Monday, 14 August 2017

Romantik Itu Sunnah Rasulullah S.A.W


Setiap pasangan suami isteri memang memerlukan hubungan intim, kerana ia merupakan fitrah semula jadi manusia yang sempurna. Malah itulah antara tujuan Islam menggalakkan perkahwinan, sebagai mengisi tuntutan fitrah semula jadi ini.

Antara perkara yang boleh membantu mencetuskan hubungan intim ialah bersifat romantik. Malah ia boleh menjadi penyubur kasih sayang antara suami isteri. Sikap romantik lahir dari hati yang kaya dengan kasih sayang. Ia adalah manifestasi daripada akhlak mulia yang terpancar melalui percakapan dan perbuatan sehari-hari. Ia bukanlah satu sikap yang negatif, atau terpengaruh dengan cara hidup kebaratan, seperti yang dipandang oleh sesetengah masyarakat Melayu. Sikap ini perlulah dikekalkan sepanjang masa, walaupun pada usia perkahwian semakin bertambah.

Gangguan anak-anak malah cucu-cucu tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak lagi bersikap romantik. Sikap ini bukan sekadar perlu dilahirkan di bilik tidur, sebaliknya di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa, selagi ia berada dalam batas dan kesopanan adab Islam. Menurut kajian pakar, semasa dalam keadaan intim, orang lelaki lebih cenderung kepada kegiatan seksual, namun orang perempuan lebih suka dan cenderung kepada sikap romantik suami.


Petua Mengekalkan Sifat Romantis


  1. lsteri bukan sahaja menghias keseluruhan rumah, tapi yang penting bijak menghias bilik tidur untuk mewujudkan suasana yang romantik. Apabila ini dapat dilakukan, suami akan sentiasa berasa gembira sehingga sikap romantik yang ada dapat disuburkan.
  2. Isteri hendaklah menjaga penampilan di hadapan suami dengan memakai pakaian yang menarik dan bau-bauan yang menyenangkan suami.
  3. Usah malu menggunakan ungkapan-ungkapan cinta ketika berdua-duaan, seperti yang lazim diucapkan oleh pasangan yang bercinta.
  4. Di celah-celah kesibukan dengan kerjaya dan menguruskan rumah tangga, suami dan isteri hendaklah bijak mencari masa untuk berdua-duaan tanpa gangguan anak-anak.
  5. Pada ketika-ketika tertentu, layangkan kad ucapan yang mengandungi kata-kata romantik yang penuh kasih sayang.
  6. Sekiranya timbul sebarang masalah dalam kehidupan berumah tangga dan hubungan suami isteri, hendaklah ditangani dengan segera masalah tersebut. Usah biarkan masalah itu berlarutan sehingga lukanya membekas di hati. Kalau boleh dielakkan, tidak perlu melibatkan orang ketiga yakni orang luar.


Sikap Romantis yang Perlu Dilahirkan


  1. Ciuman mesra. Memberi ciuman mesra kepada isteri tatkala isteri mencium tangan suami tatkala hendak keluar bekerja dan baru pulang ke rumah. Ciuman adalah lambang kesetiaan, peniup semangat untuk isteri dan suami meneruskan kehidupan seharian.
  2. Mendakap isteri setiap kali sebelum keluar rumah. Ini akan mencetuskan ingatan yang berpanjangan sewaktu suami dan isteri berpisah, sama ada dalam jangka masa singkat, lebih-lebih jika berjauhan lama.
  3. Ucapan. Selalu mengucapkan perkataan-perkataan yang menunjukkan kasih yang mendalam kepada isteri. Contohnya ucapan “Sayang, I love you”, “I missed you” dan sebagainya, terutama ketika akan berpisah, sama ada lama atau sekejap, jauh atau dekat.
  4. Panggilan. Memanggil isteri dengan panggilan/ gelaran yang disukai. Contohnya “ayang”, “darling”, atau apa jua panggilan manja yang amat disenangi, maka ianya dapat memberi impak bermakna buat isteri.
  5. Usik Mengusik. Selalu usik-mengusik dan bergurau senda. Usik-mengusik dan senda gurau boleh menjadi rencah kepada menghidupkan suasana lebih romantik.
  6. Berjalan beriringan di luar rumah. Sering berlaku, di awal perkahwinan pasangan suami isteri ibarat belangkas apabila berjalan bersama. Namun apabila usia perkahwinan meningkat, anak-anak semakin bertambah, suami isteri tidak lagi jalan beriringan, seorang di hadapan, seorang di belakang. Seeloknya jika tiada halangan, jalan berpegangan tangan dan jika melintas jalan, memegang lengan atau bahu isteri tanda melindungi.
  7. Jauhi perkara yang boleh menyakiti atau menyinggung hati isteri. Perkara ini perlu diberi perhatian, kerana hati wanita biasanya sensitif.


Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2

from Jom Dakwah http://ift.tt/2uHHaBS
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment