Bila sebut tentang Ramadan, apakah yang biasanya bermain dalam fikiran kita? Adakah semata-mata menahan lapar dan dahaga di siang hari? Atau, hanya sibuk dan runsing memikirkan juadah untuk berbuka dan bersahur?
Tahukah kita, Ramadan ini juga disebut sebagai penghulu bagi segala bulan. Ini kerana dalamnya terkandung pelbagai keistimewaan. Di sini, disenaraikan lima nama lain yang sinonim dengan bulan Ramadan, antaranya seperti berikut;
#1 – Syahru Mubarak (Bulan Keberkatan)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Sungguh, telah datang kepada kalian bulan yang penuh berkah. Pada bulan ini diwajibkan berpuasa kepada kalian…”(Hadis Riwayat Ahmad, An-Nasai’e dan Al-Baihaqi)
#2 – Syahru Maghfirah (Bulan Pengampunan)
Nabi SAW bersabda yang bermaksud;
“Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat dan Ramadan ke Ramadan menghapuskan dosa-dosa di antara masa-masa itu selama dosa-dosa besar dijauhi.”(Hadis Riwayat Muslim)
#3 – Syahru Itqun Minan Nar (Bulan Pembebasan dari Api Neraka)
Pada setiap malam dalam bulan Ramadhan, Allah SWT akan membebaskan hamba-hamba yang dikehendaki-Nya dari api neraka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Dan, Allah membebaskan orang-orang dari api neraka pada setiap malam.”(Hadis Riwayat At-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
#4 – Syahrul Quran (Bulan Al-Quran)
Setiap 17 Ramadan, negara kita akan menyambut Hari Nuzul Al-Quran bersempena memperingati peristiwa turunnya Al-Quran yang berlaku dalam bulan Ramadan. Firman Allah SWT yang bermaksud;
“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang batil)…”(al-Baqarah: 185)
#5 – Syahru Al-Qadr (Bulan Al-Qadar/Lailatul Qadar)
Ini antara keistimewaan paling utama. Nilai kebaikan bulan ini lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah SWT yang bermaksud;
“Dan, tahukah kamu apa itu Lailatul Qadar? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun para Malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.”(Al-Qadar: 2-3)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Pada bulan Ramadhan, ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang dihalangi kebaikan yang ada padanya, maka rugilah dia.”(Hadis Riwayat Ahmad, An-Nasai’e dan Al-Baihaqi)
Sedarkah kita, bulan Ramadan ini hanya singgah dalam hidup kita setahun sekali sahaja. Bahkan, boleh jadi Ramadan kali ini adalah yang terakhir buat kita. Tiada siapa tahu perancangan-Nya.
Justeru itu, semoga kita bersama-sama dapat merebut peluang yang terbentang ini dengan sebaiknya. Ini kerana, belum tentu kita akan berpeluang dan merasai ‘kemanisan’ bulan ini pada masa akan datang. Mungkinkah ini Ramadan terakhir buat kita? Wallahua’alam.
Sumber : tazkirah.net
from Jom Dakwah http://ift.tt/2qtVivL
via Kuliah Islam
No comments:
Post a Comment