Tuesday, 29 August 2017

Masuk Angin Ketika Berpantang, Jangan Buat Main-Main, Segera Buat Langkah Ini!


Ramai daripada kita hari ni selalu sangat mengabaikan tempoh waktu berpantang. Selalu ambil mudah dan selalu bersoal jawab mengapa dan mengapa sesuatu perkara itu dilarang.

Itulah peel wanita muda hari ni. Sudahnya badan jadi lesu, tidak sihat dan akhirnya masuk angin, seram sejuk dan paling ditakuti jadi bentan!

Pun begitu ada wanita berpantang yang langsung tak ambil kisah akan hal ini. Tidak langsung takut kesannya dikemudian hari. Mungkin sekarang anda tidak rasa akan kesannya. Bila usia makin bertambah, jangan pula nanti menyesal!

Bagi ibu berpantang, masalah sakit kepala adalah perkara biasa. Namun jangan pula dibiarkan berlarutan masalah ini. Sakit kepala biasanya terjadi disebabkan ibu yang tidak cukup tidur kerana menyusukan bayi di malam hari. Ketidak stabilan hormon ditambah dengan rehat yang tidak mencukupi juga membuatkan suhu badan ibu berubah.

Kesan daripada selepas bersalin juga membuatkan susu badan ibu berpantang menjadi turun naik dan tidak stabil. Akibatnya wanita berpantang akan mengalami sakit kepala atau pening-pening. Petua orang lama jangan sekali ditinggalkan. Menurut orang tua-tua, petua menggunakan limau nipis mampu mengatasi masalah ini. Bagaimana?

1. Ambil buah limau nipis atau limau kasturi, potong dan gosokkan ke kulit kepala.

2. Biarkan sehingga kering kemudian barulah dicuci.

3. Lakukan langkah ini sebelum mandi pada waktu pagi.

4. Sebaiknya lakukan sebelum proses bertungku dilakukan.

5. Selesai bertungku dan air limau nipis di kepala kering, bolehlah terus mandi dan bilas seperti biasa.



Mandi dengan menggunakan air herba seperti biasa juga amat disarankan. Jika sakit kepala kerana suhu badan, ikat rambut anda ketat- ketat dan tinggi. Cara ini menyebabkan muka anda turut tegang dan dapat menghindarkan sakit kepala. Angin juga tidak dapat masuk.

Selebihnya berpantanglah seperti biasa. Pastikan ibu memperolehi rehat yang mencukupi untuk menjaga bayi anda. Jagalah diri sendiri kerana kelaknya kita juga yang akan menanggungnya di kemudian hari!

sumber: keluarga.my

from Jom Dakwah http://ift.tt/2vBHl2i
via Kuliah Islam

Ibu Ini Berjaya Didik 10 Anak Hafaz Al-Quran. Cukup Luar Biasa & Ketahui Tipnya!


Bukan calang-calang wanita, Puan Wirianingsih ini berjaya menjadikan 10 orang anaknya iaitu  Afzalurahman Assalam, Faris Jihady Hanifa, Maryam Qonitat, Scientia Afifah Taibah, Ahmad Rasikh ‘Ilmi, Ismail Ghulam Halim, Yusuf Zaim Hakim, Muhammad Syaihul Basyir, Hadi Sabila Rosyad dan Himmaty Muyassarah sebagai hafiz dan hafizah.

Semestinya usaha ini bukanlah semudah sebagai mana kita mengajar anak mengenal huruf alif ba dan ta. Pun begitu, itulah yang dilakukan oleh Wirianingsih dan juga suaminya Mutammimul Ula, yang berasal daripada Indonesia ini.

Ibu berusia 54 tahun ini juga turut  berkongsi tip bagaimana mendidik 10 anaknya hafaz al-Quran dalam buku 10 Bersaudara Bintang Al-Quran. Jadi jom semak untuk dijadikan panduan.

1.    Sejak kecil lagi sentiasa memperdengarkan bacaan al Quran pada anak-anak supaya mereka dibiasakan dan dekat dengan kitab suci ini.


2.    Menetapkan rutin khusus dalam keluarga. Selepas solat Subuh dan Maghrib masing-masing diwajibkan membaca al-Quran setiap hari. Tiada agenda lain boleh dilakukan oleh anggota keluarga di dalam rumah. Semua wajib membaca al-Quran kecuali jika berlaku urusan yang tidak dapat dihindarkan.


3.    Rela tidak mempunyai televisyen di rumah agar tiada pengaruh tidak elok pada anak-anak.


4.    Jelaskan hasrat ibu bapa yang ingin  memiliki anak yang hafaz al-Quran kepada anak-anak sejak kecil lagi. Walau pun pada awalnya anak-anak berasa seperti terpaksa namun apabila dewasa mereka memahami kepentingan malah keperluan untuk menghafaz al-Quran. Dalam hal ini katanya komunikasi baik dengan anak adalah cukup penting.


5.    Berikan hadiah sebagai ganjaran tiap kali anak berjaya menghafal beberapa juzuk al-Quran.


6.    Ibu bapa perlu utamakan kaedah mengajar, membuat pengulangan dan memilih sekolah yang menekankan program menghafal al-Quran.


Sumber : ragamanak.com

from Jom Dakwah http://ift.tt/2vBkPq3
via Kuliah Islam

Ustazah Nor Bahyah Mahmood Bagi 7 Pencerahan Tentang Jodoh Serasi. Sila Fahamkan!


Walaupun dah berkahwin lama hingga berbelas-belas tahun lamanya, kadang baru perasan yang kita tak serasi dengan pasangan. Ini bukan terjadi disebabkan sudah tidak lagi sefahaman tetapi mungkin disebabkan oleh beberapa perkara lain.

Serasi atau tidak, hanya kita yang mengetahuinya. Namun untuk membuktikan kita serasi atau tidak dengan pasangan kita atau bakal jodoh (bagi yang belum berkahwin), Ustazah Norbahyah Mahmood berkongsi 7 tanda bagi mengenal keserasian ini. Serasi ke tak jodoh kita? Jom periksa list ni.

1. Rasa bahagia dengan suami. Tiap kali berada bersamanya, kita akan sentiasa rasa gembira, sayang dan sentiasa rasa semuanya baik-baik belaka.

2. Boleh bertolak ansur walaupun berbeza sikap. Serasi tidak semestinya semua perkara sama dengan pasangan kita. Contoh isteri dan suami rajin, sama-sama suka masak dan lain-lain. Boleh bertolak ansur walaupun berbeza sikapnya, misalnya suami suka masak sementara isteri pula lebih suka kemas rumah. Kalau masing-masing boleh bertolak ansur macam ni, serasilah maksudnya.

3. Rasa tenang. Cuba check bakal suami kalau telefon rasa tenang tak. Bila kahwin pula kalau tengok muka dia kita rasa tak berserabut, rasa tenang dan tak rimas. Kalau suami telefon lagi kita rasa best!

4. Selalu ada di sisi kita lebih-lebih lagi dalam keadaan memerlukan. Kalau kita demam ke tak sihat dialah paling utama risaukan kita. Kalau dilanda masalah lagilah, dia orang pertama yang tampil selamatkan kita.

5. Kita rasa selamat bila berada di sisinya. Bila suami ada kat rumah, isteri rasa selamat. Bila duduk di rumah sentiasa rasa takut macam takutkan pada raksasa, itu kena nilai semula. Mungkin anda bukan pasangan yang serasi.

6. Perkenalan kita dengannya akan buat kita semakin dekat dengan Allah. Selepas berkahwin kita mula solat, pergi masjid, baca Al-Quran, tahajud, qiamullail bersama-sama pasangan. Kita berubah menjadi semakin dekat dengan Allah. Ini tandanya jodoh kita serasi.

7. Ketawa dan menangis pun bersama. Orang kata susah dan senang bersama-sama. Inilah keserasian hakiki dalam rumah tangga.

Jadi bagi yang dah lama berkahwin, kita kena nilai semula. Mana tahu kita boleh memperbaiki hubungan kita menjadi lebih baik untuk di masa akan datang.

Bagi yang belum berkahwin, periksa samada anda serasi atau tidak dengan bakal pasangan kita. Pilihlah jodoh yang baik, yang boleh memberi

kebahagian dunia dan akhirat. Pilihlah suami atau isteri yang mempunyai agama, keturunan, cantik atau kacak dan memiliki harta untuk menyara kita.

Ketahuilah bahawa Allah akan berjuang dan sentiasa akan menolong mereka yang berkahwin dengan niat untuk menjaga kesucian dirinya. Jadi tak perlulah risau akan disempitkan rezekinya selepas berkahwin.

Jadi serasi atau tidak, ingatlah bahawa kitalah yang menentukan hala tuju dan matlamat kebahagian dan keharmonian rumah tangga kita. Jadikan perkahwinan kita ini bahagia sampai syurga.

sumber: keluarga.my

from Jom Dakwah http://ift.tt/2vBRKLa
via Kuliah Islam

Jauhi Taklid Buta!

Image result for Jauhi Taklid Buta!


Al-Humaidi berkata, "Al-Imam Asy-Syafi’e menyebutkan hadith pada suatu hari, maka tiba-tiba ada seseorang bertanya kepada al-Imam Asy-Syafi’e, 'Wahai Abu Abdillah, apakah engkau mengamalkan hadits itu?!' Maka tiba-tiba al-Imam Asy-Syafi’e mengigil tubuhnya lalu berkata, 'Wahai seorang laki-laki, apakah kamu melihatku ini seorang Nasrani? Apakah kamu melihat aku keluar dari gereja? Apakah kamu melihat aku memakai ikat pinggang? Saya meriwayatkan hadits dari Nabi صلي الله عليه وسلم kenapa tidak saya mengamalkannya!'.. "

Dikeluarkan oleh al-Imam al-Baihaqi dalam Manaqib Asy-Syafi’e: 1/174 dan Abu Nu'aim dalam Hilyah al-Auliya': 9/106, dari jalan al-Humaidi. Dan juga al-Imam as-Suyuthi menyampaikannya dalam Miftah al-Janah Fil I’tishom Bi Sunnah hlm. 16.

Berdasarkan atsar ini dengan jelas menunjukan larangan bertaklid buta kepada seorang imam tertentu atau bertaklid buta kepada mazhab-mazhab tertentu. Apabila didatangkan kepada mereka hadith yang sahih maka mereka berpaling dan berkata
“Kami berada di atas mazhab al-Imam Asy-Syafi’e” ATAU
“Kami berada di atas mazhab Abu Hanifah”

Berdasarkan daripada atsar ini, jelas menunjukan sikap Imam Asy-Syafi’e. Bagaimana Imam Asy-Syafi’e memisalkan orang-orang yang meninggalkan (tidak mengamalkan) hadith Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam dengan nasrani dan orang-orang kafir. Semoga Allah menjauhkan kita dari kekufuran.

Firman Allah:
فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih. (Surah an-Nur: 63)

Hayatilah bagaimana sikap imam-imam mazhab dan nasihat mereka kepada orang-orang yang bertaklid buta.

Al-Imam Abu Hanifah, Nu’man bin Tsabit mengharuskan untuk mengambil hadith dan meninggalkan taklid kepada pendapatnya yang menyelisihi hadith tersebut, Katanya:

  1. “Apabila telah sahih sesuatu hadith maka itulah mazhabku”
  2. “Tidak halal bagi seseorang untuk mengambil semua ucapan kita, selagi dia tidak mengetahui dari mana kita mengambil ucapan tersebut” dan dalam riwayat yang lain beliau menyebut “Haram bagi orang-orang yang tidak mengetahui dalilku untuk berfatwa dengan ucapanku”

Al-Imam Malik bin Anas:

  1. "Saya adalah seorang manusia biasa, terkadang saya benar dan salah, maka lihatlah terhadap pendapatku kalau sesuai dengan al-Kitab dan as-Sunnah maka ambillah, jika menyelisihi al-Kitab dan as-Sunnah maka tinggalkanlah ucapan tersebut."
  2. "Tidaklah ada seseorang setelah Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam kecuali akan diambil dan ditinggalkan ucapannya, kecuali Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam."

Al-Imam Asy-Syafi’e:

  1. "Kaum muslimin telah bersepakat bahawa siapa saja yang telah jelas baginya sunnah dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam maka tidaklah halal dia meninggalkan sunnah tersebut kerana ucapan seseorang."
  2. "Jika kalian menjumpai pada kitab ku suatu pendapat yang menyelisihi sunnah Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam maka ucapkanlah dengan sunnah tersebut dan tinggalkanlah apa yang aku katakan."

Imam Ahmad:

  1. "Janganlah taklid kepada Malik, Asy-Syafi’e, dan al-Auza'i serta ats-Tsauri, tetapi ambillah dari tempat mereka mengambil."
  2. "Pendapatnya al-Auza'i, pendapatnya Malik, dan pendapatnya Abu Hanifah, maka semua itu hanya sekadar pendapat saja dan itu menurutku sama saja dengan pendapat yang lain. Yang dijadikan hujjah hanyalah atsar (hadits)."
  3. "Barang siapa yang menolak hadith maka dia berada di jurang kehancuran." (Lihat Ashlu Sifat Sholat Nabi karangan. Syaikh al-Albani: 1/23-32)

Sumber : http://ift.tt/2wfMS1j




from Jom Dakwah http://ift.tt/2x1kZeb
via Kuliah Islam

Andainya Al-Quran Berbicara

Image result for Andainya Al-Quran Berbicara


Andainya Al-Quran itu mampu berbicara, pastinya ia akan berkata, “Apa masih engkau ingat, sewaktu engkau masih kanak-kanak, engkau dan aku adalah sahabat sejati. Basah ‘lencun’ wajah dan baju mu mengambil wudhu’ kerana aku engkau sentuh dalam keadaan suci. Akulah yang engkau junjung di waktu senja dinihari, menyelusur belukar untuk sampai ke tangga surau untuk mengaji. Engkau memeluk ku erat agar tidak terjatuh, terhindar dari sebarang bentuk kekotoran. 

Aku engkau pelajari, engkau selak helaian ku satu persatu, membulatkan mata meneliti huruf-huruf yang tersusun indah pada ku, terkadang dengan suara yang lirih, terkadang pula menjadi keras, setiap hari tanpa jemu. Saat selesai engkau mengucup ku dengan penuh penghormatan dan kasih sayang.

Kini, engkau telah dewasa, adakah perasaan cinta mu itu tidak semarak dulu lagi? Adakah aku hanyalah sekadar bacaan usang atau tersisip sebagai lipatan sejarah kita? Atau mungkin kini membaca aku bagi mu langsung tidak membawa makna penambahan ilmu? Atau mungkin juga status ku hanyalah untuk anak-anak kecil yang belajar mengaji sedang engkau telah meningkat dewasa.

Aku tahu sayang mu kepada ku masih ada, kerana itu aku engkau simpan rapi sekali hingga kadangkala engkau terlupa di mana aku disimpan. Kadangkala engkau letakan aku di tempat yang sentiasa menjadi lintasan mata mu, lalu engkau menatap aku sebagai perhiasan indah di dalam kamar rumah mu.

Masih aku ingat lagi satu ketika dahulu engkau jadikan aku sebagai hantaran perkahwinan sebagai tanda cinta engkau kepada isteri mu. Dan satu ketika engkau jadikan aku sebagai tangkal untuk menakut-nakutkan hantu dan syaitan dari rumah mu, tetapi bukanlah sebagai bahan bacaan engkau dan keluarga mu seperti mana yang sepatutnya engkau lakukan kepada ku.

Satu ketika dahulu, seawal pagi seusai solat subuh, beberapa surah yang ada pada ku engkau baca. Sebelah petangnya seusai solat maghrib, aku engkau baca bersama sahabat-sahabat mu... tetapi kini, seawal pagi engkau lebih memilih untuk membelek-belek akhbar helaian demi helaian, dan bila pulang dari kerja, jemari mu galak pula menekan butang alat kawalan jauh memilih siaran televisyen kegemaran mu, berjam-jam lamanya engkau duduk di situ.

Waktu lapang mu, engkau sempat untuk menelaah buku-buku karangan manusia, sedangkan aku... aku yang berisi dengan ayat-ayat Yang Maha Pencipta, Yang Maha Perkasa, engkau campak dan engkau abaikan dan engkau lupa. Hinggakan ketika engkau melakukan sesuatu juga engkau lupa untuk mengucapkan pembuka surah-surah ku.

Dalam perjalanan ke tempat kerja, engkau lebih asyik dengan layanan dan nikmat muzik duniawi, tidak ada kaset, CD yang berisi ayat Allah yang terdapat pada ku di laci kenderaan mu. Sepanjang perjalanan, radio mu akan selalu tertuju kepada stesen-stesen muzik kegemaran mu. Aku tahu jika itu bukanlah stesen radio yang senantiasa melantunkan ayat yang ada pada ku. Malahan di meja kerja mu juga tidak ada aku untuk engkau baca sebelum engkau memulakan kerja.

Sambil melakukan kerja, engkau putarkan muzik kesukaan mu dari komputer pejabat. Jarang sekali engkau melantunkan ayat-ayat yang ada pada ku. Tak kala engkau menerima e-mel dari sahabat mu yang berisi ayat-ayat yang ada pada ku, lantas engkau abaikan. Engkau terlalu sibuk dengan urusan dunia mu. Benarlah dugaan ku, bahawa engkau telah benar-benar melupakan aku.

Kini aku telah banyak tersingkir dari rutin harian mu, terbiar tidak dibaca, kesepian di dalam laci, di atas almari, aku engkau pendamkan.

Masa berlalu pantas, aku semakin kusam di dalam tempat simpanan ku, mengumpul debu dilapisi abu mungkin juga telah dimakan kutu. Seingat aku, hanya awal Ramadhan engkau akan membaca ku kembali. Itu pun hanyalah seberapa lembar dengan suara yang tidak lagi semerdu dulu. Sekarang engkau tergagap-gagap dan tidak lagi selancar dulu. Adakah akhbar, televisyen, radio, komputer dapat memberikan pertolongan kepada mu nanti?

Ingatlah, apabila sendirian engkau di dalam kubur menunggu hari kiamat tiba. Engkau akan diperiksa oleh malaikat suruhan Nya. Hanya dengan ayat-ayat Allah yang ada pada ku, engkau dapat selamat daripadanya.

Sekarang, masa berlalu bagi mu tidak memberi apa-apa erti, setiap saat yang lalu tidak engkau rasai. Walhal umur mu semakin berkurang, sedang kubur menunggu-nunggu engkau untuk pulang. Boleh jadi sebentar lagi waktu untuk engkau pulang menemui Tuhan mu, bila-bila masa ia pasti berlaku. Malaikat maut datang mengetuk pintu rumah mu.

Mengapa aku tidak engkau baca selalu dan engkau hayati? Sedangkan di kubur mu nanti, aku akan datang sebagai pemuda gagah yang tampan. Datang untuk membantu engkau untuk membela diri. Bukan akhbar yang engkau baca yang akan membantu mu atau muzik-muzik yang engkau selalu putarkan, bukan juga drama-drama di televisyen. Tetapi aku, Al-Quran kita suci mu, yang sentiasa setia menemani dan melindungi mu.

Kembalilah, sentuh lah aku kembali, bacalah aku setiap hari. Kerana ayat-ayat yang ada pada ku adalah ayat suci, yang berasal dari Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui yang disampaikan oleh Jibril kepada Muhammad, Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Keluarkanlah aku, dari almari, dari laci, dari tempat-tempat simpanan mu. Jangan lagi lupa membaca aku ke mana sahaja untuk dibaca, di tempat kerja, di luar semasa liburan, di dalam kenderaan mu. Letakan aku selalu di atas meja kerja mu. Agar engkau sentiasa mengingati Tuhan mu. Sentuhlah aku kembali, bacalah dan pelajarilah aku, setiap pagi, setiap petang... seperti dulu. Seperti dulu, sewaktu engkau masih kecil, polos, surau di kampung mu yang tenang dan damai. Janganlah engkau biarkan aku terus sendiri, dalam bisu dan sepi.

Sumber : hanifabdmajid.blogspot.my



from Jom Dakwah http://ift.tt/2xKevNR
via Kuliah Islam

Benarkah Tiada Solat Sunat Taubat?

Image result for Solat Itu Dapat Mencegah Seseorang Daripada Melakukan Dosa dan Maksiat


Taubat atau dalam Bahasa Arabnya juga تَوْبَة (taubah) berasal dari perkataan تَوَبَ (tawaba) yang dari segi bahasa bermaksud kembali. Seseorang itu dikatakan تابَ(taaba – telah bertaubat) sekiranya dia telah kembali dari melakukan dosa atau telah meninggalkan dosa itu.

Adapun dari sudut istilah, apabila dikatakan seseorang itu telah bertaubat maksudnya dia telah kembali dari melakukan maksiat atau dosa terhadap Allah untuk dia mentaati Allah. Jadi jelas kaitan di antara maksud taubat menurut bahasa dan juga istilah Syaraknya.

PERINTAH BERTAUBAT

Adapun tentang bagaimana perintah Syarak kepada kita sebagai manusia untuk bertaubat, hal ini memang jelas dan banyak disebutkan dalam nas-nas Al-Quran dan juga Sunnah. Antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman semoga kamu berjaya.”(Surah Al-Nur, 24: 31)

Dalam Surah Al-Zumar ayat ke-53 Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Katakanlah wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas ke atas diri mereka; janganlah kamu berputus harapan dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa-dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Zumar: 53)

Dalam ayat ini Allah memberi peringatan kepada hamba-hambaNya yang melampaui batas ke atas diri mereka; melampaui batas iaitu dengan melakukan dosa-dosa dan maksiat.

Juga firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat ke-135,

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

“Dan mereka (orang-orang beriman) apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka segera ingat akan Allah lalu meminta keampunan terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa selain Allah? Dan mereka tidak terus menerus dalam perbuatan dosanya itu, sedang mereka mengetahui (kesalahan dan akibat dari dosa itu).” (Surah Ali Imran: 135)

Jika dalam ayat sebelum ini Allah memilih perkataan mereka yang ‘melampaui batas’, dalam ayat ini pula Allah mengatakan mereka yang telah ‘menzalimi diri mereka’. Mungkin kita tidak perasan; apakah maksud orang yang menzalimi diri mereka? Orang yang menzalimi diri mereka adalah orang yang melakukan dosa dan maksiat. Bagaimana dia menzalimi dirinya?

Dia menzalimi diri sendiri kadangkala tanpa kita sangka. Barangkali ketika melakukan perbuatan maksiat itu dia bersuka ria dan berseronok dengannya. Tetapi realitinya dia menzalimi diri sendiri kerana perbuatan itu menambahkan dosanya dan paling tidaknya di Akhirat nanti dia mendapat balasan buruk iaitu Api Neraka. Perbuatannya akhirnya membawa mudarat dan binasa kepada dirinya. Itu yang dimaksudkan menzalimi diri.

Tiga ayat ini sudah memadai di mana faedah yang dapat diambil dari ketiga-tiga ayat ini cukup banyak. Antara faedah yang dapat kita sebutkan;

1. Kewajipan taubat. Seperti mana firman Allah,وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا (dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah). Sepertimana sedia maklum, para Ulama menjelaskan bahawa sekiranya ada perintah dari Syarak sama ada dari Al-Quran atau Hadis, bererti hukumnya adalah wajib. Jadi apabila Allah mengatakan bertaubatlah kamu sekalian, itu merupakan satu perintah dan perintah membawa makna wajib. Maka hukum bertaubat adalah wajib.

2. Taubat menjadi kunci kejayaan. Seperti mana Allah berfirman لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (semoga kamu berjaya). Jadi sesiapa yang ingin tahu apa kunci kejayaan untuk hidupnya di dunia apatah lagi di Akhirat, jawapannya antara lain adalah dengan bertaubat.

3. Jangan berputus harapan dari rahmat Allah walau sebanyak dan sebesar mana pun dosa yang pernah dilakukan. Walau apapun maksiat yang kita lakukan, dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, baik perkara-perkara maksiat, bidaah, khurafat yang mungkin selama ini kita amalkan dan kita percaya, jangan berputus harapan bahawa pintu taubat terus terbuka.

Bahkan walaupun perkara-perkara kufur atau syirik sekalipun, misalnya orang kafir yang menyembah selain Allah, mensyirikkan Allah, tentu sahaja dia juga boleh bertaubat. Ini kerana Allah berfirman, إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا (Sesungguhnya Allah mengampunkan kesemua jenis dosa-dosa). Tidak ada dosa yang dikecualikan dari pengampunan Allah. Jadi janganlah berputus harapan dari mendapat keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

4. Sifat orang beriman adalah sentiasa mengawasi dirinya, memerhatikan tindak tanduknya, atau secara ringkasnya sentiasa bermuhasabah. Firman Allah, maksudnya: “Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka, mereka ingat kepada Allah.” Ingat kepada Allah maknanya sentiasa muhasabah.

Dia tidak sibuk tentang orang lain, dia lebih pentingkan dirinya kerana dia bertanggungjawab ke atas dirinya dulu sebelum orang lain. Dia sentiasa muhasabah kerana dia mengetahui, yakin dan percaya bahawa sehebat mana pun dirinya pasti dia ada kesalahan dan kesilapan seperti mana disebut dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

كُلُّ بَنِي آدَم خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ

“Setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang-orang yang bertaubat.” (Hasan. Riwayat Ahmad)

Ini adalah sifat orang yang beriman kerana orang yang sesat lagi menyimpang sifatnya terbalik sama sekali. Kita perhatikan apa sifat orang menyimpang, semoga kita tidak tergolong dalam orang yang mempunyai sifat ini. Firman Allah dalam Surah Al-Kahf ayat ke-103 hingga 104,

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِاْلأَخْسَرِينَ أَعْمَالاً الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

“Mahukah kalian kami ceritakan tentang mereka yang telah rugi di dalam amal perbuatan mereka? Iaitu mereka yang telah sesat lagi menyimpang dalam usaha mereka semasa hidup mereka di dunia sedang mereka menyangka apa yang mereka lakukan itu adalah baik.” (Surah Al-Kahfi. 18: 103-104)

Ini sifat orang-orang sesat. Adakah orang sesat lagi menyimpang mengaku bahawa mereka sesat? Bahkan terbalik, semua orang yang sesat lagi menyimpang mengatakan bahawa apa yang mereka buat adalah betul. Bahkan mereka mengatakan apa yang mereka buat itu baik. Ini biasa kita dengar.

Sedangkan realitinya ia tidak baik kerana ia menyalahi Syariat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini adalah sifat orang yang tidak sedar diri, tidak sedar akan kesalahan dan dosa yang mereka lakukan. Kalau tidak sedar, adakah harapan untuk dia bertaubat? Jauh sekali kerana dia merasakan apa yang dia buat itu betul. Inilah yang dapat kita lihat pada pelaku bidaah secara khasnya. Mereka menyangka apa yang mereka lakukan adalah baik-baik belaka.

5. Orang yang beriman antara sifatnya apabila melakukan salah silap, dia akan cepat ingat kepada Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana orang yang beriman mengetahui bahawa salah silap yang dilakukan itu perlu kepada taubat dan taubat yang dilakukan itu tidak lain dan tidak bukan hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dia hanya bertaubat kepada Allah dan sama sekali dia tidak akan kembali kepada selain Allah.

Dia tidak akan meminta keampunan daripada mana-mana Syaikh atau wali, dia tidak akan meminta keampunan daripada mana-mana orang yang telah mati, nenek moyang atau sesiapa. Dia tidak akan mendatangi mana-mana perkuburan untuk meminta keampunan.

Jika orang Kristian Katolik ada confession, di mana seseorang itu masuk ke dalam sebuah bilik, paderi di sebelah, dia menceritakan dosanya dan paderi itu pun mendengar, kemudian dosanya pun diampunkan, tetapi tidak ada praktik sebegitu dalam Islam. Tidak ada mana-mana Ustaz, ulama dan sebagainya yang dapat mengampunkan dosa sesiapa kerana itu hanya milik Allah Subhanahu wa Ta’ala. Bahkan Nabi atau Rasul sekalipun tidak akan mempunyai kuasa untuk mengampunkan dosa sesiapa pun. Kita sedia maklum bahawa Nabi sendiri tidak dapat menyelamatkan bapa saudaranya.

6. Orang yang beriman tidak akan terus menerus dalam melakukan dosa dan salah silap. Sebaliknya dia akan cepat-cepat kembali ke pangkal jalan apabila menyedari kesalahannya. Dia tidak akan terus melakukan kesalahan itu; baik maksiat, bid’ah, khurafat, apatah lagi kufur dan syirik. Sebaliknya dia cepat-cepat meninggalkannya, berhenti daripadanya dan berlepas diri daripadanya. Maka perlu kita ingat, kalau kita sudah sedar sesuatu kesalahan di mana sebelum itu mungkin kita sangka betul, kita kena cepat berlepas diri daripadanya. Contohnya muzik, bahkan ada satu istilah iaitu muzik Islam.

Kita telah tekankan banyak kali bahawa tidak ada istilah muzik Islam seperti mana tidak ada istilah syaitan Islam. Muzik adalah alunan Syaitan, seperti mana Al-Quran adalah Kalamullah. Tidak boleh disamakan antara Al-Quran dengan muzik. Al-Quran itu daripada Allah, muzik itu daripada Syaitan. Al-Quran itu pahala, muzik itu dosa. Tidak ada istilah dosa Islam, tidak ada istilah Syaitan Islam, maka tidak ada istilah muzik Islam.

Perkara-perkara bidaah; kalau sebelum ini kita jahil, tidak tahu, tetapi pada hari ini kita sudah tahu, contohnya yasinan, tahlilan, talqin, marhaban, barzanji, dan macam-macam lagi perkara bidaah, kalau kita sudah sedar bahawa ini semua tidak boleh dan bukan datangnya dari ajaran Islam, tanggungjawab kita adalah jangan kita main-main lagi. Jangan kita kata “aku duduk je” dalam majlis bidaah dan seumpamanya.

Siapa yang memberi keamanan kepada engkau bahawa rumah itu tidak akan runtuh ke atas engkau, sedang engkau berada di majlis yang dimurkai oleh Allah. Majlis-majlis seperti ini sudah tentu tidak diredhai oleh Allah. Maka kalau dia sudah tahu, dia kena cepat-cepat berhenti dan berlepas diri daripadanya.

CARA BERTAUBAT DAN BERLINDUNG DARI DOSA

Jika dosa yang dilakukan itu adalah akibat dari kejahilan dan kealpaan, kerana tidak tahu bahawa ianya dosa, atau sebelum itu dia menyangka ianya baik, maka cara bertaubat daripadanya adalah dengan menuntut ilmu. Adapun sekiranya dosa yang dilakukan itu adalah kerana tertewas dengan nafsu syahwat atau kerana terikut dengan hawa nafsu, cara bertaubatnya adalah dengan bersabar dan mengharapkan pahala dari kesabaran itu.

Lihat bagaimana Syarak memelihara seseorang itu dari terjebak dalam kancah dosa atau maksiat. Syarak antara lain menuntut supaya seorang itu berwuduk, ataupun solat, ataupun berpuasa. Seperti mana dalam hadis di mana seorang itu kalau hendak menghindari dirinya dari bertindak atas kemarahan yang tentunya akan membawa kepada dosa, Syarak menuntut supaya dia berwuduk.

1. Solat juga mampu mengekang seseorang itu dari terjebak kepada dosa. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ

“Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat.” (Surah Al-Baqarah, 2: 45)

Begitu juga dalam ayat yang lain, firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ

“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan munkar.” (Surah Al-Ankabut: 45)

Ini semua untuk mengelakkan kita dari terjebak ke dalam kancah dosa dan juga maksiat.

2. Berlindung dengan Allah. Ini kerana barangsiapa yang mencari perlindungan dengan Allah di mana dia kembali kepada Allah, tentu sahaja Allah akan membantu dan menolongnya untuk menewaskan dua musuh ketatnya yang sentiasa berdamping dengannya untuk memusnahkan dirinya; iaitu nafsu dan juga Syaitan. Seperti mana firman Allah,

إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ

“Kerana sesungguhnya nafsu itu sentiasa mendorong kepada kejahatan.” (Surah Yusuf, 12: 53)

Seperti kita sedia maklum, syaitan juga adalah musuh ketat manusia. Jadi bagaimana kita hendak berlindung daripada dua musuh ini adalah dengan kembali kepada Allah seperti mana firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat ke-101,

وَمَن يَعْتَصِم بِاللهِ فَقَدْ هُدِىَ إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

“Dan barangsiapa yang berlindung dengan Allah, sungguh dia diberi petunjuk ke jalan yang benar.”(Surah Ali Imran, 3: 101)

3. Perlu ada perasaan takut bahawa akan dipercepatkan kepadanya balasan perbuatan dosanya itu di dunia; iaitu dia mungkin diharamkan dari memperoleh rezeki kerana dosa yang dilakukan, atau ditimpa kemiskinan dan penyakit sekiranya dia terus menerus melakukan perbuatan dosanya itu.

4. Memperelokkan makan minumnya, iaitu hanya menjamah makan dan minuman yang halal. Ini sangat penting dan Alhamdulillah masyarakat kita memberi kepentingan pada perkara ini, mereka sentiasa memastikan adanya tanda halal pada makanan. Namun ini tidak menghalang kita untuk terus memperkemaskan dan menjaga perkara ini. Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyebut,

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِىَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

“Seorang lelaki yang dalam perjalanan jauh (bermusafir) sehingga rambutnya menjadi kusut dan badannya berdebu (tertekan dan kesusahan), dia mengangkat kedua tangannya ke langit lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan rezekinya dari sumber yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?” (Riwayat Muslim)

Ini doa secara umumnya, maka begitu jugalah dalam kita hendak bertaubat. Bagaimana kita hendak meminta supaya Allah menerima taubat kita dan mengampuni dosa kita kalau kita terus menerus bergelumang dalam dosa, menjamah makanan dan minuman yang haram, pakaian haram, dan sumber rezeki juga haram.

5. Menjaga dengan siapa kita berkawan dan bersahabat. Kita perlu beri perhatian pada perkara ini kerana saya melihat adanya kelalaian dalam perkara ini secara khasnya. Perlunya kita menjauhkan diri kita dari teman-teman yang buruk. Ini kerana banyak keadaan di mana teman-teman kita inilah yang membawa kita kepada dosa atau membuat kita terus di dalam dosa.

Akibat tersalah memilih kawan, akibat duduk dengan kumpulan yang tidak baik membuatkan kita terjebak dengan dosa dan sehingga kita terus menerus di dalam dosa kerana kita mengekalkan kawan-kawan yang tidak baik ini. Ini seperti mana yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ ، فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً ، وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَة

“Permisalan teman yang baik dan buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Adapun penjual minyak wangi, sama ada dia akan menghadiahkan kamu wangiannya, atau kamu akan membeli darinya atau kamu akan mendapat bau harum darinya. Adapun tukang besi, sama ada dia akan membuat pakaianmu terbakar, atau kamu akan mendapat bau yang busuk.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka perhatikan teman kita, adakah dia seperti penjual minyak wangi atau adakah dia seperti tukang besi. Penting bagi kita menjaga dengan siapa kita bergaul. Adakah kita bergaul dengan orang-orang yang baik, orang saleh, orang sunnah, atau adakah kita bergaul dengan orang-orang yang tidak baik, orang-orang yang buruk, orang-orang yang melakukan maksiat, atau orang-orang yang melakukan bid’ah, atau Khawarij.

Dari hadis yang disebutkan, dapat dibuat satu kesimpulan bahawa seseorang itu mudah terpengaruh dengan persekitarannya. Sekiranya persekitarannya baik, dia akan mendapat faedahnya. Sepertimana kalau persekitarannya buruk, kawan-kawannya buruk, kampung halamannya buruk, kawasan tempat tinggalnya buruk, tidak ada masjid contohnya – dukacitanya ini banyak berlaku di kawasan orang kaya-kaya. Rumah besar-besar, kawasannya luas, tetapi masjidnya tidak ada.

وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعاً

“Dan mereka menyangka bahawa mereka sedang hidup dengan sebaik-baiknya.” (Surah Al-Kahfi, 18: 104)

Syarak menitik beratkan persekitaran. Oleh kerana itu, Syarak turut menegah kita meniru orang kafir, seperti mana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

وَمَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Barangsiapa menyerupai suatu kaum maka dia tergolong daripada mereka.” (Sahih. Riwayat Ahmad)

Maka kalau seseorang itu menyerupai orang kafir, Rasulullah berkata dia tergolong daripada kaum itu. Na’uzubillah.

Di situ terdapat tegahan dan larangan dari kita menyerupai orang kafir sama ada dari segi tingkah laku, tatacara, bahkan pakaian sekalipun kita perlu berhati-hati. Barangkali ada yang bertanya apa masalahnya? Kita katakan, ia bermula secara zahir, tetapi akan memberi kesan kepada hati.

Barangkali pada mulanya kita menyerupai mereka dari segi tingkah laku, contohnya orang kafir apabila bertemu sesama mereka mengucapkan “Hi! Hello!” kita pun meniru mereka, melupakan memberi salam dan mengucapkan Hi, Hello, Good Morning, Selamat Pagi dan sebagainya menyerupai amalan orang kafir. Ia bermula dengan perkara sekecil itu tetapi akhirnya akan terkesan dalam jiwa. Pada mulanya dia menyerupai orang kafir secara zahir, tetapi percayalah, kalau dia tidak bertaubat daripadanya, lambat laun dia akan menyerupai orang kafir secara batin. Dia menyerupai orang kafir seperti mana orang kafir.

Begitu juga Syarak melarang orang Islam untuk tinggal di negara Kafir. Hal ini seperti mana hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan,

أَنَا بَرِيءٌ مِنْ كُلِّ مُسْلِمٍ مُقِيمٍ بَيْنَ أَظْهُرِ الْمُشْرِكِينَ

“Aku berlepas diri daripada semua orang Islam yang tinggal bersama-sama dengan orang-orang musyrikin.” (Sahih. Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Hadis ini sangat jelas, tidak ada ruang untuk takwil. Ini sangat penting dan sangat bahaya kerana dukacitanya kita melihat ramai yang mengambil mudah hal ini. Berapa ramai orang Islam tinggal di negara orang kafir, dengan gembiranya lagi. Kenapa dilarang umat Islam tinggal di negara kafir? Sebabnya sama; kerana persekitaran akan memberi kesan kepada seseorang itu.

Maka akhirnya kita melihat rata-rata orang Islam yang tinggal di negara orang kafir adakah masyaAllah mereka menjadi orang-orang saleh belaka? Jangan kita lihat pada minoriti. Dari persoalan kita, apa jadi kepada majoriti orang Islam yang tinggal di negara orang kafir? Adakah janggutnya panjang, memakai jubah, kopiah, wanitanya pula memakai purdah, jubah, anak-anaknya pula menghafal Al-Quran, adakah begitu?

Jangan kita tipu diri kita. Majoriti mereka terbalik. Sekali pandang nampak sama, si Ali sama dengan si John. Kita tidak tahu hendak bezakan. Kita hendak beri salam pun kita tidak tahu orang itu Islam atau bukan Islam. Ini realitinya.

Begitu juga Syarak menegah daripada duduk bersama dengan orang-orang yang sesat lagi menyimpang. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-An’aam ayat ke-68. Allah berfirman,

فَلاَ تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَى مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

“Dan janganlah kamu terus duduk bersama kaum yang zalim setelah datang kepadamu peringatan.” (Surah Al-An’aam, 6: 68)

Ini juga perlu menjadi peringatan kepada kita khususnya kepada kita yang cinta kepada Sunnah Nabisallallahu ‘alaihi wasallam, yang ingin mendokong sunnah Nabi dan menjauhi perkara-perkara khurafat, bidaah dan sebagainya.

Maka kalau kita sudah tahu bahawa perkara ini dilarang dalam Syarak, perkara ini maksiat, perkara ini bid’ah, bercanggah dengan Sunnah Nabi, maka jangan sama sekali kita ambil mudah lagi. Jangan kita duduk juga dalam majlis tahlilan. Jangan kita masih lagi memberi alasan “aku tak tahlil, aku duduk je”. Untuk apa kamu duduk, adakah untuk mendapat berkat? Hendak ambil hati? Ambil hati siapa? Adakah kita ingin mengambil hati orang-orang bid’ah dan menarik kemurkaan Allah? Adakah kita sanggup buat begitu? Kerana apa yang pasti, Allah memurkai majlis-majlis yang seperti ini, halaqah-halaqah yang seperti ini. Sekarang ada halaqah-halaqah baru; halaqah Ya Hanana, Ya Banana. Ini apa? Mana ada majlis-majlis seperti ini (dalam Islam). Apa yang pasti majlis-majlis seperti ini bukan majlis zikir, tetapi lebih kepada majlis-majlis nyanyian dan joget yang dimurkai oleh AllahSubhanahu wa Ta’ala.

Apakah kita masih lagi mampu merasa aman untuk duduk di dalam majlis-majlis seperti ini? Dikhuatiri tidak semena-mena kita terikut-ikut dengan apa yang dinyanyikan kerana betapa mudahnya kita terkesan dengan persekitaran.

Dukacitanya, manusia tidak mengambil perhatian tentang hal ini. Dia menjaga persekitaran, tetapi persekitaran zahir semata. Kita semua setuju bahawa tidak ada siapa yang hendak duduk dengan penagih dadah kerana khuatir nanti kita pun jadi penagih dadah. Anak-anak kita, adik-adik kita, kalau ada orang hisap rokok kita kata jangan duduk dengan dia kerana kita khuatir anak-anak dan adik-adik kita akan hisap rokok. Ini kita faham. Sedangkan mudaratnya tidak lebih daripada mudarat fizikal. Adapun mudarat kepada spiritual, akidah, agama, dan akhlak, kita tidak memberi kepentingan. Sedangkan tentu sahaja mudarat agama jauh lebih bahaya daripada mudarat fizikal seperti bergaul dengan penagih dadah dan penghisap rokok.

6. Berlindung dengan Allah dari Syaitan yang direjam seperti mana dalam surah Al-Fussilat ayat ke-36,

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“Dan jika engkau dihasut dengan hasutan syaitan maka hendaklah engkau meminta perlindungan Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Fussilat, 41: 36)

TIDAK ADA SOLAT SUNAT TAUBAT

Tidak ada istilah solat sunat taubat, seperti mana tidak ada istilah solat hajat. Kerana apa yang pasti, para sahabat seperti mana dalam kisah Ka’ab bin Malik dan dua rakannya yang tidak menyertai Rasulullah dalam peperangan Tabuk, mereka bertaubat dan apa yang pasti Rasulullah tidak menyuruh mereka melakukan solat sunat taubat.

Taubat itu adalah dengan kita meminta keampunan daripada Allah secara umum. Tidak ada kaedah-kaedah tertentu atau waktu-waktu tertentu yang dikhaskan. Walau bagaimanapun ada waktu-waktu yang mustajab di mana dia boleh mengambil kesempatan dari waktu-waktu mustajab itu untuk bertaubat; seperti ketika sujud, sepertiga malam yang terakhir, hari Jumaat, dan seumpamanya.

TANDA-TANDA TAUBAT DITERIMA

Perlu kita ketahui bahawa taubat tidak cukup hanya dengan melafazkan dan meminta taubat daripada Allah. Sebaliknya, taubat itu dianggap sebagai taubat yang benar apabila disusuli dengan tindakan-tindakan yang perlu diambil bagi menunjukkan seseorang itu benar-benar telah bertaubat.

Maka kita lihat, apakah tandanya bahawa taubat seseorang itu diterima;

1. Setelah bertaubat, seseorang hamba itu menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Ini tanda yang paling kuat dan jelas. Sesudah bertaubat, keadaan orang itu berubah. Kalau sebelumnya dia melakukan maksiat, setelah taubat dia menjadi orang yang saleh. Kalau sebelumnya dia melakukan bidaah, sekarang dia melakukan perkara sunnah. Kalau sebelumnya dia melakukan perkara khurafat atau kufur dan syirik, sekarang dia mempraktikkan Tauhid dalam ertikata yang sebenarnya.

2. Terus diselubungi rasa takwa dan takut terhadap dosanya dan tidak pernah merasa aman dari siksa Allah walau sekelip mata. Jangan timbul perasaan merasa cukup dengan taubat yang dilakukan, atau jangan terlintas dalam fikiran bahawa aku sudah bertaubat maka habis cerita. Seolah-olah taubat itu pasti sudah diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kita bertanya, dari mana datang keamanan itu? Apakah kita pasti bahawa taubat kita telah diterima?

Tidak ada sesiapa yang boleh menjamin dan berkata kepada kita “Ya, taubat engkau telah diterima.” Maka kerana itu, merasa aman dengan taubat yang dilakukan perlu kepada taubat. Ini kerana perasaan seperti itu sendiri merupakan satu dosa.

3. Berhenti dan berlepas diri dari dosa yang dilakukan kerana penyesalan dan rasa takut. Dia tidak mengulanginya lagi dan menyesal dengan dosa yang dilakukan itu. Dia merasa sedih dengan apa yang telah dilakukan dan berharap dia tidak pernah melakukan dosa itu.

4. Lembut hatinya setelah bertaubat. Hatinya merasa lunak dan merasa hampir kepada AllahSubhanahu wa Ta’ala.

DEFINISI TAUBAT NASUHA

Taubat Nasuha adalah satu istilah bahasa Arab bahkan disebut dalam Al-Quran. Nasuha berasal dari kalimah yang sama dengan ‘Nasihat’ yang maknanya bersih, jujur lagi benar. Taubat Nasuha bererti taubat yang benar lagi jujur, bukan kerana sebab yang lain tetapi semata-mata kerana hendak bertaubat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hal ini disebut dalam Surah Al-Tahrim ayat ke-8,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا تُوبُوا إِلَى اللهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا اْلأَنْهَارُ

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat Nasuha (taubat yang benar). Moga-moga dihapuskan dari kamu dosa-dosa kamu dan kamu dimasukkan ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.” (Surah Al-Tahrim, 66: 8)

InsyaAllah, moga-moga kita tergolong di dalam golongan yang apabila melakukan dosa mereka bertaubat dan moga-moga taubat kita adalah taubat Nasuha, dan kita meminta daripada Allah semoga Allah menerima taubat kita dan insyaAllah kita tergolong di dalam golongan yang terselamat dari api Neraka di Hari Akhirat kelak dan terus masuk ke dalam Syurga.

Sumber : http://ift.tt/2wfMS1j



from Jom Dakwah http://ift.tt/2wQbrmW
via Kuliah Islam

Bolehkah Wanita Berdakwah Dengan Nasyid?

Image result for nasyid wanita


Umat Islam terutamanya para muda mudi amat memintai muzik dan lagu. Para remaja Islam dalam kalangan lelaki dan wanita juga tidak terkecuali daripada menjadi peminat muzik ini. Walau bagaimanapun, mereka mengalihkan minat itu kepada dendangan lagu-lagu nasyid yang liriknya membawa kepada kebaikan dan kesedaran agama.
Tidak dapat dinafikan, banyak juga nasyid-nasyid ini yang dilihat menyimpang dari landasan asal lalu sifat komersialnya melebihi nasihatnya. Liriknya yang asalnya membawa kepada nasihat agama mulai bertukar kepada puja-puji wanita dan kekasih. Bezanya dengan lagu pop rock biasa hanyalah kerana ia diadun sedikit dengan menyebut nama-nama Allah sekali sekala, kalimah Islam atau apa-apa elemen Islam.
Saya akan menulis lanjut tentang hal ini kemudian, Insha’ Allah. Dalam penulisan ini, saya ingin mengajak pembaca melihat peranan kaum wanita muslimah dalam industri nasyid ini. Adakah ianya halal atau sebaliknya?
Suara Wanita
Majoriti ulama berfatwa suara wanita bukanlah aurat. Dalilnya mudah iaitu:

أنَّ رسول الله ـ صلَّى الله عليه وسلَّم ـ قال: “يا معشر النساء تصدقن وأكثرن الاستغفار؛ فإنِّي رأيتكنَّ أكثر أهل النار، فقالت امرأة جزلة منهنَّ: وما لنا يا رسول الله أكثر أهل النار؟ فقال: تكثرن اللعن، وتكفرن العشير”..

Ertinya: Sesungguhnya Rasulullah SAW berkata: wahai seluruh kaum wanita, bersedeqah dan banyakkan istighfar, sesungguhnya aku melihat wanita adalah majoriti ahli neraka. Maka berkatalah seorang wanita: Mengapa kami menjadi majoriti ahli neraka ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: “Wanita banyak yang melaknati dan mencela orang lain serta mengingkari kebaikan suaminya..” (Riwayat Muslim)
Saya bukan ingin mengulas isi kandungan hadith itu, tetapi ingin membawakan bukti bahawa suara wanita dalam keadaan biasa bukanlah aurat. Pertanyaan secara langsung wanita itu membuktinya. Selain hadith ini, banyak lagi hadith-hadith lain yang membuktikan suara wanita bukan aurat.
Hasilnya, pandangan terkuat dalam mazhab Hanafi, yang muktamad dalam Maliki, Syafie dan Hanbali menganggap suara wanita bukanlah aurat.
Berubah Menjadi Aurat
Bagaimana hukum jika seorang wanita itu melembut dan memanjakan suara di hadapan lelaki bukan mahram?.
Inilah perbincangan saya.
Tidak dapat dinafikan lagi jika demikian keadaannya, sudah tentu ia diharamkan oleh Islam.
“Eh ustaz, sedapnya suara wanita tadi ye” kata seorang rakan saya.
“Yang mana satu ni?” Tanya saya sambil cuba mengingat kembali.
“Ala, yang sekali meeting dengan kita tadi le” katanya menjelaskan.
“Sedap macam mana tu” tanya saya menduga.
“Ish..naik le bulu roma saya dan kalau boleh nak dengar tiap-tiap hari suara dia, astaghfirullah, eh.. dosa ke ustaz, suara bukan aurat kan?” katanya
sambil tersenyum kambing.
Bayangkan bagaimana keterlanjuran kata oleh siswa ini di hadapan saya. Wanita perlu mengetahui betapa lemahnya lelaki di hadapan mereka. Lelaki secara
umumnya (kecuali yang punyai keimanan yang hebat) memang mudah tergoda dengan suara merdu wanita walaupun wanita itu tidak langsung berniat untuk menggoda. Maka apatah lagi jika di ketika ia memang berniat untuk menggoda.
Saya masih ingat satu ketika di satu universiti, satu mesyuarat sedang berjalan. Saya mempengerusikan mesyuarat.
Suasana agak biasa, sehinggalah tiba-tiba seorang mahasiswi memberikan pandangannya kepada satu isu yang sedang dibincangkan.
Walaupun mahasiswi itu berada di belakang tabir, tetapi oleh kerana suaranya yang lembut dan lemak gemalai secara semulajadi (bukan sengaja dibuatnya), semua mahasiswa yang tadinya seperti mengantuk menjadi cergas dan terbeliak mata sambil berubah wajah seperti malu-malu serta cukup tekun mendengar setiap butiran ayat yang keluar dari mahasiswi itu.
Entah apa yang merasuk mereka..
Habis meeting, seorang dari mereka menyapa saya lalu berkata:
“Siapa tadi ye ustaz, siswi tadi tu”.
“Siswi mana?” tanya saya.
“Ala yang suara merdu tu, apa namanya ye ustaz..ehem ehem, terpikat juga saya dengar suaranya” tegaskan tanpa malu-malu.
Cuba lihat apa yang terjadi, hanya dengan suara tanpa melihat rupa pun sudah boleh meruntun hati seseorang siswa yang mengaji agama di universiti,
apatah lagi jika siswa yang mengaji rempitan di jalanraya!
Teringat Di Jordan
Saya juga teringat satu hari, ketika saya sampai ke satu universiti untuk memberikan ceramah, ketika itu agak kecoh siswa di sana berkenaan satu
VCD nasyid kumpulan wanita yang baru sampai dari Malaysia. Saya mendengar bahawa terdapat bakal-bakal ustaz ini yang berebut-rebut untuk melihat dan mendengarnya. Apabila saya bertanya lanjut tentang hal ini kepada seorang pemimpin mahasiswa, rupanya VCD itu begitu popular kerana penasyidnya terdiri dari kalangan anak-anak gadis yang ‘ada rupa’ serta ‘solehah’. Hmm solehahkah mereka …?
Pinjam meminjam pun berlaku dengan hebatnya di kalangan mahasiswa, ada juga yang menyalin ke dalam komputer masing-masing. Kemudian timbul aduan dari
salah seorang mahasiswa soleh kepada saya bahawa terdapat mahasiswa yang amat asyik dan mengulang-mengulang vcd tersebut.
Lihatlah kesannya, adakah ini dakwah ?..baca sampai ke habis, inshaAllah akan mendapat jawapannya.
Amaran Allah
Allah SWT yang menciptakan manusia sememangnya telah memberi peringatan akan hal ini apabila menyebut :-

تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِى فِى قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَّعْرُوفاً

Ertinya : “Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandungan dan tatacaranya)” (Al-Ahzab: 32)
Para ulama tafsir  menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan diperdengarkan kepada lelaki bukan mahram) tiada khilaf dalam hal ini (Adwa al-Bayan, 5/10: At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137)
Imam As-Suddi berkata: larang ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat (Tafsir Ibn Kathir, 3/483; Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 14/177).
Berdasarkan dalil ayat ini, apa yang boleh saya fahami adalah nasyid wanita juga tergolong dalam bab yang diharamkan oleh Islam apabila ia diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahram. Adapun jika ia dinyanyikan oleh kanak-kanak wanita yang belum baligh atau ia dinyanyikan khas untuk para wanita. Ia adalah harus.
Suara Wanita Ketika Beribadah
Displin Islam dalam hal ini boleh dilihat dari perkara di bawah ini:-
1) Ingin Menegur Imam semasa solat, 
Jika kaum wanita ingin menegur imam lelaki yang tersilap bacaan atau terlupa rakaat dan lainnya. Nabi SAW hanya membenar para wanita mengingatkan imam dengan menggunakan tepukan sahaja.
Hadithnya :-

فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم ما لي رأيتكم أكثرتم التصفيق من رابه شيء في
صلاته فليسبح فإنه إذا سبح التفت إليه وإنما التصفيق للنساء 

Ertinya: Berkata Rasulullah SAW, mengapa aku melihat kamu banyak bertepuk apabila ragu-ragu (waswas) dalam sesuatu perkara semasa solatnya. Hendaklah kamu (lelaki) bertasbih dan sesungguhnya tepukan itu hanya untuk wanita” (Riwayat Al-Bukhari, no 652)
Arahan Nabi untuk wanita bertepuk bagi membantu imam itu adalah bagi menjaga suaranya dari memesongkan orang lelaki yang sedang solat (Faidhul qadir, 3/281; Al-hawi al-Kabir, 9/17)
2) Wanita dan azan
Imam al-Jassas ketika mentafsirkan ayat dari surah al-ahzab tadi menyebut bahawa ayat ini memberi hukum bahawa wanita dilarang dari melaungkan azan terutamanya jika kemerduan suaranya dijangka mampu mengelodak hati sang lelaki ( Ahkam al-Quran, 5/229 dengan pindaan ringkas)
Demikian juga pandangan mazhab Syafie dan hanbali, dan tidak diketahui ada yang bercanggah pendapat dalam hal ini , kata Imam Ibn Quddamah, Al-Mughni,
2/68)
3) Wanita menjadi imam solat kepada wanita lain atau ketika solat jahar.
Sudah tentu wanita harus untuk menjadi imam kepada wanita lain, tetapi mereka tidak dibenarkan mengeraskan bacaan quran mereka jika di tempat itu terdapatnya para lelaki yang bukan mahramnya. (Al-Mughni, Ibn Quddamah)
Imam Ibn Hajar berkata: “jika dikatakan bahawa sekiranya wanita menguatkan bacaannya di ketika solat maka solatnya batal, adalah satu pendapat yang
ada asasnya” (Fath Al-Bari, 9/509)
Jelas bahawa suara wanita yang dilagukan atau dalam keadaan biasa apabila melibatkan soal ibadah hukumnya dilihat semakin ketat kerana dibimbangi
menggangu ibdaaha wanita itu terbawa kepada kerosakan kaum lelaki yang lemah ini. Kerana itu disebutkan
فرع: صرّح في النوازل بأنّ نغمة المرأة عورة..ولهذا قال عليه الصلاة والسلام: (التسبيح للرجال والتصفيق للنساء، فلا يحسن أن يسمعها الرجل)
Ertinya: Ditegaskan bahawa suara wanita yang dilagukan adalah aurat ..kerana itu Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya tasbih untuk lelaki, dan tepukan
khas untuk wanita, maka tiada harus didengari ‘tasbih’ wanita oleh si lelaki”. ( Syarh Fath  Al-Qadir, 1/206 )
4) Suara wanita dan talbiah Haji 
Ijma’  ulama bahawa wanita tidak mengangkat suaranya kecuali hanya setakat didengari olehnya sahaja, demikian pendapat Ato’, Imam Malik, Syafie, Hanafi Awzaie ( AL-Um, 2/156 ; Al-MUghni , Ibn Quddamah, 5/16 )
Kesimpulan
Suara wanita boleh dibahagikan kepada dua jenis :-
1) Suara biasa wanita yang didengari secara jahar kepada lelaki awam; Ia diperbezakan hukumnya di kalangan ulama. Ada yang mengharamkannya secara total, ada yang mengharuskan secara total. Ada pula yang mengharuskannya apabila dijangka tidak membawa fitnah kepada lelaki
(Al-Jami’ Li Ahkami Quran, 14/227 ; Ibn Qayyim, al-Hasyiah, 6/156; ‘Ianah at-Tolibin, Ad-Dimyati; 3/260, Al-furu’, Ibn Al-Mufleh, 1/372 )
2) Yang dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan. Ianya adalah diharamkan untuk diperdengarkan kepada khalayak lelaki
secara Ijma’. ( An-Nihayah, Ibn Athir, 42/2, Lisan al-Arab, Ibn Manzur, 73/8, Tafsir At-Tabari; 3/22, Hasiyah At-Tohawi; 1/161)
Maka
kumpulan nashid wanita hari ini termasuk di dalam kumpulan yang kedua tanpa khilaf.
 
Malah bukan sekadar ‘illah suara sahaja yang boleh menjadikan mereka tercebur dalam perkara haram, malah pakaian dan pergerakkan mereka di khalayak awam juga.
Kebiasaannya apabila persembahan di buat, mereka kerap bersolek-solekan dengan pakaian yang canggih manggih. Di samping itu, duduk pula di atas pentas
menjadi tontotan lelaki, jika para ulama semasa menghukumkan haramnya bersanding pengantin di atas pentas dalam keadaan senyap tanpa berkata. Apatah lagi kumpulan nasyid wanita yang bersolek adakala seperti pengantin ini dan melentuk-lentuk tubuh dan suaranya di hadapan lelaki bukan mahram, sudah tentu haramnya lebih besar.
Tapi ustaz, inikan alternative untuk mereka yang suka tengok penyanyi wanita yang seksi..eloklah mereka tengok kami” mungkin ini sebahagian
pertanyaan penyokong kumpulan nasyid wanita.
Jawapannya, benda yang haram tidak boleh dialternatifkan dengan yang haram juga.
Sebagaimana di sebut oleh dalil :-

إِنَّ اللَّهَ عز وجل لاَ يمحوا السيء بالسيء، وَلَكِنْ يَمْحُو السيء بِالْحَسَنِ، 


إِنَّ الْخَبِيثَ لاَ يمحوا الْخَبِيثَ.


Ertinya: ” Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadam yang buruk dengan buruk juga, tetapi yang buruk (haram) dipadamkan dengan yang baik (halal)
Sesungguhnya yang kotor itu TIDAK boleh mensucikan yang kotor” ( Riwayat Ahmad, 1/387: Perawi Ahmad adalah thiqah kecuali… sebahagiannya khilaf;
Majma’ Az-Zawaid, 10/228  )

Justeru, tidak boleh menggantikan penyanyi wanita seksi itu dengan penyanyi nasyid wanita. Kerana kedua-duanya haram buat si lelaki bukan mahramnya.
Jangan pula ada yang mendakwa kononnya ia adalah bentuk dakwah, TIDAK! Allah tidak akan menjadikan dakwah berkesan melalui perkara haram. Tiada siapa
boleh mengatakan ia sengaja minum arak kerana ingin mendakwah rakannya bahawa arak itu buruk.
Nabi SAW bersabda:
إن الله لم يجعل شفائكم فيما حرم عليكم
Ertinya: “Allah SWT tidak menjadikan penyembuhan kamu melalui perkara yang diharamkanNya” ( Riwayat Al-Bukhari )
Hadith ini menjelaskan tidak boleh mengambil apa jua yang diharamkan oleh Allah SWT untuk dijadikan ubat, kerana Allah tidak akan menjadikan ubat
dalam perkara yang diharamkanNya.  ( Tuhfatul Ahwazi , 6/168 )
Demikianlah dakwah dan pemulihan akhlak dan jiwa manusia, Allah SWT tidak akan menjadinya perkara yang diharamkanNya (melembutkan suara hadapan bukan
mahram) sebagai medium dakwah yang berkesan. Ia tidak lain hanyalah untuk komersial dan mengaut untung sahaja.
Setiap hasil untung dari jualan kaset nasyid wanita dewasa ini juga tidak lain kecuali hasil yang haram menurut sepakat ulama mazhab. Kecuali jika ia
khas untuk wanita dan dijual secara tertutup di majlis wanita sahaja. Persembahan juga untuk kaum wanita.
Sedarilah kumpulan nasyid wanita dan penyanyi wanita yang mendakwa dakwah melalui nasyid anda..Ia pasti tidak kan berjaya, usaha itu juga pastinya
tidak diterima oleh Allah SWT berdasarkan dalil-dalil yang diberi.
BANTAHAN KEPADA ARTIKEL: 
Apabila tulisan ini mula disebar luaskan, maka terdapat suara-suara penyokong nasyid wanita yang cuba mengharuskan tindakan mereka dengan memberikan
satu hadith berkenaan dua orang hamba wanita yang mempersembahkan nyanyian kepada Aisyah r.a di rumah Nabi SAW
Hadith ini adalah seperti berikut :-
عن عَائِشَةَ رضي الله عنها قالت دخل أبو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ
من جَوَارِي الْأَنْصَارِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتْ الْأَنْصَارُ
يوم بُعَاثَ قالت وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ فقال أبو بَكْرٍ
أَمَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ في بَيْتِ رسول اللَّهِ وَذَلِكَ في يَوْمِ عِيدٍ فقال رسول اللَّهِ  يا أَبَا بَكْرٍ إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا
Ertinya: Dari ‘Aisyah r.a berkata : Abu Bakar ( bapa Aisyah r.a ) masuk ke rumah dan dibersamaku dua orang jariah (hamba wanita) dari kalangan bangsa Ansar sedang menyanyi dengan kisah-kisah Ansar ketika hari Bu’ath, lalu asiyah berkata: Mereka berdua bukanlah penyanyi, Berkata Abu Bakar  r.a: ” Adakah seruling Syaitan di rumah Rasulullah SAW? Maka Rasul berkata: WAhai Abu Bakar, ini adalah hari raya). [HR Bukahri, 1/335]
Dalam riwayat lain:
عن عَائِشَةَ قالت دخل عَلَيَّ رسول اللَّهِ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ
تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثَ فَاضْطَجَعَ على الْفِرَاشِ وَحَوَّلَ
وَجْهَهُ وَدَخَلَ أبو بَكْرٍ فَانْتَهَرَنِي وقال مِزْمَارَةُ
الشَّيْطَانِ عِنْدَ النبي فَأَقْبَلَ عليه رسول اللَّهِ عليه السَّلَام
فقال دَعْهُمَا
Ertinya: “Daripada ‘Aisyah, Rasulullah SAW masuk ke rumah dan bersamaku dua orang jariah (hamba wanita) dari kalangan bangsa Ansar sedang menyanyi dengan kisah-kisah Ansar ketika hari Bu’ath, maka baginda terus baring dan memalingkan wajanya, maka masuk pula Abu Bakar r.a lalu menegurku sambil berkata, adakah seruling syaitan di sisi nabi SAW, maka nabi terus mendapatkannya lalu berkata : Biarkannya”.
Secara ringkas, hujjah untuk mengatakan terdapat percanggahan atau harusnya nasyid wanita dengan dalil ini adalah tersasar dari kebenaran kerana:-
1) Ia dipersembahkan oleh hamba wanita. Maka hukum hamba adalah berbeza dengan hukum wanita merdeka dalam banyak hukum fiqh.
2) Dua orang jariah itu digambarkan dalam banyak riwayat lain sebagai bukan penyanyi khas, yang pandai menyanyi dengan teknik menyanyi yang dikenali dengan melembutkan suara, memerdu dan melunakkannya sebagaimana penyanyi profesional. Ini disebutkan melalui nas
“وليستا بمغنيتين”
Imam An-Nawawi dan Imam Ibn Hajar al-Asqolani mentafsirkannya sebagai:-
معناه ليس الغناء عادة لهما ولا هما معروفتان به
Ertinya: Maknanya, ia bukanlah nyanyian yang biasa digunakan pada masa itu, dan keduanya juga tidak dikenali pandai menyanyi (Nawawi, Syarh muslim, 6/182 : fath Al-Bari, 2/442)
3) Rasulullah juga digambar tidak turut serta menikmatinya tetapi hanya membiarkannya dinikmati oleh ‘Aisyah.
Ia juga adalah di dalam rumah Nabi Saw dan bukan di khlayak ramai. Imam An-Nawawi mengulas bahawa Nabi juga disebut berpaling wajah :-
وإنما سكت النبي عنهن لأنه مباح لهن وتسجى بثوبه وحول وجهه اعراضا عن اللهو ولئلا يستحيين فيقطعن ما هو مباح لهن
Ertinya: Nabi senyap dari tindakan itu kerana ia harus BAGI WANITA, dan nabi MENUTUP DENGAN PAKAIANNYA dan berpaling wajah darinya sebagai menjauhi perkara melalaikan” (Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 6/183)
4) Takrif ‘Jariah’ selain bermaksud hamba, ia juga digunakan untuk kanak-kanak wanitabelum baligh. Sebagaimana disebut oleh Imam al-Aini & Imam As-Suyuti :-
قوله جاريتان تثنية جارية والجارية في النساء كالغلام في الرجال ويقال على من دون البلوغ
Ertinya: Dua orang jariah: disebutkan bagi mereka yang dibawah umur baligh (Umdatul Qari, 6/269)
قوله جاريتان الجارية في النساء كالغلام في الرجال يقعان على من دون البلوغ
Ertinya: Jariah untuk wanita, ghulam panggilan untuk lelaki yang keduanya digunakan untuk mereka yang di bawah umur baligh. (Sindi, 3/194: Syarhu As-Suyuti li sunan An-Nasaie, 3/197 )
Hal ini juga disebut di dalam Awnul Ma’bud :-
لأنهما جاريتان غير مكلفتين تغنيان بغناء الأعراب
Ertinya : kerana mereka berdua belum mukallaf ( belum baligh) lalu mereka menyanyikan lagu-lagu a’rab ( Awnul Ma’bud, 13/181)
Justeru, apa lagi hujjah yang boleh diguna untuk mengharuskannya?. Dharurat atau maslahat?..lupakan sahaja.
Sekian
Sumber : http://ift.tt/MCRi8C





from Jom Dakwah http://ift.tt/2xKnUVH
via Kuliah Islam