Tuesday, 24 October 2017

Bencana Alam Ujian Allah

Related image



Dalam al-Quran Allah Azzawajalla menceritakan banyak tamadun manusia dimusnahkan oleh Allah melalui bencana alam. Antaranya kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan gempa bumi dan kaum 'Aad dimusnahkan dengan ribut taufan tujuh hari tujuh malam. Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum-kaum tersebut adalah kerana hukuman Allah SWT atas kekufuran dan kemungkaran mereka.

Dalam surah al-Ankabut ayat 40 Allah SWT berfirman bermaksud:

“Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri."

Peringatan ayat Allah SWT tersebut hendaknya menjadi pelajaran bagi kita bahawa akibat daripada kekufuran dan perbuatan maksiat yang dilakukan, akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah. Ketahuilah bahawa setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai tiga pengajaran yang berbeza. Bagi mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain merupakan peringatan bentuk kasih sayang dari Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya. Sedangkan bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa merupakan azab dan siksa dari Allah yang disebabkan oleh kekufuran dan kedurhakaan terhadap perintah Allah dan rasul-Nya. Dengan bencana juga, Allah hendak menunjukkan kepada manusia, mana antara orang yang benar keimanannya dan mana yang tidak.



Perlu difahami bahawa bencana alam juga boleh berlaku disebabkan daripada kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Demi wang ringgit bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembangunan dilaksanakan sesuka hati, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta tergugat .

Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 yangbermaksud:


“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Ayat ini menyatakan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah kepada alam semesta. Tindakan-tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan. Ini kerana, hubung kait antara manusia dengan alam sangat rapat sekali.



Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengurus dan mengurangkan kesan bencana alam perlu dilakukan. Di negara kita, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri adalah agensi utama yang menyelaras segala tindakan mengenai bencana alam, namun usaha tersebut perlu diperkukuhkan melalui sokongan dan kerjasama padu semua pihak.



Firman Allah swt yang berksud:

“Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?”. (Surah al-'Araf: 97-98)

Sumber : http://ift.tt/2gBXVwF



from Jom Dakwah http://ift.tt/2h4QoDE
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment