Di dalam artikel sebelum ini, saya sudah kongsikan 3 perangkap iblis ke atas manusia dalam usahanya membawa manusia seramai mungkin untuk menjadi temannya di dalam neraka.
Dalam artikel kali ini, inshaaAllah saya akan habiskan hingga 7 perangkap tersebut. Mungkin ada yang bertanya, mengapa perlu tahu perangkap iblis ini. Jawapannya ialah, untuk mengalahkan musuh kita, kita perlulah tahu apa strateginya supaya kita tidak terperangkap dalam strategi musuh itu.
Jadi begitulah juga dengan iblis. Tujuan kita mengetahui perangkap-perangkap ini supaya kita tidak termasuk dalam perangkapnya. Ini kerana kita sudah jelas bahawa iblis adalah musuh kita selama-lamanya. Iblis tidak pernah berhenti walau sesaat untuk menyesatkan kita dari jalan Allah yang lurus.
Semoga artikel ini dapat mengingatkan kita, terutamanya diri saya, tentang perangkap iblis ini dan bahayanya kepada kita, inshaaAllah. Saya akan sambung artikel ini dengan perangkap iblis yang keempat.
Keempat: Dosa-Dosa Kecil
Sekiranya seseorang manusia itu dapat selamat dari melakukan dosa-dosa besar (seperti yang diterangkan dalam artikel yang lepas), iblis tidak akan berputus asa.
Perangkap seterusnya sedang mananti. Iaitu iblis akan berusaha sedaya upaya sehingga manusia itu melakukan dosa-dosa kecil. Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan dosa-dosa kecil?
Sebelum memahami tentang dosa-dosa kecil, kita kena tahu dulu apa itu dosa-dosa besar. Seperti yang telah disebutkan oleh Ibnu Jarir di dalam tafsirnya iaitu Tafsir At-Tabari, dari Ibnu Abbas radiallahu anhuma, yang dimaksudkan dengan dosa besar itu ialah setiap dosa yang diancam dengan neraka, terkena laknat, dimurkai, atau dikenakan dengan siksa.
Jadi dosa besar adalah termasuk dalam maksiat dan keharaman. Jika dosa tersebut diberikan ancaman akhirat dan dikenakan hukuman had di dunia, itulah yang disebut sebagai dosa besar. Sedangkan jika tidak diberi siksa dan ancaman, maka termasuk di dalam dosa kecil.
Yang dimaksudkan dosa besar berdasarkan definisi Ibnu Abbas, dosa besar itu akan diberikan azab atau siksa termasuk di dunia, samada hukum qisas atau hudud. Contohnya seperti hukum potong tangan kepada pencuri, hukum rotan 100 kali kepada penzina samada lelaki atau perempuan, hukum rejam kepada mereka yang menuduh wanita baik berzina, semua ini termasuk dalam dosa-dosa besar. Kerana ianya dikenakan hukuman had di dunia, atau dikenakan murka dan laknat Allah.
Maka, sekiranya sesuatu dosa itu tidak dikenakan dengan ancaman seperti di atas, maka ianya termasuk dalam dosa-dosa kecil.
Tetapi ada yang salah faham. Apabila dikatakan dengan dosa kecil, bukanlah bermaksud yang kita sewenang-wenangnya boleh melakukannya. Kerana dari dosa-dosa kecil itu boleh menjadi dosa besar. Bagaimana dosa kecil boleh bertukar menjadi dosa besar?
Jika adanya 4 ciri di bawah, dosa yang kecil itu boleh menjadi dosa besar.
- Dosa itu dilakukan secara terus menerus.
- Memandang remeh sesuatu dosa. Ingatlah jika kita memandang remeh sesuatu dosa, walaupun ianya dosa kecil, ianya akan menjadi besar disisi Allah. Dan begitulah sebaliknya.
- Mempamerkan sesuatu dosa.
- Dosa tersebut dicontohi dan dilakukan pula oleh orang lain.
Dan kalau kita tengok situasi masyarakat sekarang, dah terlalu banyak dosa-dosa kecil yang dilakukan secara terus menerus dan meremehkan dosa tersebut. Ingatlah bahawa ini juga termasuk di dalam perangkap-perangkap iblis.
Kelima: Disibukkan Dengan Perkara Yang Mubah (Dibolehkan)
Apakah maksud mubah? Mubah adalah status hukum terhadap semua aktiviti manusia di dalam Islam. Di dalam Islam, ada 5 status hukum yang kita tidak boleh lari darinya. Maksudnya semua amalan kita tidak akan lari dari 5 status hukum ini iaitu:
- Wajib
- Haram
- Sunat
- Makruh
- Mubah (harus)
Mubah ini ialah sesuatu amalan yang apabila dilakukan tidak diberikan pahala ataupun diancam dengan dosa. Contoh amalan yang mubah ialah makan, minum. bersukan, dan lain-lain.
Oleh kerana asalnya ianya tidak mendatangkan dosa, maka iblis akan menggunakan jalan ini bertujuan untuk melalaikan manusia. Cuba perhatikan, berapa ramai manusia yang telah dilekakan dengan perkara-perkara yang tidak memberikan faedah, bahkan ianya menjadikan kita lupa untuk melaksanakan amalan-amalan yang diwajibkan ke atas kita.
Sebagai contoh, berapa ramai yang meninggalkan solat kerana menonton bola di stadium? Berapa yang mendedahkan aurat atas alasan bersukan? Dan banyak lagi contoh-contoh yang boleh kita perhatikan berlaku dikalangan kita.
Keenam: Menyibukkan Diri Dengan Amalan Kurang Utama dan Meninggalkan Amalan Yang Utama.
Jika seseorang manusia itu dapat melepaskan dirinya dari perangkap yang kelima seperti di atas, maka iblis masih tetap tidak akan berputus asa. Akan dicubanya pula dengan perangkap yang keenam iaitu cuba untuk menyibukkan seseorang dengan amalan yang kurang utama berbanding amalan yang lebih utama.
Sebagai contoh, seseorang yang melakukan kebaikan kepada orang lain tetapi dalam masa yang sama mengabaikan atau tidak memperbaiki hubungannya dengan ahli keluarganya sendiri.
Contoh lain yang dapat kita lihat iaitu banyak sekarang ini jemaah-jemaah yang keluar dari daerahnya, bahkan negerinya atas tujuan untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat. Tetapi dalam masa yang sama, keluarganya sendiri masih terabai.
Bukanlah saya nak katakan berbuat baik kepada orang lain atau menyebarkan dakwah kepada masyarakat itu tidak baik, ianya baik, tetapi dahulukan yang lebih utama.
Apalah gunanya kita berbaik dengan jiran tetangga, tetapi dengan ahli keluarga sendiri, hubungannya tidak baik. Silaturrahim terputus. Apalah gunanya kita berdakwah kepada masyarakat luar, sedangkan orang yang dibawah tanggungjawab kita masih terabai amalannya, solatnya, auratnya, dan lain-lain.
Sebab secara kaedah ada disebutkan:
“Apabila bertembung diantara dua kemaslahatan, maka hendaklah dipilih kemaslahatan yang lebih utama”
Inilah licik dan halusnya tipudaya dan perangkap iblis ke atas manusia.
Ketujuh: Iblis Akan Melakukan Permusuhan Secara Terang-Terangan
Jika seluruh gangguan di atas tidak mampu menjadikan seseorang itu jauh dari Allah, maka iblis akan mengerahkan tenteranya baik dari kalangan manusia ataupun jin, mereka akan memusuhi, mengancam menakutkan dan sebagainya.
Inilah ujian yang sering di terima oleh para Nabi dan Rasul. Akan tetapi semua itu tidaklah akan membahayakan seseorang kecuali apa yang telah di tetapkan oleh Allah di dalam kitab-Nya. Allah berfirman:
Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, Kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (QS.4.An Nisaa:76)
Dengan apa kita melemahkan tipu daya syaitan?
1) Iaitu dengan ilmu syar’i yang mana ilmu ini adalah dari yang menciptakan Syaitan itu sendiri, kerana hanya dengan ilmulah akan dapat membezakan diantara yang haq atau batil, yang di bawa syitan dan bala tentaranya.
2) Kita berlindung kepada Allah.
3) Kita sentiasa berusaha untuk berzikir kepada Allah.
4) Kita memohon pertolongan kepada Allah.
5) Menjauhi apa sahaja jalan-jalan yang dapat membuka jalan untuk syaitan hampir kepada kita.
Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat kita gunakan untuk menyelamatkan diri kita dari perangkap-perangkap iblis. Sentiasa dekatkan diri dengan Allah dan mohonlah perlindungan dari-Nya.
Sumber: PI
from Jom Dakwah http://ift.tt/2hHRmZp
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment