Tuesday, 29 August 2017

Andainya Al-Quran Berbicara

Image result for Andainya Al-Quran Berbicara


Andainya Al-Quran itu mampu berbicara, pastinya ia akan berkata, “Apa masih engkau ingat, sewaktu engkau masih kanak-kanak, engkau dan aku adalah sahabat sejati. Basah ‘lencun’ wajah dan baju mu mengambil wudhu’ kerana aku engkau sentuh dalam keadaan suci. Akulah yang engkau junjung di waktu senja dinihari, menyelusur belukar untuk sampai ke tangga surau untuk mengaji. Engkau memeluk ku erat agar tidak terjatuh, terhindar dari sebarang bentuk kekotoran. 

Aku engkau pelajari, engkau selak helaian ku satu persatu, membulatkan mata meneliti huruf-huruf yang tersusun indah pada ku, terkadang dengan suara yang lirih, terkadang pula menjadi keras, setiap hari tanpa jemu. Saat selesai engkau mengucup ku dengan penuh penghormatan dan kasih sayang.

Kini, engkau telah dewasa, adakah perasaan cinta mu itu tidak semarak dulu lagi? Adakah aku hanyalah sekadar bacaan usang atau tersisip sebagai lipatan sejarah kita? Atau mungkin kini membaca aku bagi mu langsung tidak membawa makna penambahan ilmu? Atau mungkin juga status ku hanyalah untuk anak-anak kecil yang belajar mengaji sedang engkau telah meningkat dewasa.

Aku tahu sayang mu kepada ku masih ada, kerana itu aku engkau simpan rapi sekali hingga kadangkala engkau terlupa di mana aku disimpan. Kadangkala engkau letakan aku di tempat yang sentiasa menjadi lintasan mata mu, lalu engkau menatap aku sebagai perhiasan indah di dalam kamar rumah mu.

Masih aku ingat lagi satu ketika dahulu engkau jadikan aku sebagai hantaran perkahwinan sebagai tanda cinta engkau kepada isteri mu. Dan satu ketika engkau jadikan aku sebagai tangkal untuk menakut-nakutkan hantu dan syaitan dari rumah mu, tetapi bukanlah sebagai bahan bacaan engkau dan keluarga mu seperti mana yang sepatutnya engkau lakukan kepada ku.

Satu ketika dahulu, seawal pagi seusai solat subuh, beberapa surah yang ada pada ku engkau baca. Sebelah petangnya seusai solat maghrib, aku engkau baca bersama sahabat-sahabat mu... tetapi kini, seawal pagi engkau lebih memilih untuk membelek-belek akhbar helaian demi helaian, dan bila pulang dari kerja, jemari mu galak pula menekan butang alat kawalan jauh memilih siaran televisyen kegemaran mu, berjam-jam lamanya engkau duduk di situ.

Waktu lapang mu, engkau sempat untuk menelaah buku-buku karangan manusia, sedangkan aku... aku yang berisi dengan ayat-ayat Yang Maha Pencipta, Yang Maha Perkasa, engkau campak dan engkau abaikan dan engkau lupa. Hinggakan ketika engkau melakukan sesuatu juga engkau lupa untuk mengucapkan pembuka surah-surah ku.

Dalam perjalanan ke tempat kerja, engkau lebih asyik dengan layanan dan nikmat muzik duniawi, tidak ada kaset, CD yang berisi ayat Allah yang terdapat pada ku di laci kenderaan mu. Sepanjang perjalanan, radio mu akan selalu tertuju kepada stesen-stesen muzik kegemaran mu. Aku tahu jika itu bukanlah stesen radio yang senantiasa melantunkan ayat yang ada pada ku. Malahan di meja kerja mu juga tidak ada aku untuk engkau baca sebelum engkau memulakan kerja.

Sambil melakukan kerja, engkau putarkan muzik kesukaan mu dari komputer pejabat. Jarang sekali engkau melantunkan ayat-ayat yang ada pada ku. Tak kala engkau menerima e-mel dari sahabat mu yang berisi ayat-ayat yang ada pada ku, lantas engkau abaikan. Engkau terlalu sibuk dengan urusan dunia mu. Benarlah dugaan ku, bahawa engkau telah benar-benar melupakan aku.

Kini aku telah banyak tersingkir dari rutin harian mu, terbiar tidak dibaca, kesepian di dalam laci, di atas almari, aku engkau pendamkan.

Masa berlalu pantas, aku semakin kusam di dalam tempat simpanan ku, mengumpul debu dilapisi abu mungkin juga telah dimakan kutu. Seingat aku, hanya awal Ramadhan engkau akan membaca ku kembali. Itu pun hanyalah seberapa lembar dengan suara yang tidak lagi semerdu dulu. Sekarang engkau tergagap-gagap dan tidak lagi selancar dulu. Adakah akhbar, televisyen, radio, komputer dapat memberikan pertolongan kepada mu nanti?

Ingatlah, apabila sendirian engkau di dalam kubur menunggu hari kiamat tiba. Engkau akan diperiksa oleh malaikat suruhan Nya. Hanya dengan ayat-ayat Allah yang ada pada ku, engkau dapat selamat daripadanya.

Sekarang, masa berlalu bagi mu tidak memberi apa-apa erti, setiap saat yang lalu tidak engkau rasai. Walhal umur mu semakin berkurang, sedang kubur menunggu-nunggu engkau untuk pulang. Boleh jadi sebentar lagi waktu untuk engkau pulang menemui Tuhan mu, bila-bila masa ia pasti berlaku. Malaikat maut datang mengetuk pintu rumah mu.

Mengapa aku tidak engkau baca selalu dan engkau hayati? Sedangkan di kubur mu nanti, aku akan datang sebagai pemuda gagah yang tampan. Datang untuk membantu engkau untuk membela diri. Bukan akhbar yang engkau baca yang akan membantu mu atau muzik-muzik yang engkau selalu putarkan, bukan juga drama-drama di televisyen. Tetapi aku, Al-Quran kita suci mu, yang sentiasa setia menemani dan melindungi mu.

Kembalilah, sentuh lah aku kembali, bacalah aku setiap hari. Kerana ayat-ayat yang ada pada ku adalah ayat suci, yang berasal dari Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui yang disampaikan oleh Jibril kepada Muhammad, Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Keluarkanlah aku, dari almari, dari laci, dari tempat-tempat simpanan mu. Jangan lagi lupa membaca aku ke mana sahaja untuk dibaca, di tempat kerja, di luar semasa liburan, di dalam kenderaan mu. Letakan aku selalu di atas meja kerja mu. Agar engkau sentiasa mengingati Tuhan mu. Sentuhlah aku kembali, bacalah dan pelajarilah aku, setiap pagi, setiap petang... seperti dulu. Seperti dulu, sewaktu engkau masih kecil, polos, surau di kampung mu yang tenang dan damai. Janganlah engkau biarkan aku terus sendiri, dalam bisu dan sepi.

Sumber : hanifabdmajid.blogspot.my



from Jom Dakwah http://ift.tt/2xKevNR
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment