Tuesday, 2 May 2017

Salah Faham Umat Islam Berkaitan Teori Sains Zaman Prasejarah

Membidas penipuan dalam video Youtube mengenai prasejarah

Bidang prasejarah memang rumit. Lebih-lebih lagi jika zaman yang ingin dipelajari merentasi pra-Paleolitik. Sebab itulah ramai yang jauh terpesong oleh kerana penipuan yang dibuat pihak-pihak tertentu. Malang sekali mereka memperkudakan agama dalam usaha menyampaikan pendustaan mereka. Kata mereka, zaman hanya dibahagikan mengikut nabi (satu hujah boleh diterima), bahawa Paleolitik dan Neolitik hanyalah penipuan yang direncakan kafir (satu pendustaan yang nyata). Salah satu penyokong kepada pendustaan ini adalah video yang dimuatnaikkan di YouTube oleh nama pengguna ISMAIL2088.

Video ini boleh berikan gambaran kepada penahrifan fakta yang melanda. Hampir kesemua pertikaian terhadap zaman prasejarah ini sebenarnya berteraskan elemen utama video tersebut. Barangkali mungkin berniatkan untuk memperingati umat Islam di zaman penyelewengan. Namun, mereka sendiri adalah sebahagian daripada penyelewengan itu sendiri. Pokoknya, kekeliruan fakta melibatkan:
  1. Manusia prasejarah
  2. Garisan masa
  3. Tokoh pelopor Zaman Prasejarah
Antara hujah yang popular mengenai bidang ini adalah bahawasanya Nabi Adam as sendiri sudah pandai oleh kerana diajar. Sebenarnya sains tidak pernah memberitahu bahawa manusia prasejarah sekadar tinggal di gua. Itu hanyalah kesimpulan akibat kekurangan ilmu. Pertama sekali, pertikaian terhadap penggunaan Zaman Prasejarah sebenarnya datang daripada minda yang tidak faham definisi masa.
Secara fizikal, masa tidak wujud. Manusia sekadar ciptakan ukuran untuk menentukan pergerakannya sahaja. Ukuran ini berbeza di setiap dunia. Satu hari di Marikh adalah satu hari empat puluh minit di Bumi. Satu tahun di Marikh bersamaan 57 bulan dan empat hari di Bumi. Perbezaan ketara sebegini juga boleh didapati dalam hubungan antaraplanet yang lain. Mudah kata, masa tidak wujud secara fizikal.

Zaman Pra-sejarah

gambar ini sekadar hiasan

Disebabkan itulah garisan masa prasejarah dipecah-pecahkan. Ukuran ini tiada beza dengan kalendar seperti Hijrah, Gregory dan Julian. Ramai tidak tahu kewujudan Kalendar Nanakshani, Minguo dan Juche Korea. Meskipun berbeza, masa tetap berjalan.
Masalah utama kepada hujah yang zaman sepatutnya dibahagikan mengikut nabi sebenarnya jelas. Sehingga hari ini, ulama’ tersohor dengan ilmu paling banyak pun tidak dapat tentukan tahun kematian Nabi Adam as. Tiada siapa tahu berapa lama sebenar-benarnya baginda hidup, berdasarkan kiraan moden kepada manusia kini.
Dan tiada siapa juga tahu tahun sifar iaitu pada ketika Nabi Adam as diturunkan ke Bumi. Makam baginda tidak pernah ditemui, barangkali mungkin telah hilang ketika ditenggelami Banjir Besar Nuh. Sekalipun tahu, tiada siapa berani buat eksperimen demi menjaga sensitiviti masyarakat setempat. Tentu ada yang marah jika saintis mengorek semula makam Nabi Adam as untuk kaji jasad baginda.
Maka alternatif yang paling logik adalah pembahagian masa dengan cara lain. Terdapat enam zaman yang membahagikan prasejarah:
  • Paleolitik (Zaman Batu Awal)
  • Mesolitik (Zaman Batu Tengah)
  • Neolitik (Zaman Batu Akhir)
  • Eneolitik (Zaman Kuprum)
  • Gangsa dan Logam

Semua juga perlu tahu bahawa Paleolitik bukannya zaman permulaan manusia. Perkara ini akan dibincangkan, seiringan dengan penglibatan Charles Darwin dalam video Ismail.
gambaran salah tentang manusia prasejarah
Jika dirumuskan, pertikaian terhadap Zaman Batu adalah mengenai tahap kepintaran manusia. Di dalam video, manusia prasejarah digambarkan seperti beruk, jelas sekali menunjukkan tahap ilmu prasejarah pembuat video tersebut hanya berpaut (seperti beruk) kepada lukisan artis semata-mata. Manusia ketika Zaman Batu mempunyai berbagai-bagai jenis spesis. Salah satu daripadanya adalah Homo Erectus, yang mampu dirikan rumah untuk melindungi keluarga daripada angin kencang [1]. Kepintaran yang dimiliki Homo Erectus sebenarnya tidak bercanggah dengan pemahaman Islam yang Nabi Adam as telahpun diajar sebelum diturunkan ke Bumi.
Malang sekali dalam video Ismail, fakta ini tidak diberitahu. Tidak pelik kerana pemahaman prasejarah pun sudah terpesong apabila piramid dan Stonehenge dilibatkan dalam Zaman Batu. Kedua-dua pembangunan ini sebenarnya binaan pasca-Zaman Batu.
Di Perancis pula, sebuah gua yang ditutupi tanah runtuh mendedahkan barangkali kebudayaan Homo Neanderthals [2]. Penuh dengan tulang-tulang haiwan, timbulan batu-batu (stalagmite dan stalactite) dipecahkan untuk disusun dalam bentuk dua bulatan. Namun hasil kerja ini barangkali dibuat seorang gila. Mungkin sesuka hati orang ini bakar beruang dan susun batu. Maka pembinaan ini tidak boleh dijadikan hujah.
gua di perancis
Tetapi spesis Neanderthals telah lama dianggap “penguasa api”. Masih belum ada bukti Neanderthals memiliki periuk belanga. Tetapi itu tidak jadi penghalang. Neanderthals didapati menjerang daging di dalam karung yang dibuat daripada perut haiwan untuk mengempukkannya. Mereka juga mampu cipta gam daripada getah pokok untuk kegunaan lembing [4].
Selain daripada cara hidup, Neanderthals juga mempunyai haluan perubatan yang rumit. Hasil daripada kajian gigi-gigi mereka, saintis temui bahawa seorang manusia Neanderthals di El Sidron sentiasa mengamalkan pemakanan poplar yang mempunyai asid untuk rawatan bisul gusi. Asid ini juga merupakan bahan aktif bagi aspirin dan penisilin [5].
Berdasarkan penemuan-penemuan ini, perlu tanya balik kepada diri sendiri tentang tahap kepintaran manusia Neanderthals. Mereka bukanlah beruk yang memegang kayu. Kewujudan mereka sekitar 350,000 hingga 40,000 tahun lepas menunjukkan populasi mereka daripada Portugal hingga Asia Tengah lenyap pada waktu kebangkitan Homo Sapiens (manusia moden).
gua blombos
Terdapat banyak teori yang mencadangkan punca kejatuhan Neanderthals. Tetapi apa yang pasti, amalan serta gaya hidup Neanderthals sememangnya tidak sama dengan haiwan tidak berakal. Lebih unik lagi, sekitar setengah juta tahun lepas, seorang pelukis bertangan kanan telah menggunakan gigi jerung untuk mencungkil di atas kulit kepah [6]. Ini adalah hasil seni manusia Erectus, yang bersama Neanderthals jelas sekali berakal sepertimana Homo Habilis mencipta alat-alat batu yang ditemui di Gaung Olduvai. Habilis sudahpun mampu menyembelih serta menyiat untuk kulit haiwan.
Di Gua Blombos, Afrika Selatan, bukti manusia menjalankan bidang perikanan sudah ketara [7]. Tulang yang dikorek menunjukkan bangkai ikan dengan alat batu, satu amalan pancing zaman dahulu. Maka jelas sekali, manusia prasejarah bukanlah seperti apa yang didendangkan: beruk berjalan. Mereka adalah manusia yang berakal pintar.
Rupa-rupanya sains moden tidak bercanggah dengan Islam.

Charles Darwin dan teori evolusi manusia

teori evolusi charles darwin

Memandangkan ilmu prasejarah video Ismail jelas terbukti lemah, sudah tentu ia tidak layak untuk membincangkan mengenai Charles Darwin dan evolusi. Menurut video tersebut, kerajaan Babylon sudah wujud berjuta-juta tahun dahulu. Bagi sejarawan, kenyataan sedemikian sememangnya bercanggah. Tetapi boleh dimaafkan kerana perkara ini mungkin kesilapan dari segi kata. Namun, penggunaan ukiran Tamadun Mesir Purba yang dianggap helikopter adalah satu lagi kekeliruan.
Ramai yang mungkin tidak tahu. Hieroglif ini adalah hujah utama golongan pseudosains bahawa satu masa dahulu, bangsa makhluk asing mendarat di Bumi dengan teknologi canggih. Pembuat video ini pula terlibat dalam pseudosejarah yang mengatakan Mesir Purba sudah maju.
Hieroglif ini terdapat di Kuil Firaun Seti I. Selain daripada helikopter, sesiapa pun boleh perasan ukiran kereta kebal, pesawat serta kapal angkasa. Namun dalam artikel berikut (klik sini) telah menjelaskan asal usul hieroglif ini, yang hanyalah satu pertindihan.
piramid helicopter hieroglyph
Penipuan dan pseudosejarah adalah apa yang video Ismail mampu bentangkan. Bidang –litik pun sudah terkial-kial, masakan –zoic mampu ditelusuri. Ini bukan masanya untuk membuka lembaran geologi sehingga ke Zaman Hadean iaitu ketika air hanya dalam bentuk molekul semata-mata. Namun, terdapat pelbagai jenis batu di Bumi yang telahpun wujud sejak Zaman Hadean lagi [9].
Antara zaman paling awal yang mendapati kewujudan kehidupan di Bumi ini adalah Zaman Proterozoic. Fokus utama bahagian ini adalah Charles Darwin. Sebenarnya beliau bukannya pelopor utama kepada ajaran Zaman Paleolitik, sepertimana video Ismail bentangkan. Secara asasnya, Darwinisme merupakan teori yang mengatakan :
semua spesis pada hari ini timbul melalui pemilihan semulajadi daripada kepelbagaian biodiversiti yang awal, sekaligus meningkatkan keupayaan spesis tersebut untuk bersaing, hidup dan membiak.

buku charles darwin
Itulah teori Charles Darwin. Tetapi beliau juga bukan pelopor kepada teori evolusi. Abu Uthman Amir bin Bahar (al-Jahiz) merupakan ahli biologi yang mengkaji teori evolusi berkurun sebelum Charles Darwin lagi. Menurut beliau, kesan-kesan daripada alam semulajadi akan mengubah variasi dalam genetik seekor haiwan. Beliau menemui bahawa situasi persekitaran jika tidak menentukan sekurang-kurangnya membantu dari segi perubahan ciri-ciri fizikal haiwan tersebut. Dari segi manusia pula, Al-Jahiz nampak bagaimana cuaca bertanggungjawab di sebalik warna kulit manusia.
Al-Masudi pula mendapati bahawa tumbuh-tumbuhan timbul daripada zat-zat besi, yang kemudian berkembang kepada fasa haiwan dan akhirnya selesai di peringkat manusia. Imam Raghib berpendapat bahawa manusia merupakan jirim tanah yang diberikan nyawa oleh Allah. Ketiga-tiga ilmuwan Islam ini membentangkan teori evolusi secara rumusan. Tetapi Ibnu Khaldun telah mengembangkan subjek ini ke tahap yang dipersetujui sains moden. Menurut Ibnu Khaldun, mineral telah berubah secara berperingkat menjadi tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Fasa terakhir setiap peringkat berhubung dengan fasa awal peringkat lain. Fasa akhir tumbuh-tumbuhan berhubung dengan fasa pertama haiwan, iaitu siput dan haiwan bercangkerang.
Maka perlu berhijrah kembali ke zaman-zaman rumit iaitu ketika penghujung Zaman Vendian (sekitar 544 juta tahun dahulu) apabila Bumi mendapati kebangkitan kategori haiwan moden seperti porifera, obor-obor, terumbu, ulat annelid, serangga, dan echinoderm (tapak sulaiman, landak laut, gamat dsb). Yang paling utama sekali, kebangkitan salah satu kategori adalah moluska [10] yang merupakan kumpulan 85,000 spesis haiwan bercangkerang seperti direkod Ibnu Khaldun.
Perbincangan terpaksa dibawah jauh ke sini untuk jelaskan tahap pemahaman golongan yang kerap pertikai mengenai masa. Dan setakat ini, masih belum ditemui sumber yang mana Charles Darwin adalah pencipta Zaman Prasejarah. Ini adalah satu fitnah yang dibuat video Ismail.
velociraptor dalam filem jurassic park

3. Kesimpulan

Orang Melayu mudah terpedaya apabila suatu pembentangan melibatkan agama Islam. Tidak perlu panjangkan kesimpulan ini. Pertama sekali, pemahaman mengenai manusia prasejarah haruslah dipertingkatkan, bahawasanya Homo Neanderthals, Erectus, Habilis dan sebagainya diterimapakai sebagai manusia oleh kerana kepintaran akal mereka. Lukisan-lukisan artis yang menunjukkan manusia prasejarah seperti beruk adalah imaginasi semata-mata. Ia tidak ubah dengan gambaran Velociraptor dalam fiksyen Jurassic Park dan World, yang secara realitinya, dinosour ini hanyalah seperti “ayam piru enam kaki tinggi”.
Penulisan asal : Ahmad Faezal 
Sumber :iluminasi


from Jom Dakwah http://ift.tt/2pUd2Ve
via Kuliah Islam

No comments:

Post a Comment