Monday, 14 August 2017

Isu Kewangan dan Kemakbulan Doa


Hubungan antara makhluk dengan penciptanya dihubung melalui ibadat solat dan doa. Melalui kedua jenis ibadah khusus inilah kita memperoleh kekuatan untuk menghadapi segala macam cabaran di atas dunia yang amat mudah menipu ini.

Namun ramai yang tidak menyangka atau menyedari bahawa pendapatan dan perbelanjaan kewangan kita mampu meranapkan kemustajaban doa dan kemakbulan solat. Doa tidak lagi menjadi makbul dan tiada lagi kemanisan di dalam solat, akhirnya hidup terlepas dari keberkatan Allah.

Semakin tumpul doa dan solat, semakin jauhlah dari Allah dan jauh dari mendapat peluang syafaat Nabi s.a.w. Nabi telah menceritakan bagaimana keadaan seorang lelaki yang mengangkat dua tangannya berdoa, namun doanya tertolak akibat makan, minum dan pakaiannya datang dari sumber dan cara yang tidak sah serta haram.

Lalu bilakah ingin kita mulakan langkah segera bagi menyemak kedudukan pendapatan dan perbelanjaan kita sama ada ia menepati keredhaan Allah atau sebaliknya? Adakah sakit hingga terdampar di atas tilam hospital yang ditunggu? Atau sehingga satu bencana menyedihkan menimpa diri dan keluarga yang tercinta?

Asal Hukum Muamalat

Asal hukum bagi hal-ehwal muamalah perniagaan dan jual beli adalah harus. Namun demikian, sebagai umat Islam yang secara serius inginkan keselamatan di akhirat, kita tidak boleh sama sekali mengambil sikap ‘lebih kurang’ atau ‘kurang endah’ dalam urusan kewangan ini. Usaha bagi memiliki ilmu Islam amat perlu bagi memandu kita untuk mengenali sama ada terdapat unsur haram di dalam sesuatu transaksi kewangan. Unsur harus tidak perlu dicari lagi kerana hukum asalnya sememangnya sudah harus selagi belum dapat dibuktikan terdapatnya unsur haramnya.

Justeru, tidak wajar saya bertanya kepada anda, “Apakah dalil yang urusniaga anda ni halal?” Kerana itu, saya tidak patut marah jika ada yang sambil mendengus meluru kepada saya lalu bertanya, “Mengapa ustaz kata ini haram?”

Ibarat sebuah kereta baru sebelum dikeluarkan dari kilang, ia perlu dihujani pelbagai ujian demi memastikan ia selamat untuk dipandu di jalan raya. Sebagai umat Islam yang bertaqwa kita juga perlu menjadi seperti tukang uji produk dan urusniaga kewangan dari sudut syariah. Jika ia berjaya dan lulus, mari kita berkempen untuknya kerana ia selamat digunakan untuk dunia dan akhirat kita.

Isu Rumit & Terlindung

Tidak dinafikan isu riba memang terlindung ilmunya dari ramai. Tidak sesekali ingin saya mendabik dada mengatakan saya pakar dan faham. Kebiasaannya apa yang saya cuba kongsikan bersama para pembaca sekalian adalah keputusan ijtihad berkumpulan yang dilakukan oleh Majlis Fiqh Antarabangsa dan juga Majlis Penasihat Shariah Badan Perakaunan dan Kewangan Islam Antarabangsa.

Jarang-jarang pendapat yang saya utarakan dari diri sendiri semata-mata.  Ini adalah kerana bab sebegini memang agak sukar dan memerlukan kepada idea-idea dan ilmu dari pelbagai ulama. Justeru dalam hal ini, saya kerap merujuk kepada majlis ulama yang dianggotai oleh para ulama sedunia yang disebut tadi, ia merupakan rujukan yang terbaik.

Malah bukan semua ulama besar dunia mampu memberikan fatwa yang konkrit dalam bidang ini, hanya mereka yang berkecimpung khusus dan setiap hari bergelumang dengan kajian ini mampu tampil dengan keputusan kukuh serta meyakinkan.

Sukarnya Isu Riba

kewangan4Tidak perlulah kita ingin menafikan keilmuan seseorang ustaz yang tersilap dalam menyertai skim yang kemudiannya diputuskan haram. Keadaan ini hanya akan menyebabkan seseorang itu terdesak serta cuba menegakkan benang basah kerana ingin menjaga air mukanya. Semuanya disebabkan oleh desakan dan takut dianggap tidak alim oleh orang awam.

Tidak perlu juga menempelak mana-mana badan berwajib kerana senyap sunyi daripada pelbagai isu kewangan di sekeliling. Konklusinya, ia memang sukar dikaji, tambahan pula jika skim atau perkara yang ditanyakan adalah suatu skim ganjil, syarikat atas angin, tidak berdaftar, tiada lesen, menggunakan istilah yang asing bagi ahli Shariah dan sebagainya. Sudah tentu semakin kurang semangat pihak berkuasa seperti JAKIM untuk mengkajinya.

Ingin ditegaskan bahawa kerumitan hal ehwal riba ini memang sukar dan rumit, malah ia juga sukar buat semua ilmuan Islam sejak di zaman para sahabat Nabi s.a.w, tabien dan ulama besar sejak zaman silam lagi.

Khalifah Umar alKhattab r.a. berkata: “Tiga perkara yang amat aku harapkan agar Rasulullah s.a.w sempat bersama kami sehingga kami jelas berkenaannya: Hal kedudukan datuk (dalam waris), Kalalah (waris yang tiada anak dan ibu bapa), dan bab-bab berkaitan riba.” (Riwayat al-Bukhari)

Beliau juga disebutkan berkata: “Sesungguhnya demi Allah, tidaklah kami ketahui mungkin kami menyuruh kamu sesuatu, rupa-rupanya ia tidak baik buatmu (kerana riba), dan mungkin juga kami melarangmu dari sesuatu perkara yang rupanya baik (halal tetapi disangka riba) buatmu, ini kerana ayat berkaitan riba adalah antara ayat terakhir yang diturunkan, dan baginda Nabi s.a.w wafat sebelum sempat menjelaskannya (secara terperinci) kepada kami. Justeru tinggalkan yang meragukan kepada yang tidak meragukan.” (Riwayat al-Darimi)

Selain itu Imam Ibn Kathir pula berkata: “Bab Riba adalah dari bab yang paling sukar bagi kebanyakan ahli ilmu (ulama).” (Tafsir al-Quran al-Azim, 1/327)

Tegas Imam Abu Hamid alGhazali pula: “Bab riba adalah masalah-masalah yang paling sukar dan mengelirukan.” (Syifa al-Ghalil fi Bayan as-Shabah, hlm 359)

Pakar ilmu Usul Fiqh dan Maqasid Syariah, Imam al-Syatibi mengatakan: “Sesungguhnya riba adalah tempat penelitian yang kerap tersembunyi dari mujtahidin, dan ia adalah dari perkara yang paling tersembunyi serta kurang jelas maknanya sehingga ke hari ini.” (Al-Muwafaqat fi Usul al-Ahkam, tahqiq Muhydin Abd Hamid, 4/42)

Hukum asal urusniaga perniagaan dalam apa jua bentuk adalah harus kecuali ada dalil yang membuktikannya haram. Apabila telah wujud dalil menunjukkan ia haram serta tiada hujah balasan konkrit untuk menafikannya, urusniaga itu paling tidak dikira menjadi syubhat, jika tidak menjadi haram.

Islam mengajar kita agar menjauhi syubhat sebagaimana yang disebut Umar al-Khattab tadi walaupun terpaksa mengorbankan 9/10 cara niaga yang mungkin halal.

Janganlah terlalu liberal sehingga terlalu mudah menghalalkan sesuatu urusniaga tanpa diteliti. Jangan pula mengharamkannya tanpa dalil dan logik pendalilan (wajh istidlal) yang sesuai.

Oleh kerana keharusan urusniaga tidak memerlukan dalil, maka saya banyak memfokuskan kepada perkara yang haram di sekitar realiti kehidupan kita. Tidak perlu pening, kerana yang haram itu sedikit, yang harus itu banyak.

Memang saya banyak fokus kepada pendedahan skim dan urusniaga haram berbanding menyebarluaskan yang harus, kerana yang harus tidak memerlukan banyak promosi berbanding yang haram kerana terjebak dalam yang haram merosakkan iman dan melibatkan nasib kita di akhirat kelak.

Jika masih kurang jelas, anda boleh amati ulasan selanjutnya di laman web saya, insyaAllah tidak memeningkan. Biarlah kita pening di dunia kerana kurang duit halal, itu adalah lebih baik daripada pening di barzakh kerana menahan azab, akibat banyak duit haram.

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang kamu ragui kepada apa yang tidak diragui.” (Riwayat al-Bukhari)

Bukankah Nabi telah memberi jaminan kebaikan bagi mereka yang menjauhi syubhat, dengan sabdanya yang bermaksud: “Barangsiapa yang menjauhi syubhat, telah selamatlah agama dan kehormatannya, barangsiapa yang menyertai syubhat, ia seolah telah jatuh dalam yang haram.” (Riwayat Muslim)

Oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana

from Jom Dakwah http://ift.tt/2w75j8z
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment