fitnah kepada Islam apabila Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri selaku Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan fatwa. Ini menunjukkan bahawa produk dan servis yang menjual agama tumbuh seperti cendawan selepas hujan sejak kebelakangan ini didorong oleh kekontangan ilmu dan kurangnya kemahiran berfikir dalam kalangan umat Islam.

Saya selalu memberi peringatan kepada diri saya dan kawan-kawan bahawa Islam adalah agama yang tidak memerlukan perantara di antara seorang hamba dengan tuhan. Apabila kita berhajat untuk memohon sesuatu kepada tuhan, kita tidak perlu membayar sesiapa untuk mendoakan hajat itu untuk kita.  Saya tidak menafikan ada tempat-tempat dan keadaan-keadaan tertentu yang mempunyai keistimewaan ketika berdoa, tetapi mengkomersialkan doa atau ibadah adalah satu inovasi yang benar-benar mungkar.

Islam Adalah Agama yang Sempurna

Saya bukanlah seorang yang ‘kuat agama’ tetapi bersifat fundamentalis dalam menilai ibadah dan menolak inovasi baharu dalam agama. Bagi sesiapa yang gemar mengikuti perbincangan yang selalu diikuti oleh emosi berkenaan Bida’ah, saya adalah antara orang yang cenderung untuk menolak tokok-tambah dalam agama tapi tidak prejudis terhadap mereka yang melakukanya memandangkan saya hanya orang awam. Saya rasa elok isu ini dibahaskan ditulisan yang lain dan lebih baik kita berfokus dengan isu menjual doa. Kelembutan sesetengah kita apabila berhadapan dengan inovasi atas nama agama telah membuatkan mereka-mereka yang gemar mengambil kesempatan menggunakan modal ini. Kita patut bersyukur kerana kebanyakan umat Islam pada hari ini sangat gemar menghadiri program atau produk yang terkait dengan agama. Namun yang demikian, masyarakat awam harus sentiasa berjaga-jaga kerana tidak semua perkara yang dilakukan atas nama agama itu adalah perkara yang betul dan mendapat ganjaran di sisi tuhan.

Agama Islam adalah agama yang sudah serbi lengkap tanpa memerlukan sebarang tokok-tambah atau inovasi yang tidak perlu. Allah berfirman;

 “… Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku ridhai Islam sebagai agama bagimu …” [Al-Maa-idah: 3]
Al-Hafizh Ibnu Katsir rahimahullah (wafat th. 774 H) menjelaskan, “Ini merupakan nikmat Allah Azza wa Jalla terbesar yang diberikan kepada umat ini, ketika Allah menyempurnakan agama mereka. Sehingga, mereka tidak memerlukan agama lain dan tidak pula Nabi lain selain Nabi mereka, iaitu Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana itu, Allah Azza wa Jalla menjadikan beliau sebagai penutup para Nabi dan mengutusnya kepada seluruh manusia dan jin. Tidak ada yang halal kecuali yang baginda halalkan, tidak ada yang haram kecuali yang diharamkannya, dan tidak ada agama kecuali yang disyariatkannya. Semua yang dikhabarkannya adalah haq, benar, dan tidak ada kebohongan, serta tidak ada kontradiksi sama sekali.

Ini menjadi bukti yang hakiki bahawa agama Islam yang ada pada hari ini sudah sempurna tanpa perlu diberikan penambahan yang seringkali membawa fitnah kepada agama itu sendiri. Pastinya masih terlalu banyak amalan-amalan sohih yang kita belum lakukan, mengapa perlu kita memilih amalan-amalan yang tidak berasas. Dalil dan ‘asas’ dalam ibadah itu penting untuk menghindarkan diri daripada kita tertipu dengan penunggang-penunggang agama yang semakin mendapat tempat di dalam masyarakat.

Hentikanlah Menjual Agama

Saya agak terganggu dengan kebanyakan produk-produk yang dicalitkan sedikit dengan bacaan-bacaan yang didakwa datang daripada kitab suci Al-quran lalu dijual dengan harga yang mahal. Kebanyak peniaga seperti ini akan mendakwa produk mereka akan mendapat manfaat sampingan hasil daripada bacaan tersebut. Agama Islam bukan hanya untuk orang yang kaya sahaja, tetapi jika kita meneliti sejarah, ia dimulai daripada kelas bawahan. Jika kita membenarkan produk-produk seperti ini tumbuh, seolah-olah kita mengatakan kepada kaum miskin bahawa mereka tidak boleh mendapat khasiat daripada produk-produk seperti ini atau doa-doa mereka tidak akan termakbul kerana gagal melanggan servis berdoa di tanah suci.

Saya yakin dan percaya sekiranya produk atau servis yang ditawarkan benar-benar berkualiti dengan harga yang berpatutan, maka para peniaga ini tidak perlu untuk mencalitkan unsur-unsur agama untuk melariskan perkhidmatan mereka. Masyarakat pula harus semakin bijak dan matang dalam menilai perkhidmatan seperti ini agar tidak mudah tertipu sekali gus mendorong lebih ramai ‘buaya-buaya agama’ ini untuk mengambil kesempatan.

Kesimpulan

“Tidak ada yang dapat menolak taqdir (ketentuan) Allah Ta’ala selain do’a. Dan Tidak ada yang dapat menambah (memperpanjang) umur seseorang selain (perbuatan) baik.”
(HR Tirmidzi 2065)

Doa merupakan salah satu senjata yang dimiliki oleh seorang muslim. Berdoalah di mana-mana sahaja kita berada dengan bersungguh-sungguh, pastinya tuhan tidak akan menghampakan doa seorang hamba. Kita tidak perlukan sesiapa untuk menghantar doa kita kepada tuhan dengan servis yang mahal, kita boleh berdoa secara langsung kepada sang maha pendengar.

MAKLUMAT PENULIS

Rahman Imuda
http://ift.tt/2lPCN72
YDP Ikatan Anak Muda Tawau
Aktivis Mahasiswa
mantan NYDP MPP salah sebuah universiti awam
+601119054285 (WhatsApp)
ada.urusan@gmail.com





from Jom Dakwah http://ift.tt/2kNVbJw
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment