Sunday, 1 October 2017

Apakah Talbis Iblis & Bahayanya


Sesungguhnya musuh kita Iblis telah berjanji kepada Allah untuk menyesatkan seluruh manusia ini untuk dibawa bersamanya ke dalam neraka. Banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran yang merakamkan dialog diantara Iblis dan juga Allah s.w.t.

Antaranya:
1) Surah Al-A’raf ayat 16 hingga 17 yang bermaksud:
Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; (16) Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. (17)”
2) Surah Sod ayat 82 hingga 85 yang bermaksud:
Iblis berkata: Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, (82) Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan. (83) Allah berfirman: Maka Akulah Tuhan Yang Sebenar-benarnya dan hanya perkara yang benar Aku firmankan (84) Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya. (85)”
Oleh kerana janji inilah, kita perlu sangat berhati-hati di dalam setiap tindakan kita. Kerana Iblis dan pengikutnya (dari golongan jin dan manusia) akan setiap mencari ruang dan peluang untuk menjauhkan kita dari jalan Allah yang lurus.

Apakah Maksud Talbis Iblis?

Maksud talbis ialah menampakkan kebatilan itu dalam bentuk kebenaran. Jadi, talbis iblis bermaksud tipu daya yang dilakukan oleh Iblis dan pengikutnya sehingga manusia melihat suatu kebatilan itu sebagai kebenaran dan begitulah sebaliknya.
Kita perlu sedar bahawa sesungguhnya Iblis itu mempunyai terlalu banyak cara dan strategi untuk menyesatkan manusia. Kerana itu adalah matlamat dan tujuan hidup Iblis, iaitu untuk menyesatkan seluruh manusia dari jalan Allah.
Oleh kerana itulah, tidak sedikit dari kalangan manusia itu yang termasuk dalam perangkap Iblis. Tidak kiralah kita dari golongan mana sekalipun, pasti iblis mempunyai strategi untuk menyesatkan mereka. Menurut Imam Ibnu Jauzi rahimahullah, di dalam kitabnya Talbis Iblis, antara bentuk tipudaya dan golongan-golongan yang tidak terlepas dengan talbis iblis ini ialah:
  1. tipudaya iblis dalam masalah iktiqad (keyakinan) dan agama.
  2. tipudaya iblis terhadap ulama.
  3. tipudaya iblis terhadap pemerintah dan pegawai kerajaan.
  4. tipudaya iblis terhadap ahli ibadah dengan segala jenis ibadahnya.
  5. tipudaya iblis terhadap ahli zuhud.
  6. tiupudaya iblis terhadap ahli sufi.
  7. tipudaya iblis terhadap orang yang mengaku mendapat karamah dan ilham.
  8. tipudaya iblis terhadap orang awam.
  9. tipu daya iblis terhadap mereka yang berangan-angan tinggi.
Mungkin kita tertanya-tanya, bagaimana iblis melakukan tipudayanya ke atas manusia? Di sini saya nak kongsikan 7 tahap tipudaya yang akan iblis lakukan ke atas manusia. Matlamatnya hanya satu, iaitu untuk memastikan semua manusia menjadi temannya di dalam neraka.

7 Tahap Tipudaya Iblis

Pertama: Kesyirikan dan kekufuran
Ini adalah strategi iblis yang pertama dan utama. Iblis dan dan para pengikutnya akan berusaha sedaya upaya untuk menjerumuskan manusia ke dalam kekufuran dan mensyirikkan Allah.
Ini kerana iblis mengetahui bahawa syirik adalah satu dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah. Dan sekiranya manusia itu mati dalam keadaan mensyirikkan Allah, nescaya Allah tidak akan mengampunkannya. Allah berfirman di dalam Surah An-Nisa ayat 48 yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.”
Selain itu, amal-amal orang yang melakukan kesyirikan ini juga akan terhapus dan akhirnya dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Sebab itulah, iblis akan berasa sangat puas sekiranya dapat menjadikan seseorang itu kufur dan mensyirikkan Allah. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Az-Zumar ayat 65 yang bermaksud:
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.”
Inilah perangkap yang pertama sekali akan dilakukan oleh iblis ke atas manusia. Ini kerana jika iblis berjaya dengan strategi pertama ini, iblis sudah dapat tahu siapa temannya di dalam neraka nanti.
Kedua: Berbuat Bid’ah
Jika perangkap yang pertama tadi gagal, iblis akan mencuba pula strategi yang kedua ini. Strategi kedua ini juga tidak kurang bahayanya, iaitu perbuatan bid’ah. Mengapa iblis menggunakan strategi yang kedua ini? Ini kerana pelaku bid’ah merasakan apa yang mereka lakukan itu baik walaupun ianya perkara yang menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w.
Sebab itulah ahli bid’ah lebih disukai oleh iblis dari ahli maksiat. Mengapa? Kerana ahi maksiat lebih mudah untuk bertaubat kerana maksiatnya. Sedangkan ahli bid’ah tidak kerana mereka merasakan apa yang mereka lakukan adalah betul disisi agama.
Mari kita lihat hadis-hadis Nabi s.a.w berkaitan dengan amalan bid’ah.
Hadis 1
Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Barangsiapa membuat satu perkara baru dalam urusan kami ini (urusan agama) yang tidak ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak” (HR. Bukhari no. 2697 dan Muslim no. 1718)
Hadis 2
Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan berasal dari kami, maka amalan tersebut tertolak” (HR. Muslim no. 1718)
Hadis 3
Rasulullah s.a.w setiap kali apabila memulakan khutbahnya, Baginda akan mengucapkan:
“Amma ba’du. Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sejelek-jelek perkara adalah (perkara agama) yang diada-adakan, setiap (perkara agama) yang diada-adakan itu adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah kesesatan” (HR. Muslim no. 867)
Di dalam riwayat An-Nasa’i:
“Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tidak ada yang bisa menyesatkannya. Dan yang disesatkan oleh Allah tidak ada yang bisa memberi petunjuk padanya. Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sejelek-jelek perkara adalah (perkara agama) yang diada-adakan, setiap (perkara agama) yang diada-adakan itu adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah kesesatan dan setiap kesesatan tempatnya di neraka” (HR. An Nasa’i no. 1578, dishahihkan oleh Al Albani dalam Shahih wa Dha’if Sunan An Nasa’i)
Hadis 4
Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Aku wasiatkan kepada kalian untuk bertakwa kepada Allah, tetap mendengar dan ta’at kepada pemimpin walaupun yang memimpin kalian adalah seorang budak dari Habasyah. Karena barangsiapa di antara kalian yang hidup sepeninggalku nanti, dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka wajib bagi kalian untuk berpegang pada sunnah-ku dan sunnah Khulafa’ur Rasyidin yang mereka itu telah diberi petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham kalian. Jauhilah dengan perkara (agama) yang diada-adakan karena setiap perkara (agama) yang diada-adakan adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah kesesatan (HR. At Tirmidzi no. 2676. ia berkata: “hadits ini hasan shahih”)
Hadis 5
Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Sungguh Allah menghalangi taubat dari setiap pelaku bid’ah sampai ia meninggalkan bid’ahnya”  (HR. Ath Thabrani dalam Al Ausath no.4334. Dishahihkan oleh Al Albani dalam Shahih At Targhib wa At Tarhib no. 54)
Masih banyak lagi hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang memperingatkan perihal bid’ah. Tetapi apa yang perlu kita tahu, strategi bid’ah ini adalah strategi yang sangat disukai oleh iblis. Jadi berhati-hatilah kita agar kita tidak termasuk dalam perangkap iblis ini dengan melakukan amalan bid’ah.
Ketiga: Dosa-Dosa Besar
Jika seseorang itu terselamat dari perangkap yang pertama dan kedua, iblis akan cuba menjerat manusia agar masuk ke dalam perangkap ketiga, iaitu melakukan dosa-dosa besar. Ini kerana, mereka yang selalu melakukan dosa besar, lambat-laun kepercayaannya kepada Allah dan hari akhirat akan pudar sehingga akan membawa kepada kekufuran dan inilah yang sangat diharapkan oleh iblis.
Selain itu, dosa-dosa kecil yang akan diampuni oleh Allah juga tidak terampun selagimana seseorang itu berterusan melakukan dosa-dosa besar. Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah An-Nisa ayat 31:
“Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga)”
Diantara dosa-dosa besar ialah:
  • menderhaka kepada ibubapa.
  • berzina.
  • mencuri.
  • memakan riba.
  • berdusta.
  • memakan harta anak yatim.
  • tidak mengeluarkan zakat.
Akibat dari melakukan dosa-dosa besar ini akan menimbulkan titik hitam di dalam hati seseorang itu dan menjauhkannya dari ketaantan, melainkan ia segera sedar dan bertaubat kepada Allah di atas dosa-dosanya.
InshaaAllah, saya akan sambung lagi artikel ini dalam tulisan akan datang. Semoga tulisan ini memberikan manfaat kepada anda.
Sumber: PI


from Jom Dakwah http://ift.tt/2x7PMC9
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment