Di dalam kehidupan bermasyarakat, kita pasti diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Perselisihan atau pertelingkahan mungkin akan berlaku sekiranya masing-masing tidak memahami dan mengambil berat berkenaan kewajipan menjaga hubungan silaturrahmi sesama manusia. Malah pergeseran seperti ini boleh berlaku dengan lebih serius dan berpanjangan jika tidak ada kesedaran dalam diri kedua-dua belah pihak untuk memperbaiki semula hubungan yang telah lama terputus.
Perlu diingat bahawa, tanggungjawab untuk membina semula hubungan silaturrahmi yang terputus ini tidak hanya terletak kepada dua pihak yang bermusuhan sahaja, malah tanggungjawab ini juga terletak di atas bahu setiap daripada kita yang melihat supaya dapat meleraikan dan mendamaikannya tanpa membiarkan mereka terus menerus bermusuhan dan berlaga sesama sendiri. Oleh kerana itulah, kita mesti memainkan peranan yang sangat penting selaku orang tengah agar dapat meleraikan dan menyambungkan semula hubungan silturrahmi yang telah terputus kerana ia adalah merupakan perintah daripada Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
(Surah Al-Hujurat ayat 10)
Jika kita mengimbas kembali kisah peletakkan Hajar Aswad yang pernah menjadi pertelingkahan kabilah-kabilah arab suatu ketika dahulu, Rasulullah s.a.w sendiri pernah menjadi orang tengah untuk medamaikan dan meleraikan pertelingkahan yang berlaku antara mereka. Baginda dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka dengan adil dan bijaksana di mana akhirnya batu tersebut dapat diletakkan pada tempat asalnya tanpa memihak kepada mana-mana pihak. Selain itu, baginda juga turut mendapat pujian dan penghormatan yang besar dari kalangan ketua kabilah yang berselisih faham ketika itu.
Oleh itu, marilah kita berusaha untuk menjadi orang tengah di dalam meleraikan sesuatu pertelingkahan dan pergaduhan yang berlaku sesama manusia agar kita dapat memastikan hubungan silaturrahmi ini dapat dijaga dan dipelihara dengan baik sehingga ke akhirnya, InsyaAllah.
Sumber : http://mks.org.sg
from Jom Dakwah http://ift.tt/2z94CuD
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment