Thursday, 16 February 2017

"VALET DOA"? JANGAN DAKWA ANDA ADA SHARE PADA NAMA ALLAH AL-MUJIB


Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
.
Usai kelas Tafsir Sabtu lepas (11 Februari 2017), seorang murid saya menghulurkan sampul duit dengan jumlah 3 angka. Saya tanya: "Apa ni?" Murid saya menjawab: "Duit untuk bacaan doa kenduri kahwin anak saya tempohari. Lupa nak beri pada hari tu." Saya jawab: "Tak perlulah, sebab saya rasa memang dah ikhlas berdoa. Bimbang nanti doa saya itu DITENDANG TURUN kerana hati saya berubah dengan duit ini."
.
Penolakan saya bukan bermaksud saya nak tunjuk baik, cuma RISAU HATI SAYA TERCEMAR DEK SAMPUL ITU. Tambahan pula sefaham saya, doa bukan suatu PRODUK AGAMA yang patut diniagakan. Apatah lagi dipakej atau dikosmetikkan dengan KELEBIHAN LOKASI MULIA MEKAH MADINAH. Atau ditokok tambah dengan TESTIMONI KAMPUNGAN PEMAKBULAN DOA SI FULAN ITU DAN INI.
.
PEMAKBULAN DOA adalah hak mutlak Allah. Ia sangat cocok dengan nama Allah al-Mujib atau yang Maha memperkenankan doa.
.
Firman Allah: "Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi SENTIASA MEMPERKENANKAN PERMOHONAN HAMBANYA." (Surah Hud:61)
.
Hak ini pun tidak dimiliki oleh Rasulullah SAW. Firman Allah: "Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah." (Surah al-A'raf:188)
.
Memang dalam Islam disarankan berdoa dengan cara tertentu dan pada tempat tertentu, namun menjual atau mengeksploitasi tempat untuk "JUALAN PEMAKBULAN DOA" adalah suatu tindakan BIADAB yang seakan mencabar NAMA ALLAH AL-MUJIB.
.
Jika benar mahu berdoa kepada sesiapa yang berhajat, di Mekah, Madinah, atas bukit, di bulan atau di mana sahaja, usahlah dipakejkan dengan berbagai harga yang melampau. Berdoalah dengan ikhlas. IKHLAS ITU SEUMPAMA BATERI UTAMA DALAM DOA.



from Jom Dakwah http://ift.tt/2kWZG77
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment